Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, July 14, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 12

Bermulanya ibadah umrah itu ialah dengan berniat ihram di miqat. Miqat terbahagi kepada dua, iaitu miqat makani dan miqat zamani, miqat makani merupakan tempat tertentu yang lazim dijadikan tempat untuk berniat ihram, kecuali bagi penduduk Mekah yang berniat ihram di rumah mereka. Miqat zamani pula merupakan sempadan atau had masa tertentu untuk mengerjakan ibadah umrah atau haji. Bagi umrah ialah pada bila-bila masa, sementara bagi ibadah haji miqat zamani ialah bermula dari awal syawal sehingga 10 zulhijjah.

Oleh kerana kami memulakan perjalanan mengerjakan Umrah dari Kota Madinah, maka destinasi miqat kami ialah di Zul Hulaifah atau lebih dikenali dengan miqat Bir Ali, yang merupakan kawasan sumber air bagi Bani Jasyum. Bir Ali merupakan miqat yang paling jauh iaitu sejauh 450 km. Setelah 30 minit perjalanan, maka kami semua tiba di Masjid Bir Ali.

“Tuan-tuan dan Puan-puan, AlhamduliLlah kita telah pun sampai di Bir Ali, insyaAllah kita berniat ihram dan melakukan solat sunat ihram di sini. 30 minit ye,” umum saya kepada para jemaah dengan yakin walaupun saya sendiri agak kurang pasti yang mana satu yang dikatakan masjid Bir Ali.

Mujurlah sewaktu turun dari bas, Ustaz Azhuri telah pun menunggu dengan lebih awal dan memberikan sedikit penerangan mengenai kedudukan bilik wudhuk, tandas, dan dewan solat bagi muslimin dan muslimin. Kami pun berpecah antara muslimin dan muslimat untuk memperbaharui wudhuk masing-masing. Saya terus sahaja ke bilik mandi, yang mungkin disediakan untuk mereka yang masih belum mandi sunat ihram. Mandi sunat ihram ini sama sahaja seperti mandi sunat hari raya atau mandi sunat hari jumaat yang boleh dilakukan sebelum solat subuh lagi.

Seperti dalam taklimat, saya menasihatkan para jemaah untuk melaksanakan mandi sunat ihram sebelum solat subuh supaya tidak terkejar dan mempunyai lebih masa untuk melakukan persiapan yang lain. Namun, saya ke bilik mandi, sekali lagi untuk memperbetulkan kain ihram. Agak sukar untuk saya mempercayai mutu ikatan kain ihram saya. Setelah berhempas pulas, memulas dan mengikat dengan kemas, akhirnya saya menyudahkan ikatan dan menyerahkan segalanya kepada Allah. Saya teringat pesan Ustaz Ismi, kalau di Mekah ni, jangan selalu baying yang buruk-buruk. Ingat yang baik-baik, walau macam mana buruk pun kena anggap dan kata yang baik-baik sahaja.

Pesan itu akhirnya menggagahkan dan mengemaskan langkah saya. Akhirnya, saya temui keyakinan untuk membuang rasa takut yang lebih banyak dibayangi rasa malu. Sungguh, umrah ini cabaran yang agak kuat dan lebih besar untuk kaum lelaki, lebih-lebih lagi yang pemalu seperti saya.

Sejurus memperbaharui wudhul, berniat ihram saya langsung masuk ke dalam dewan solat muslimin untuk menunaikan solat sunat ihram. Selain daripada niat ihram di Miqat, amalan-amalan lain hanya merupakan amalan sunat, namun disebabkan kehebatan luar biasa dari ibadah umrah ini, kami sebolehnya ingin merebut segala peluang pahala yang disediakan.

Setelah selesai menunaikan solat sunat ihram, saya keluar dan terus berjalan menuju ke arah bas. Sambil berjalan, saya sempat perhatikan gelagat jemaah, ada yang bergambar, membeli minuman dan makanan sebagai bekal. Sampai di sebuah kedai, saya menunggu Ustaz Azhuri. Kami dah berjanji untuk membelikan para jemaah air mineral sebagai bekal.

Seperti biasa, kami berdua memastikan jumlah jemaah dan mengedarkan air mineral yang dibeli. Agak terlewat, kami menghabiskan hampir 45 minit di masjid tersebut. Selanjutnya meneruskan perjalanan menuju ke Makkah Al-Mukarramah.

“InsyaAllah kita sama-sama berniat ihram sebagai memastikan yang kita tidak terlupa berniat ihram,” saya memulakan bicara.

“ BismiLlahiRrahmaniRrahim, Nawaitul Umrata, wa ahramtu biha, liLlahi ta’ala,” saya memimpin bacaan niat sambil diikuti satu-persatu oleh para jemaah. “InsyaAllah kita bertalbiah bersama-sama,” sambung saya lagi mengajak semua jemaah untuk bertalbiah.

Maka kami pun mengucapkan lafaz talbiah dengan penuh semangat. Terkadang sebak mengenangkan kesempatan yang diberikan oleh Allah menjejakkan kaki di bumi suci ini. Tersekat-sekat suara saya menahan sebak, apalagi bila wajah orang yang tersayang dan mereka yang saya kasihi muncul dalam ingatan. Semoga Allah Ta’ala memberkati mereka semua.

Lafaz talbiah ini memenuhi segala ruang yang ada dalam bas. Lafaz inilah yang telah dilafazkan oleh Nabi Muhammad SAW seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Umar. Setelah mengulang-ulang talbiah, mungkin sehingga 10 kali ulangan, saya berhenti sejenak dan membuat pengumunan,

“InsyaAllah, kita disunatkan untuk memperbanyakkan talbiah, selawat, zikir, dan membaca Al-Quran sepanjang perjalanan. Jadi saya menjemput dan mengalu-alukan mana-mana jemaah yang ingin sama-sama memimpin bacaan talbiah, zikir mahupun selawat, bolehlah terus datang ke depan dan memimpin bacaan talbiah,” umum saya sambil memerhati jemaah, cuba mengesan ahli jemaah yang agak bersedia. Hampir semuanya memalingkan muka, tidak kurang yang tunduk dan berpura-pura memejamkan mata. Tiba-tiba, Haji Nazir, yang sudah masuk kali ketiga mengerjakan umrah bersama Darul Mubarak, menawarkan diri.

“Ana kejap je Ustaz,” bicara Haji Nazir. Kami memang terbiasa dengan panggilan “ana anta”, hasil tarbiyah dan penglibatan dalam persatuan Islam di Malaysia. Kebetulan, anak lelaki Haji Nazir terlibat bersama-sama saya dalam Unit Amal Kawasan Serdang.

“Bismillahirrahmanirrahim,” Haji Nazir memulakan dengan membaca Al-Fatihah, bertalbiah, diikuti dengan zikir munajat yang dimulakan dengan tasbih. Semakin rancak dan bertenaga kami mengikut alunan zikir munajat yang dipimpin oleh Haji Nazir, maklum sahaj dengan pengalaman yang dia ada.

Begitu syahdu dan tenang dia memimpin. Suasana begitu gamat, dan perasaan bercampur antara sebak dan syukur, puji-pujian dilafazkan dengan penuh penghayatan. Mengalir air mata kami bila Haji Nazir memulakan membaca,

“Hasbi rabbi JallaLlah, Ma fi qalbi ghairuLlah, nur Muhammad sollaLlah, La ilaha IlaLlah (Cukuplah Allah bagiku, tiada dalam hatiku melainkan Allah, nur Muhammad selawat ke atas Baginda, tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah).”

Sehinggalah ke akhir zalunan zikir munajat dan Haji Nazir menutupnya dengan bertalbiah. Setelah itu, saya mempelawa lagi jemaah haji dan mengusik mereka untuk mempengaruhi dan mencabar mereka, namun tiada yang berminat.

“Silalah Ustaz, orang muda suara kuat sikit,” ujar Haji Nazri meminta saya menyambung bacaan talbiah.

Setelah menunggu beberapa ketika, sambil meneguk air, saya kemudiannya mencapai mikrofon dan memulakan bacaan talbiah. Di celah-celah talbiah, saya selitkan bacaan selawat, syahdu pula bila mengenangkan setiap bait selawat dan salam yang diucapkan ke atas Baginda RasuluLlah SAW. Terbayang bagaimana penduduk Madinah yang bergembira sambil berselawat menyambut Nabi dengan selawat:

Thola’al Badru ‘alaina Telah datang bulan purnama kepada kami
Min Thaniyyatil wada’ Dari lembah Wada’
Wajaba syukru ‘alaina Wajib kami mensyukuri rahmat ini
Ma da’a liLlahi da’ Seruannya adalah kepada Allah.

Semakin mendayu dan merdu saya memimpin alunan selawat dan talbiah semakin sayup pula kedengaran suara jemaah yang mengikut di belakang. Barangkali mereka lebih gemar mendengar dan menghayati suara saya daripada mengikut dan mengalunkannya bersama-sama.

“Tuan-tuan dan Puan-puan, dalam perjalanan ini kita disunatkan untuk memperbanyakkan talbiah sehinggalah ketika kita mula-mula melihat ka’abah, selawat, zikir, dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran,” sengaja saya mencelah dengan sedikit tazkirah untuk menyegarkan semangat para jemaah, sambil meneguk air membasahkan tekak. Bersedia untuk alunan yang lebih merdu.

Lalu, setelah agak kering tekak saya dikerah, saya menangguhkan dahulu. Ustazah Sa’diah pun sudah memberikan signal, “Ok dah Ustaz,” ujarnya sambil tersenyum dan mencapai tafsir yang diletakkannya di dalam beg. Saya tersenyum tanda faham dan meletakkan kembali mikrofon di tempatnya semula. Sebaik saya menoleh rupa-rupanya ramai juga yang lena didodoi oleh alunan selawat yang merdu daripada saya.

“AlhamduliLlah, semoga dapat mereka mengumpul tenaga sebaiknya,” bisik saya di dalam hati sambil tersenyum bangga. Saya melabuhkan badan saya di tempat duduk penumpang biasa, terus sahaja terlelap, mungkin kemerduan suara boleh mendodoikan diri sendiri. Hanya tinggal suara Syeikh Mahir Muaiqely(Imam Masjid Haram) yang memperdengarkan surah Al-Baqarah, dimainkan oleh pemandu bas sebaik sahaja saya meninggalkan tempat duduk “co-pilot” di sebelahnya.


Bersambung…

2 comments:

Ahmad Tajuddin said...

nape la ana xde peluang nak dengar aluann suara abang ek??

tetiba rasa cam nak solat subuh dengan abang....

Farid Albariti said...

kena bayar dulu, baru bleh dgr...

solat subuh kat surau la, mana bleh ana imam... hehe..

Antara Yang Menarik