Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Friday, August 27, 2010

BSUR!!!

AlhamduliLlah, operasi di KLIA habis awal, tapi disebabkan oleh waktu yang tidak mengizinkan, saya menunaikan solat jumaat di Masjid KLIA, Sepang. Masjid yang penuh dengan memori, di sinilah saya mula jatuh cinta dengan Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, ISIUKM 5 tahun yang lalu. ISIUKM mengajarkan saya erti kehidupan, terasa seperti baru semalam saya bersama teman-teman belajar dan mencabar.

Khatib jemputan kali ini, Ustaz Nizamuddin Zakaria. Tajuk Merdeka.

Meminjam tajuk blog Kakak saya, BSUR! Khatib mengulas mengenai definisi kebebasan dan kemerdekaan yang sebenar. Sambil mengaitkan dengan beberapa insiden yang telah berlaku di tanah air, khatib menjelaskan bahawa merdeka bukan sahaja melepaskan diri dari belenggu penjajah. Tidak pula bermakna merdeka itu membuatkan kita bebas dan sesuka hati kita melakukan apa sahaja, menuntut dan melakukan yang bukan-bukan disebabkan merdekanya kita.

Hakikatnya, merdeka ialah membebaskan diri dari kawalan hawa nafsu, unsur-unsur yang bukan diri sendiri, dan kembali kepada asal penciptaan. Beginilah takrifan bebas dan merdeka yang sebenar-benarnya. Menjadi diri sendiri(Be aS yoU aRe, BSUR) adalah di antara tanda seseorang itu merdeka dan bebas.

Namun, khatib sempat mengulas ada sesetengah pihak, atas nama kebebasan dan hak asasi manusia cuba menuntut persamaan hak mahupun menuntut supaya tidak dilaksanakan hukum-hukum Allah. Orang-orang ini sebenarnya, masih terjajah pemikirannya oleh hawa nafsu dan juga syaitan. Khatib menjelaskan bahawa Allah Ta'ala menyebut dalam surah An-Nisa', 4:32

"Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
Khatib turut mengulas mengenai kajian yang pernah dikeluarkan oleh Pusat Ko-Kurikulum Universiti Putra Malaysia, yang membuat soal-selidik ke atas 400 responden yang terdiri daripada remaja berumur 13 hingga 25 tahun sekitar lembah kelang, mendapati 300 daripada mereka telah terlibat dengan kegiatan salah laku seksual. Berderau darah saya, bahkan ada sesetengah jemaah yang tunduk menggelengkan kepala mereka mendengar khutbah tersebut.

Lebih malang lagi, apabila 85% daripada jumlah yang terlibat itu tidak menyatakan kekesalan atau tidak rasa bersalah di atas perbuatan yang telah mereka lakukan itu. Bergenang air mata ayah-ayah yang berada di masjid berkenaan, kesal di atas dapatan yang dibacakan oleh khatib tersebut. Saya berbisik di dalam hati, mujurlah masjid ni berada di bawah pemerintahan Negeri Selangor, kalau tempat lain barangkali tiada teks yang sebegini dibacakan melainkan diberikan tindakan tatatertib atau pun yang lebih teruk lagi ditutup terus pembesar suara.

Nah, inilah kebenaran yang pahit dan sedang kita telan bersama. Negara kita bukan sahaja tidak merdeka, malah keselamatan warganya berada di tahap yang bahaya. Bila-bila sahaja Allah Ta'ala akan timpakan ke atas kita azab di sebabkan oleh kelalaian kita dan kealpaan kita mentaati dan melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan.


"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik." Al-Maidah, 5:49.

Di hujung khutbah yang ringkas tetapi padat itu, khatib mengajak seluruh manusia untuk kembali kepada ajaran Islam kerana itulah fitrah kejadian manusia. Menjadi diri sendiri, bererti kembali kepada asal-usul penciptaan. Merdeka bermakna membebaskan diri dari belenggu kejahilan, syirik kepada Allah, mundur, lemah, malas, kepada kekayaan ilmu pengetahuan, keimanan yang sebenar kepada Allah, maju, kuat, rajin, produktif, progresif dan peningkatan kualiti amal ibadah untuk diri, masyarakat, bangsa, negara lebih-lebih lagi agama. Melaksanakan segala hukum-hakam dan juga segala perintah-larangan Allah Ta'ala. Kemerdekaan yang sebenar ialah kembalinya kita menghadap Allah dalam keadaan redha dan diredhai.

Khatib menutup khutbah pertama dengan ayat yang sangat hebat dari surah Al-A'raf, 7: 96,

"Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

Masa sudah semakin suntuk, dan sekiranya kita masih bertangguh dan tidak mahu memerdekakan diri kita, "penjajah" yang selama ini membelenggu kita akan membawa kita ke lembah kebinasaan.




No comments:

Antara Yang Menarik