Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, August 11, 2010

Beriman dengan Keadilan

Sekurang-kurangnya ada tempat, sebagai seorang muslim, untuk kita menterjemahkan konsep keimanan kita kepada sifat Allah Yang Maha Adil.

Pertamanya mengakui dan beriman bahawa segala peraturan sunnatuLlah dan syariatuLlah yang telah Allah tetapkan ke atas kita dan segala jenis makhluk di atas muka bumi ini memang TEPAT dan KENA pada tempatnya. Sesuai dengan konsep beriman pada Qada' dan Qadar, kita percaya bahawa segalanya tidak terlepas daripada kadar dan pengiraan Allah. Saya yakin kita tiada masalah dengan yang pertama, dan memang inilah yang telah kita lakukan selama ini sebagai seorang muslim yang menyerahkan diri secara seluruh dan sesungguhnya pada perintah dan larangan Allah Ta'ala.

Situasi kedua juga pernah berlaku, walaupun tidak sekerap situasi pertama, namun perkara ini melibatkan perkara-perkara yang kita tidak nampak. Jika hukum Allah, kita boleh kaji baik dan buruknya, maka dengan itu memberikan kita keyakinan dari segi ilmu dan pengalaman untuk mengamalkan dan memperjuangkan agar ianya ditegakkan. Namun, beriman kepada Keadilan Allah untuk situasi kedua memerlukan kepada rasional akal yang membatasi sempadan masa kita di dunia.

Kita wajib percaya bahawa Allah Ta'ala Maha 'Adil dalam menentukan nasib dan kedudukan seseorang di Akhirat kelak. Meyakini bahawa balasan yang Allah berikan adalah lebih berharga dan lebih setimpal berbanding balasan atau ganjaran yang kita beri mahupu terima di dunia.

Saya sebutkan secara berbelit di atas, mengenai dua situasi yang berbeza, iaitu untung dan rugi, dunia dan akhirat. Untung dunia ini adalah sangat rendah bandingannya dengan untung Akhirat, Allah Ta'ala Maha 'Adil, maka dengan melakukan sesuatu pekerjaan dengan ikhlas dan sepenuh sandaran kepada Allah, sudah pasti ganjaran yang tersedia dari sisiNya adalah lebih berharga dari dunia dan seluruh isinya. Keimanan ini memangkin kita untuk melakukan sesuatu pekerjaan semata-mata keranaNya.

Kerugian di dunia ini, sama ada kerugian yang disebabkan oleh kita atau menimpa ke atas kita, juga sangatlah kecil dan tidak terbanding dengan kerugian yang menanti mereka yang leka dan alpa di akhirat kelak.

Misalnya, kita terlepas untuk jamuan makan malam, kerana menunaikan solat isya' secara berjemaah di surau, hakikatnya kerugian di sini tidak terbanding dengan nilai ganjaran yang Allah sediakan. Ganjaran pahala solat sekalipun dipandang remeh, namun besar dan JAUH LEBIH BESAR daripada ganjaran makan malam yang kenyangnya bertahan lima minit.

Kita meluangkan masa untuk mengucapkan kalimah Thoiyyibah, SubhanaLlah, AlhamduliLlah, Allahu Akbar, atau membaca Al-Quran, dalam waktu kita dahaga, keletihan dan kekurangan air, tidaklah terbanding dengan ganjaran yang Allah sediakan di akhirat kelak. Kenyangnya kita meminum minuman dari sungai yang mengalir di taman rumah yang Allah sediakan untuk kita di syurga, adalah kekal berbanding kenyang air teh yang tidak sampai sejam ia bertahan.

Ringkas untuk petang ini sebelum berbuka.

Sebenarnya terkait dengan satu pandangan, sekiranya kita ditipu dan ditindas, (dengan tidak sengaja membiarkan diri kita ditindas) setelah mencuba dan berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak ditipu atau ditindas, maka serahkanlah balasan serta segala urusan itu kepada Allah kerana balasan yang mampu Allah sediakan tidak terbayang dan tidak terjangkau oleh akal dan fikiran kita. (sekali lagi, dengan tidak sengaja atau membiarkan sahaja penindasan itu terus berlaku)

"Sedangkan kamu(orangorang kafir) memilih kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat itu adalah lebih baik dan kekal," surah Al-A'la, 87: ayat 16 & 17.


Allahu A'alam.

No comments:

Antara Yang Menarik