Muslim, dari segi istilah bermaksud orang yang menyerahkan diri kepada Allah. Pelbagai definisi boleh kita berikan terhadap istilah "berserah diri". Misalnya seorang penjahat menyerahkan dirinya kepada pihak polis untuk diadili. Mungkin disebabkan oleh dia merasakan bahawa dia sudah tidak lagi dapat menyembunyikan diri, berasa insaf atau mungkin juga disebabkan oleh dia merasakan dengan cara dia menyerahkan diri, potensi untuk selamat adalah lebih tinggi daripada terus berlari dan menyembunyikan diri. Setidak-tidaknya dapat menyambung sedikit lagi baki nyawa sekiranya dia berhadapan dengan dakwaan atas kesalahan jenayah yang serius.
Sebelum berlakunya perang dunia yang pertama, gerakan imperialisme berlaku dengan kerap dan usaha itu telah berabad lamanya dijalankan oleh kerajaan-kerajaan di dunia. Kerajaan-kerajaan di dunia berlumba-lumba untuk menakluk dan juga mempertahankan kerajaan masing-masing daripada ditakluk. Pelbagai method digunakan oleh kerajaan ini untuk melebarkan jajahan masing-masing. Kaedah awal yang digunakan ialah melalui hubungan diplomatik dengan cara mengutus surat. Katakan kerajaan A ialah sebuah kerajaan yang besar dan ingin menakluk kerajaan B yang agak kecil dan tidak stabil. Maka Kerajaan A akan mengutus surat kepada kerajaan B. Antara isi kandungan surat tersebut ialah meminta agar kerajaan B menyerahkan diri dan bernaung di bawah kerajaan A.
Sekiranya kerajaan B merasakan kerajaan itu sudah cukup kuat untuk menolak tawaran kerajaan A(bermakna bersedia untuk menghadapi peperangan) maka dia akan menolak untuk menyerah diri. Sejarah menunjukkan ada beberapa sebab yang membawa kepada proses penyerahan diri. Pertama, disebabkan oleh tekanan yang hebat daripada kerajaan A. Kedua disebabkan oleh tawaran yang menarik dan lebih baik diberikan oleh kerajaan A. Ketiga, ingin membebaskan diri daripada dikuasai oleh penakluk yang zalim.
Sejarah pembukaan kota-kota oleh Islam membuktikan, semua kerajaan yang menyerah diri kepada kerajaan Islam adalah kerana ingin diperintah dengan nilai-nilai Islam yang syumul dan sejagat. Kerajaan Melaka antara kerajaan di Rantau Asia Tenggara yang menyerahkan diri kepada Kerajaan Islam Uthmaniyyah kerana ingin diperintah dan mendapat perlindungan daripada khilafah Islam tersebut.
Seorang manusia akan menyerahkan dirinya kepada sesuatu yang dia percaya baik dan selamat untuk dia berserah diri. Misalnya, tempat melepak. Manusia biasa mungkin akan "menyerahkan dirinya" kepada komplek membeli belah kerana dia berasa selamat berada di situ berbanding tempat-tempat yang lain. Sebaliknya, seorang Muslim yang sejati akan menyerahkan diri mereka ke tempat-tempat yang baik seperti melepak di Masjid dan surau, majlis-majlis Ilmu dan sebagainya.
Seorang Karkur, menyerahkan dirinya kepada aktiviti TABLIGH kerana dia berasa selamat di situ. Seorang aktivis Mahasiswa Islam akan menyerahkan dirinya kepada program-program aktivisme seperti demonstrasi, rapat umum dan road show kerana dia berasa selamat dengannya.
Muslim, akan menyerahkan diri mereka kepada perlembagaan dan cara hidup Islam kerana dia berasa selamat dengannya. Menyerahkan diri kepada 'aqidah Islam, menyerahkan diri kepada ibadah cara Islam, dan menyerahkan diri kepada pembentukan akhlak islamiyah kerana dia berasa selamat apabila berpegang dengan 'Aqidah Islam, beribadah cara Islam, dan berakhlak dengan Akhlak Islam.
Berfikir sebagai seorang muslim ialah merasa selamat dengan segala peraturan yang ditetapkan oleh Islam. Para Sahabat R.A, merasa selamat berjihad di jalan Allah bersama-sama dengan RasuluLlah kerana mereka berasa selamat dan terjamin.
Sekiranya kita masih ragu-ragu untuk hidup dengan cara hidup Islam dan merasakan ada lagi cara hidup yang lebih selamat atau lebih baik daripada cara hidup Islam, maka ketika itu kita belum betul-betul Muslim kerana belum benar-benar menyerahkan diri kepada Allah.
Qada' dan Qadar yang Allah tetapkan ke atas manusia, difahami dengan jelas menyebabkan mereka sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan nikmat yang telah Allah Ta'ala sediakan untuk mereka.
Peraturan-peraturan di dalam Islam mereka taati dengan penuh rasa tanggungjawab dan senang hati. Menjadikan mereka hamba yang merdeka. Muslimah misalnya, akan menjaga batas dengan baik kerana mereka rasa selamat dengan tuntutan itu. Bagi mereka, semakin mereka menutup aurat dan batas-batas, maka semakin selamatlah mereka.
Selamat bukan sahaja selamat pada pandangan manusia, tetapi yang paling penting ialah selamat di dunia dan akhirat menurut pandangan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment