Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, June 23, 2010

Perjalanan Menjadi Hamba Allah

AlhamduliLlah, sudah enam bahagian yang tersiar. Sengaja dihentikan pengeluaran walaupun baki kisah "Perjalanan Menjadi Tetamu Allah" sudah hampir siap sepenuhnya. Cuma memerlukan sedikit touch-up, dan insyaAllah akan disiarkan tidak lama lagi.

Sekarang, sedang berusaha mengumpul gambar. Akan tetapi, gambar dan tulisan ini sendiri tidak mampu menceritakan perihal sebenar keseronokan menjadi tetamu Allah dan tetamu RasuluLlah di kedua-dua bumi haram tersebut.

Padahal, banyak lagi penerangan-penerangan dan kisah-kisah menarik yang diceritakan oleh mutawwif tidak saya siarkan. Pengalaman bersama mereka, merupakan pengalaman yang sangat menarik dan berharga.

Akan tetapi, ada 2 pengajaran penting yang saya dapat daripada ibadah umrah dan ziarah di bumi Mekah dan Madinah. Pertama, peringatan mengenai tugas dan tanggungjawab seorang manusia. Manusia diciptakan hanyalah untuk beribadah kepada Allah. Sembah sujud, rukuk, takbir dan tahmid perlu dilakukan setiap hari, setiap masa, setiap waktu dan setiap ketika, di mana jua kita berada.

Pengertian dan tuntutan sebenar konsep ibadah ini sebenarnya ialah melakukan segala pekerjaan dan ibadah, urusan kehidupan dan kematian semata-mata kerana Allah. Makan dan minum, kerja dan rehat, tidur dan jaga, berkahwin dan beranak, berjiran dan berkawan, semuanya dilakukan mengikut kehendak Allah dan dilakukan hanya untuk mendapatkan keredhaanNya.

Pengajaran kedua, tuntutan untuk meninggikan kalimah Allah di semua tempat dan di setiap masa. Perjuangan para Nabi dan juga Para Sahabat perlu diteruskan. Jihad menegakkan kalimah Allah mestilah diteruskan sehinggalah datang suatu ketetapan daripada Allah, iaitu hari Kiamat yang sudah semakin hampir dengan kita.

Hakikatnya, jika kita benar-benar faham mengenai tuntutan dan konsep ibadah dalam Islam, maka sudah pasti keutamaan akan diberikan kepada perjuangan menegakkan Kalimah Allah.

RasuluLlah dan para sahabat RA, menjadikan dakwah dan jihad sebagai profession utama dalam kehidupan mereka. Tiada lain yang lebih penting melainkan Allah dan Rasul. Di samping mencari rezeki untuk kelangsungan hidup diri mereka dan juga keluarga mereka, tuaian ladang di dunia sedikitpun tidak mengganggu tuaian ladang untuk Akhirat.

Semasa saya di Mekah, Sait, berasal dari Sabah, mengikuti rombongan yang disediakan oleh agensi dari Sabah pernah menyebut kepada saya.

"Farid, tau tak berapa masa yang kita ada?" tanya Sait kepada saya.

"Farid, saya tak pasti berapa lama," jawab saya setelah agak lama berfikir.

"Sebenarnya, masa yang kita ada hanyalah SEKARANG," jawab Sait, benar-benar menyentuh dan menjentik fikiran saya.

Tuan-tuan, dan Puan-puan, masa yang kita ada hanyalah SEKARANG, maka masa yang ada untuk kita berubah juga hanyalah SEKARANG!!!

Masa yang ada untuk kita benar-benar beribadah dan berjuang di jalanNya juga hanyalah SEKARANG!!!

Jom SEKARANG!!!!

No comments:

Antara Yang Menarik