Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Sunday, June 20, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 5

Menu sarapan pagi itu, bihun goreng, nasi goreng dan mee goreng, oleh kerana risau terlepas peluang merasai ketiga-tiga jenis masakan itu, saya terpaksa mengaut ketiga-tiga jenis masakan itu ke dalam pinggan. Mujurlah perut saya kurang menerima roti untuk sarapan, jika tidak mungkin roti juga terpaksa saya susun bersama hidangan lain di dalam pinggan yang sama.

Dalam hati berbisik, takpe Farid, ini bekal untuk ziarah hari ini. Lepas ini boleh tumpukan perhatian. :-)

Setelah menghabiskan mee, bihun dan nasi goreng, saya ke meja minuman untuk membancuh sendiri Nescafe O. Rupanya ini yang dimaksudkan dengan kelebihan hidangan melayu, minuman juga menepati selera melayu. Tiga sudu kecil Nescafe dicampur dengan sesudu gula. AlhamduliLLah, kenyang.

Sebelum jam tujuh pagi, saya sudah berada di lobi menunggu jemaah. Sesekali saya menjenguk ke luar, manantikan bas yang sepatutnya sudah sampai seawal jam 7pagi. Dari jauh, saya ternampak kelibat Ust Jajang, juga merupakan wakil agensi yang menguruskan segala urusan jemaah di Madinah.

“Assalamu’alaikum, Kuwais? Kenalkan kawan saya, Ustaz Haris,” sapa Ust Jajang sambil memperkenalkan kawannya yang datang bersama.

“Wa’alaikumussalam. AhamduliLlah. Farid,” sambut saya sambil berjabat tangan dengan Ustaz Haris.

“Ustaz Haris ni kawan saya, dia akan bersama antum dalam ziarah hari ini,” ujar Ustaz Jajang sambil tersenyum.

“AlhamduliLLah,” balas saya sambil menarik nafas panjang. Lega mengingatkan pengalaman memimpin bas dalam perjalanan ke Madinah semalam. Agak terketar-ketar saya ketika berucap dan memberikan penerangan semasa dalam perjalanan semalam. Maklum sahaja, kali pertama sampai dan terlalu banyak perkara yang asing bagi saya di sini.

Bas masih belum sampai. Jemaah sudah hampir kesemuanya sudah berada di lobi menunggu dengan penuh sabar. Seperti biasa, senyuman kekal di bibir sebagai isyarat mengajak semua jemaah untuk sama-sama sabar menunggu.

Jam sudah menunjukkan 7.30 pagi, Ustaz Jajang kata bas sudah ada di Madinah, cuma pemandu kurang arif dengan kedudukan semua hotel di Madinah. Menurut jemaah yang sudah berkali-kali ke sini, Madinah begitu banyak berubah. Dahulunya tiada begitu banyak hotel seperti sekarang. Kini, Masjid Nabawi dikelilingi hotel yang tinggi. Hotel yang kami diami sendiri setinggi 12 tingkat, Funduq Ad-Diar (Hotel Ad-Diar).

“Ada masalah ke Ustat? Mane basnye?” soal Cikgu Zaki, salah seorang jemaah yang berasal dari Bota, Perak. Cikgu Zaki dating bersama isterinya Cikgu Azian juga merupakan antara jemaah yang telah menunaikan haji sebelum ini.

“Pemandunya tak kenal jalan, tapi dah ada dekat sini dah,” jawab saya sambil tersenyum.

“Tumpor nunggunye,” balas Cikgu Zaki juga sambil tersenyum.

Tidak lama kemudian, dua buah bas dari Syarikat Rabitah Makkah, tiba di hadapan hotel. Semua jemaah mengambil tempat masing-masing. Seperti biasa, saya berada di bas no2 bersama Ustaz Haris, dan Ustaz Azhuri memimpin bas no1.

“Khalas?” tanya pemandu bas ingin memulakan panduan.

“La,” jawab saya ringkas. Masih ada sekeluarga yang masih belum menaiki bas.

Selang beberapa masa, “Khalas,” ujar saya selepas memeriksa kali kedua bilangan jemaah di kedua-dua buah bas.

“BismiLlahirrahmanirrahim,” Ustaz Haris memulakan perjalanan dengan doa musafir dan juga memulakan penerangan dan tazkirah kepada kami.

“Tuan-tuan dan puan-puan, para tetamu Allah dan tetamu RasuluLLah yang dimuliakan Allah sekalian, AlhamduliLLah, syukur kepadaNya kerana diberikan kesempatan untuk menjejakkan ke bumi Nabi dan Para Sahabat. Bumi di mana tertegaknya Negara Islam pertama dan bumi yang dipelihara daripada orang-prang kafir serta perbuatan maksiat,” bicara Ustaz Haris dalam pelat Indonesia yang agak kurang pekat berbanding Ustaz Azhuri.

“Sabda Nabi, barangsiapa yang melakukan maksiat di bumi suci Madinah ini ataupun menyara orang yang melakukan maksiat, maka laknat Allah dan semua orang yang beriman ke atasnya,” sambung Ustaz Azhuri menceritakan kehebatan dan keberkatan bumi Madinah serta kelebihannya berbanding bumi-bumi yang lain.

Kami memulakan perjalanan menuju ke Masjid Quba’. Masjid pertama yang dibina oleh Nabi Muhammad semasa tiba di Madinah dalam peristiwa Hijrah.

“Menurut informasi, ketika Nabi Muhammad SAW sampai di Yahthrib, penduduk Yathrib berada di seluruh pelosok bumi. Ada yang berada di atas bangunan, di kaki-kaki lima malah di atas bukit-bukit untuk melihat sendiri batang tubuh Nabi Muhammad SAW. Quba yang terletak sekitar 10km dari Madinah, adalah tempat tinggal Bani Amar bin Auf. Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya tiba di Quba pada hari Isnin, 12 Rabi’ul Awal dan tinggal di rumah Kulthum Al-Hadm, kepala suku itu. Nabi Muhammad berada di situ selama sepuluh hari sementara menunggu ketibaan Saidina Ali yang berhijrah 3 hari selepas Nabi dan Abu Bakar.

Sebelum Ali berhijrah, beliau terlebih dahulu memulangkan simpanan orang-orang Quraisy yang ada pada Nabi Muhammad. Ketika dalam perjalanan, Ali ditahan oleh kaum musyrikin Mekah. Keadaan menjadi tegang, turut bersama dengan Saidina Ali, para wanita Bani Hasyim termasuk Fatimah puteri Nabi, dan ibunya Fatimah bin As’ad. Saat itu, tangisan wanita melangit. Ali sedar bahawa tidak ada pilihan lain kecuali berjuang mempertahankan maruah Islam dan kaum muslimin.

“Barang siapa menghendaki tubuh-tubuhnya terpotong-potong dan darahnya tumpah, majulah!” tempik Ali. Tanda marah tampak di wajahnya.

Kaum musyrikin menyedari masalah telah menjadi serius lalu mengambil jalan damai dan berpatah kembali ke Mekah.

Lalu Nabi Muhammad SAW bergabung dengan rombongan yang dipimpin oleh Ali dan menuju ke Yathrib selepas membina batu asas sebagai pendirian masjid bagi suku Bani Auf,” terangUstaz Haris dengan penuh perasaan.

Suasana di dalam bas pada ketika itu menjadi sunyi. Hanya bunyi enjin dan suara sayu penerangan Ustaz Haris yang memenuhi suasana pada ketika itu.

Sambil memerhatikan keadaan rupa bentuk muka bumi Madinah yang dipenuhi bangunan, dan dibina di tepi bukit dan gunung, kami mendengar penerangan Ustaz Haris dengan penuh teliti dan penghayatan. Terasa sayu dan sungguh mengharukan apabila mengenangkan perjalanan hijrah Nabi dan para sahabat yang menempuh pelbagai kesukaran dan rintangan. Sedang kami pula berada di dalam bas berhawa dingin dan duduk di atas kerusi empuk yang mewah.

“Sebab itu Ustat, kita jangan mudah mengeluh. Kita ni baru diuji bas lambat sikit dah nak melatah,” tiba-tiba Ustazah Saadiah mencelah. Memberikan sokongan supaya terus bersabar berhadapan dengan karenah jemaah. Sambil tersenyum dia memandang tepat ke dalam mata saya.

Lain sungguh bicaranya, terkesan dan sungguh mendalam pesanannya. Tiba-tiba ingatan saya melayang mengingatkan ibu ayah di Malaysia. Bagaimana agaknya keadaan mereka. Semoga Allah memelihara mereka.

“Barangsiapa yang berwudhuk di rumah kemudian mengerjakan solat dua rakaat di Masjid ini, maka seolah-olah dia telah mengerjakan umrah,” sambung Ustaz Haris memberikan penerangan mengenai keutamaan dan kelebihan masjid Quba. Mujur saya sempat mengingatkan ahli jemaah untuk siap berwudhuk sebelum berlepas dari hotel tadi.

“Ustaz, keme ni dah tue, "otot" keme pun dah longgar. Tak mahunya ditahan-tahan,” ujar salah seorang jemaah mengeluh kerisauan air wudhuknya terbatal ketika dalam perjalanan.

“Takpe, kat sana nanti ada tempat wudhuk,” balas saya cuba menenangkan.

“Tak dapat le pahala umrah, Ustaz,” balasnya pula.

Saya cuma tersenyum gagal memberikan respon yang diharapkan. Dalam hati berbisik, insyaAllah kalau niat kita baik dan ikhlas Allah Ta’ala akan berikan ganjaran. Sedang kita jejakkan kaki sahaja sudah diberikan pahala apa lagi menunaikan ibadah di dalamnya.

Setelah menunaikan solat tahiyatul masjid, kami mendirikan solat dhuha di Masjid Quba. Perasaan hiba dan sayu menyelimuti kami semua. AlhamduliLlah, Allah Ta’ala memberikan peluang untuk menjejakkan kaki ke sini.

Setelah selesai, saya terus bergegas ke arah bas untuk menunggu jemaah. Di luar kawasan masjid, terdapat gerai dan peniaga-peniaga yang aktif mempromosikan barang masing-masing. Ada minyak attar, ada tasbih yang diperbuat daripada mutiara, ada kurma, dan macam-macam lagi. Seperti biasa, ramai pula yang terpengaruh. Saya meneruskan langkah ke bas bagi memeriksa keadaan jemaah.

“Ustaz, yang anak-beranak lelaki dan perempuan tu tak sampai lagi,” tegur Abg Saiful melaporkan ahli jemaah Pn Alimah yang terpisah daripada kumpulannya.

Pn Alimah datang bersama anaknya Abdul Rahman. Kebetulan Pn Alimah mengalami penyakit Parkinson menyebabkan dia agak sukar bergerak dan sukar mengenal pasti jalan dengan baik.

Abdul Rahman telah terlebih dahulu sampai di bas, gelisah apabila mengetahui ibunya masih belum dijumpai. Airmatanya mengalir, kakinya pula dipijak-pijak tidak mampu diam. Resah yang terpancar di wajahnya sangat ketara. Saya cuba menenangkan dan menasihatinya agar duduk di dalam bas.

“Kalau rahman nak pergi cari, rahman nak cari kat mana?” soal saya mudah.

Rahman tidak mampu menjawab. Sekejap perasaan resahnya mampu saya kekang. Tiba-tiba, Abdul Rahman tidak lagi mampu menahan rasa resahnya, dia terus bergegas kea rah masjid ingin mencari ibunya. Saya hanya mengekorinya rapat di belakang cuba untuk memberikan ruang padanya mencari sendiri ibunya.

Menanti di Masjid, Ustaz Azhuri yang pergi mencari Pn Alimah bersama-sama Abg Saiful. Tidak lama kemudian, Abg Saiful muncul bersama Pn Alimah. Rupa-rupanya Pn Alimah telah tersalah jalan.

Kedua-dua anak beranak itu berpelukan sambil menangis.

“Kenapa mak hilang?” kata Abdul Rahman sambil teresak-esak.

Kami terus pulang ke bas. Dalam hati berbisik, AlhamduliLlah.

Destinasi seterusnya, Kebun Tamar.

Menurut Ustaz Haris, kebun ini merupakan kebun turun-temurun yang dimiliki oleh penduduk Madinah dan telah wujud sejak dahulu lagi. Di sinilah ditanam kurma Al-Ajwa’, yang disebut sebagai kurma yang digemari oleh Nabi Muhammad SAW.

20 minit diberikan kepada ahli Jemaah untuk meluangkan masa di sana. Tetapi, kami tidak melawat keseluruhan kebun, cuma singgah membeli produk yang dijual di sana. Pak arab yang menjaga kedai tersebut sudah agak pandai berbahasa melayu.

“Malizi, bagus,” ujarnya sambil menunjukkan ibu jari, tanda bagus ke arah saya. Senyuman sahaja yang saya balas.

Setelah selesai membeli-belah dan menikmati teh dan kopi arab yang disediakan secara percuma oleh tauke kebun berkenaan, kami menyambung perjalanan. Kali ini, menuju ke Bukit Uhud, tempat para Syuhada’ Uhud disemadikan.


Bersambung…

1 comment:

Ahmad Tajuddin said...

suka betul ana dengan statement "saya terpaksa" itu....huhu.lain dari yang lain..

Antara Yang Menarik