Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, August 26, 2009

Sungguh, Allah Masih Sayangkan UMNO..

Sebelum meneruskan penulisan ini, ingin diingatkan kepada semua bahawa semua kenyataan dan pandangan daripada manusia adalah bersifat boleh-diragui kecuali ayat-ayat dan kenyataan yang datangnya daripada Nabi Muhammad SAW dan juga daripada Allah SWT. Barangsiapa yang meragui kedua ini, maka sesungguhnya dia berada dalam kesesatan yang nyata.

Susulan kemenangan PAS di Permatang Pasir, dengan majoriti 4551 undi atau mafhum mukhalafah daripada persitiwa ini ialah penolakan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional, sememangnya merupakan isyarat yang jelas oleh rakyat kepada Najib dan kerajaan di bawah pimpinan beliau. Jika diperhatikan, BN hanya menang sekali daripada 7 Pilihanraya kecil yang telah diadakan. Kerusi tunggal milik BN hanyalah di Batang Ai, Sarawak.

Sementara enam lagi kerusi termasuk 3 kerusi Parlimen telah berjaya dimenangi oleh pembangkang. Sekalipun kesemua 7 kerusi menyaksikan kesemua parti penyandang mengekalkan kerusi masing-masing, namun tepat seperti apa yang dikatakan oleh Najib kepada media, UMNO dan BN perlu membuat kajian yang terperinci mengenai faktor kekalahan UMNO dan BN dalam siri pilihanraya sebelum ini.

Gesaan untuk diadakan satu bedah siasat dan rombakan besar-besaran yang bersifat dalaman terhadap BN dan UMNO telah lama disuarakan baik daripada pimpinan, ahli parti, pihak pembangkang, mahupun rakyat jelata sendiri. Semua pihak mahukan perubahan drastik oleh UMNO dan BN. Jika permintaan itu datangnya daripada Encik Otak, mungkin BN boleh pandang sebelah mata kerana mungkin ada unsur-unsur politik di sana. Namun apabila luahan tersebut datang dari setiap unsur dalam dan luar parti, maka sememangnya sudah tiba masa untuk perubahan drastik dilakukan.

Perubahan drastik oleh rakyat sudah kelihatan. Mungkin faktor perubahan itu adalah disebabkan rakyat inginkan pembangkang mengambil-alih kerajaan. Namun kefahaman yang jelas di sini adalah rakyat mahukan perubahan. Perubahan perlu dilakukan, sekarang!

Kata kunci perubahan ini sangat tepat untuk ditujukan kepada UMNO dan BN kerana mereka memiliki kuasa untuk mengubah dan desakan yang tinggi untuk berubah. Jika dilihat dengan lebih positif, maka ini menunjukkan bahawa Tuhan masih sayangkan UMNO dan BN. Tuhan berikan kepada UMNO dan BN peringatan supaya bertaubat dan tidak mengulangi kesilapan.

Malang buat UMNO, sekiranya mereka enggan bertaubat dan berubah. Kerana seperti kebanyakan peristiwa yang pernah berlaku, amaran akan disusuli dengan hukuman.

Walaupun saya sudah sekian lama ingin menghukum kesalahan oleh UMNO, namun sekiranya mereka bertaubat, siapalah saya untuk menidakkan peluang mereka. Akan tetapi, jangan salahkan saya kerana tidak mengingatkan sekiranya UMNO dan BN di kemudian hari mendapati diri mereka di dalam kemusnahan dan kehancuran sebagai balasan Tuhan di atas kerosakan yang mereka sendiri lakukan...

Tahniah PAS, ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN....

No comments:

Antara Yang Menarik