Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Tuesday, October 13, 2009

BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN - bahagian 1(situasi sebelum)

Dalam bahagian pertama ini, penjelasan akan dibuat berkisar pandangan peribadi saya mengenai apakah bentuk perubahan yang perlu dilakukan. Untuk mencapai maksud penjelasan ini, kita memerlukan model sebagai bandingan untuk situasi sebelum dan selepas. "Situasi sebelum" merujuk kepada situasi sebelum perubahan dilakukan, iaitu situasi sekarang. Manakala situasi selepas merujuk kepada situasi selepas dilakukan perubahan.

DASAR PEMERINTAHAN NEGARA

Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kerajaan berparlimen dan mengamalkan doktirn pengasingan kuasa. Terlebih dahulu perlu diingatkan bahawa 'Pengasingan Kuasa' bukanlah sama dengan 'Pembahagian Kuasa' walaupun keduanya mungkin ada diperuntukkan dalam perlembagaan Persekutuan dan Negeri-negeri.

Doktrin Pengasingan kuasa secara dasar bererti kuasa-kuasa pemerintahan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu:-
1. Kuasa Perundangan/Legislatif
2. Kuasa Eksekutif
3. Kuasa Kehakiman

Perkara pokok tentang pengasingan kuasa ialah untuk menentukan supaya orang atau badan yang sama tidak dipertanggungjawabkan untuk menggubal undang-undang dan menguatkuasakannya. Bermakna jika konsep ini diikuti sepenuhnya maka tiada siapapun dari ketiga-tiga cabang pemerintahan boleh mengambil bahagian dalam fungsi cawangan lain.

Pihak Eksekutif sepatutnya tidak boleh menjadi seorang ahli badan Perundangan (Legislatif) dan Badan Kehakiman semestinya bebas dari campurtangan pihak Eksekutif dan Legislatif. Tidak patut ada dwi fungsi. Masing-masing hanya menjaga rukun rumahtangga sendiri dan tidak mencampuri hal yang berlaku di dalam bilik orang lain.

Seperkara yang tidak dapat dipisahkan dalam membicarakan topik Doktrin Pengasingan Kuasa ialah Konsep 'Check & Balance' (Kawalan dan Imbangan). la membawa maksud bahawa ketiga-tiga cabangan pemerintahan itu mestilah berdiri sama tinggi duduk sama rendah. Tidak boleh satu pihak menguasai kehendak pihak yang lain. Ditakuti berlakunya pengaruh tak berpatutan dan menimbulkan ketidakadilan akibat pemusatan kuasa ke satu-satu cabang pemerintahan itu.

Krisis perlembagaan di Perak merupakan model terbaik untuk menjelaskan bahawa berlaku pemusatan kuasa akibat gagalnya Doktrin Pengasingan Kuasa dan tiada konsep 'Check & Balance' (Kawalan dan Imbangan Kuasa).

Di Malaysia, badan Kehakiman boleh mengistiharkan sesuatu Akta Perlimen bercanggah dengan Perlembagaan. (Perkara 4, Fasal 1). Pada masa yang sama Perlembagaan Persekutuan - Perkara 122B juga memperuntukkan bahawa perlantikan kehakiman ke mahkamah-mahkamah Tertinggi adalah dibuat oleh pihak Eksekutif yang menunjukkan ada kawalan tidak langsung terhadap badan kehakiman. Pihak Eksekutif pula dikawal oleh Parlimen dan bertanggungjawab kepadanya. Oleh yang demikian sistem pengasingan kuasa berserta dengan Konsep Kawalan dan Imbangan ini tampak kepentingannya dalam mengelakkan pemusatan kuasa pemerintahan di dalam tangan sesuatu kumpulan tertentu sahaja.

Rujukan Perlembagaan Persekutuan

SUMBER PERLEMBAGAAN NEGARA

Perlembagaan Malaysia yang diguna pakai pada hari ini telah mengalami beberapa proses perubahan semenjak dari zaman sebelum kemerdekaan lagi. Menurut sejarah, Tanah Melayu sudahpun mempunyai perlembagaan bertulisnya sendiri sebelum kedatangan penjajah lagi. Hukum Kanun dan Undang-undang Laut Melaka, selain Batu Bersurat yang ditemui di Terengganu merupakan bukti terhadap gagasan ini.

Perlembagaan Persekutuan mengandungi 183 Perkara beserta dengan 13 Jadual. Bagi setiap perkara terdapat beberapa Fasal yang dijelaskan dengan terperinci sebagai garis panduan perundangan dan kepentingan rakyat.

Perlembagaan Persekutuan juga mengandungi beberapa perkara yang tidak boleh dipersoalkan seperti:

. Agama Islam sebagai agama rasmi;
. Kedududkan istemewa Raja-raja Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak;
. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; dan,
. Soal kerakyatan.

Kandungan perlembagaan Malaysia ini jika dilihat secara objektif sepatutnya mampu mengurangkan masalah-masalah yang ada. Namun begitu, disebabkan oleh asas perlaksanaan perlembagaan ini sendiri sudah rapuh, natijahnya mendedahkan seluruh sistem yang ada terhadap eksploitasi pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebagai contoh, perkara-perkara yang menyentuh mengenai hak asasi daripada perkara 5 hingga 13. Dalam perkara 10, menyatakan menegenai kebebasan bersuara dan berhimpun. Keterangan mengenai larangan perhimpunan dan garis panduan sebenarnya adalah sangat jelas. Ianya adalah kebebasan yang terkawal. Masalahnya ialah, apabila kawalan ini disalahgunakan oleh pihak eksekutif untuk kepentingan tertentu. Sekali lagi, ianya berpunca daripada kegagalan melaksanakan doktrin pengasingan kuasa dengan baik.

Rujukan Konsep Pengasingan Kuasa

No comments:

Antara Yang Menarik