Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Saturday, June 19, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 3

Madinah Al-Munawarah juga merupakan tanah haram di mana orang-orang Bukan Islam tidak dibenarkan untuk memasuki kota tersebut. Kira-kira 1km sebelum memasuki kota Madinah, simpang khusus disediakan kepada “non-muslim” sebagai isyarat bahawa orang-orang bukan Islam tidak dibenarkan untuk memasuki kota suci itu. Ketika itulah, saya da para jemaah membacakan doa ketika mula-mula memasuki kota Madinah.

Menurut panduan, kita disunatkan membaca doa memasuki kota Madinah ketika mula-mula melihat rumah-rumah dan penempatan orang-orang di Madinah.

Malam pertama di Madinah, kami dibawa menziarahi Makam Nabi Muhammad yang ditempatkan bersama-sama Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan juga Saidina Umar Al-Khattab.

Diriwayatkan, ketika Nabi SAW meninggal dunia, sempat terjadi perbincangan di antara para sahabat di mana Baginda harus disemadikan. Mereka pada umumnya tidak mengetahui di mana tempat untuk menyemadikan jenazah Nabi SAW sehingga Abu Bakar r.a datang dan berkata bahawa dia mendengar RasuluLlah SAW bersabda:

“Tidak dikuburkan seorang Nabi kecuali di mana dia meninggal dunia”

Maka mereka memindahkan tilam Baginda dan menggali sebuah lubang baginya di bawah tilam di mana Baginda berada. Hadith Riwayat Ahmad.

Dengan demikian Nabi SAW dikuburkan di bilik yang mulia iaitu di bilik Saidatina Aisyah R.A. Nabi SAW disemadikan di sebelah selatan bilik itu sementara Saidatina Aisyah tetap tinggal di bahagian utara bilik tersebut.

Kedudukan Makam Nabi SAW betul-betul di bawah Ka’abah Hijau Masjid Nabawi yang ada pada hari ini.

Ketika Ustaz Azhuri menceritakan kisah kewafatan Nabi Muhammad SAW di sisi Aisyah dan anaknya Fatimah, menderu air mata kami mengenangkan insan agung itu. Terasa dekat dan hamper benar kami dengan Nabi Muhammad SAW. Menurut Ustaz Azhuri, kita kena yakin bahawa ketika itu, sememangnya Nabi sedang mendengar dan memerhatikan umatnya. Maka berselawat dan ucapkan salam kepada Nabi dengan sesungguhnya. Maka kami pun sama-sama melafazkan:

“Assalamu’alaika Ya NabiyaLlah, Assalamu’alaika Ya KhairataLLah min khalqih, Assalamu’alaika Ya Sayyidil Mursalina Wa Imamal Muttaqin, Asyhadu Annaka Qad Ballaghta Ar-Risalah, Wa Addaita Al-Amanah, Wa Nasahta Al-Ummah, Wa jahada FiLlahi haqqa jihadih.”

“Sejahtera ke atas Baginda Wahai Nabi Allah, Sejahtera ke atas Baginda wahai Sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, Sejahtera ke atas Baginda Wahai Rasul pemimpin dan imam orang yang bertaqwa, Aku Bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan risalah, dan menunaikan amanah, menasihati umat, dan berjuang di jalan Allah dengan sebenar Jihad”

Semakin deras air mata kami mengalir. Selepas mengucapkan salam kepada RasuluLlah, Ustaz Azhuri memimpin ucapan salam kepada Saidina Abu Bakar dan juga Saidina Umar yang terletak di utara makam Baginda.

Ustaz Azhuri mengulas mengenai kehebatan Saidina Abu Bakar yang sentiasa membenarkan risalah daripada Nabi Muhammad SAW sehingga diberikan gelaran As-Siddiq yang bermakna membenarkan. Ketika ramai para sahabat digoyahkan dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj angkara orang-orang Munafiq, Abu Bakar tetap membenarkan segala yang diceritakan oleh Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa tersebut.

“Sekiranya khabar itu benar-benar daripada Muhammad, nescaya jika lebih hebat daripada itu sekalipun aku akan tetap mempercayainya” balas Saidina Abu Bakar ketika dicabar imannya oleh Abdullah Bin Ubai yang galak menggugat iman para sahabat dalam peristiwa tersebut.

Seterusnya kami di bawa melawat dan mengucapkan salam kepada sepuluh ribu sahabat r.a yang disemadikan di Al-Baqi’ yang terletak di timur Masjid An-Nabawi itu. Sambil memalingkan badan kami ke arah kedudukan Al-Baqi’, Ustaz Azhuri memimpin ucapan salam:

“Sejahtera ke atas penghuni tempat ini(iaitu tanah perkuburan) daripada orang-orang yang beriman dan umat Islam, dan semoga Allah memberikan rahmat ke atas mereka yang telah pergi mendahului kami, dan mereka yang dating kemudian, dan sesungguhnya kami dengan IzinNya akan mengikuti kalian” (ucapan seperti yang diriwayatkan dalam Hadith Riwayat Muslim dan An-Nasai, diajarkan oleh Nabi kepada Saidatina Aisyah RA.)

Terus terimbas wajah Datuk saya yang juga disemadikan di sini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Seterusnya Jemaah dibawa melawat Ar-Raudah, malangnya, saya terpaksa mengiringi muslimat pulang ke hotel kerana waktu itu sudah menunjukkan jam 11.30 mlm. Raudah pula hanya dibuka untuk kaum muslimat pada waktu selepas subuh, selepas zohor dan selepas isya’ sehingga jam 11.30 malam.

Dengan rasa penuh tanggungjawab, walaupun agak berat saya membawa semua muslimat pulang ke hotel yang terletak hampir 300 meter dari pintu Masji Nabawi.(Anggaran perjalanan selama 15 minit).

Sesampai di hotel, selepas sahaja mengumumkan mengenai jadual ziarah untuk esok hari, saya tidak terus ke kamar, sebaliknya berjalan-jalan di sekitar kota suci. Ada juga makcik-makcik yang tidak terus ke bilik, barangkali menunaikan hajat anak-anak dan teman-teman yang mengirimkan sesuatu.

Saya bersimpati dengan mereka yang menerima terlalu banyak kiriman dan pesanan.

“Awak bukan apa, deme pesan kita kenele tunaikan, amanah tu Ustaz,” ujar seorang makcik kepada saya, dengan nada keluh bercampur puas apabila ketemu barang yang dicari.

Terengaruh dengan hasil yang diperolehi oleh ahli jemaah, saya memanjangkan langkah saya ke kedai-kedai berdekatan. Kebanyakan kedai sudahpun mulai membungkuskan barang-barang. Tiba-tiba langkah saya terhenti di sebuah kedai.

Rupa lelaki tersebut seakan mat saleh,

"Apa khabar, mari masuk tengok," tiba-tiba lelaki yang menjaga kedai itu menyapa. Walaupun bahasa melayunya agak kurang fasih, tetapi itu cukup mempengaruhi saya untuk singgah ke kedai pakaian jagaannya.

"Kam(berapa, cuba praktik bahasa arab yang sudah lama ditinggalkan)?" soal saya sambil menunjukkan ke arah jubah coklat yang tergantung di suatu sudut.

"Ini, 50 riyal," balasnya spontan. Sudah menjadi kebiasaan, tiada sebarang tanda harga di semua kedai di madinah. Maka kepakaran dan kehandalan dalam tawar menawar akan menentukan nilai barangan yang akan dibeli.

"La, thalathin, ma'a haza wa haza, khamsin,(Tak, 30, tambah ini dan ini, 50,)," ujar saya memulakan proses penawaran harga, sambil menunjukkan ke arah serban putih dan seluar putih yang biasa dipakai bersama jubah.

"La Ya Sadiq, Sab'in,9Tak boleh kawan, 70)" balas pemuda tersebut, sempat dia menceritakan bahawa dia dari Uzbezkistan.

"Taib, sittin, halal(ok, kalau 60 saya amik)," balas saya pula tidak ingin memanjangkan kalam.

"halal," balas pemuda tersebut sambil membungkus sehelai jubah putih, sehelai serban dan sehelai selendang.

Wah! murahnya. (hati saya menjerit puas kerana berjaya mendapatkan pakaian yang saya cari). Sengaja saya mengurangkan pakaian yang dibawa dari Malaysia kerana memang ingin membeli pakaian di sini, dan akhirnya jubah menjadi barang pertama yang saya beli di Madinah. Pertama kerana saya tahu akan menyusul barang-barang yang lain. (semoga ditetapkan hati. :-) )

Sambil tersenyum membayangkan ziarah esok hari dan mengenakan jubah baru, saya melangkah ringan menuju ke hotel....



Bersambung...

No comments:

Antara Yang Menarik