Baru-baru ini, saya sempat berbual dan bersembang-sembang dengan beberapa orang sahabat dari banyak tempat dan latar perjumpaan. Kebanyakannya berkisar tentang persiapan untuk menempa kejayaan dan kemenangan. Bermula dengan kemenangan di dunia, hinggalah kemenangan di akhirat.
Saya tertarik dengan satu perkataan yang diucapkan oleh sahabat saya, berkaitan dengan Qadar Allah. Tiba-tiba kami berbincang panjang tentang pengertian sebenar Qadar Allah. Sejujurnya, saya masih ragu-ragu untuk menulis berkaitan perkara ini kerana masih terlalu sedikit bacaan yang telah saya buat berkaitan perkara ini, disongkong pula dengan kejahilan dan kedangkalan ilmu yang tidak sepertinya ini.
Apapun saya gagahkan untuk menulis, moga ada pembetulan dari teman-teman yang sudi membaca dan menegur.
Saya terjumpa satu laman yang menarik, ringkas dan padat yang menerangkan serba sedikit mengenai Qada' dan Qadar, antara yang dimuatkan di dalam laman tersebut, hadith Nabi Muhammad SAW,
Satu sudut yang saya dan sahabat saya masih cuba fikirkan di sini ialah, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ayat Allah Ta'ala
"Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahanNya; dan Dia lah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna." (Al-Furqan, 25:2)
Fokus kepada bahagian terakhir ayat ini, iaitu kalamNya "Menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan keadaan takdir yang sempurna"
Orientalis sangat gemarkan ayat ini, mendakwa bahawa tiada fungsi manusia(orang Islam terutamanya) hidup kerana segalanya telah ditentukan sejak azali, divine destiny atau juga disebut sebagai predestination.
Soalan yang biasa dikemukan ialah, "di mana fungsi manusia?"
Hakikatnya, sebagai hamba yang ta'at dan patuh kepada Allah Ta'ala, beriman bahawa tiada Tuhan yang layak disembah, dipuji, dipuja, dirayu, diminta segala-gala hajat, melainkan Allah, maka dengan mudah kita akan menjawab,
"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)" (Surah Al-Mulk, 67:2)
Saya berminat untuk menarik perhatian supaya dapat kita fikir dan renungkan bersama, bagaimanakah perincian maksud takdir Allah?
Cuba selesaikan soalan-soalan di bawah,
1. Apakah faktor kejayaan Yahudi menawan dan menakluk dunia sehinggamemperlakukan manusia, khususnya muslim seperti sampah?2. Bagaimanakan sesuatu ubat itu boleh menyembuhkan penyakit?3. Kenapa selepas kita berlari, kita akan berhenti kepenatan?4. Kenapa jika makan kenyang, dan lapar jika sebaliknya?5. Bagaimana munculnya teknologi maklumat dan kaitannya dengan takdir Allah?6. Bagaimana musuh anda memenangi perlawanan?
Untuk ke-enam-enam soalan yang biasa dan mudah ini, adalah benar dan betul sekiranya anda menjawab "ini semua Takdir Allah". Tiada ragu oleh saya dan kita semua mengenainya.
Tetapi, saya cuba definisikan semula perkataan "qadar" itu kepada ketetapan berbentuk formula yang Allah Ta'ala gunakan untuk menentukan setiap sesuatu kejadian di dunia ini. Bermaksud, Qadar itu sebenarnya "formula" yang telah Allah siapkan sejak kita masih berada di alam ruh tentang segala perkara yang akan berlaku di atas dunia ini.
Tiada suatu pun yang akan terlepas daripada formula Allah. Begitu juga halnya keadaan "takdir" yang ditetapkan ke atas kita, sebenarnya adalah rumus yang telah ditulis segala kira-kira lengkap mengenainya. Misalnya, rumus untuk orang yang makan, natijahnya ialah kenyang. Rumus bagi orang yang berusaha, sekiranya cukup pembolehubah-pembolehubah(variable) yang diperlukan, maka akan berjaya.
Begitu juga halnya dengan kemenangan musuh dan kekalahan kita, rumus yang telah dilengkapkan oleh Allah atas mana-mana pertarungan dan pertandingan di atas dunia ini, sekalipun kita berada di pihak yang benar, jika kita tidak mempunyai pembolehubah yang diperlukan, kekalahan akan tetap menemani kita sepanjang hayat kita ini.
Maka kesimpulan awal yang dapat saya bentuk daripada perbincangan kami, Takdir itu sebenarnya berbentuk formula atas tindakan dan perbuatan kita. Tiada perkara yang terlepas daripada formula dan peraturan Allah. Kejadian kiamat juga, akan berlaku disebabkan formula kedatangannya telah sedia ditulis dan segala pembolehubah yang diperlukan untuk terjadinya kiamat itu juga di bawah pengetahuan dan kawalan Allah.
Adapun Allah Ta'ala yang mencipta formula, dan Dia berhak melakukan apa sahaja yang dia kehendaki, kerana
"Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi." (Surah Yasin, 36:82)
Jika ada kebaikan dari tulisan ini, maka jadikanlah ianya sebagai pedoman dan ingatan untuk kita bersama. Adapun kelemahan dan kekurangan yang tidak disengajakan dan berpunca dari kedangkalan ilmu dan kecetekan pengalaman, mohon sama-sama diperbetulkan.
Kita kalah, bukan hanya kerana kita diuji, tetapi kalah kerana kita tidak punya cukup "pembolehubah" untuk menang. Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar...
Jom, Kita teruskan berpesta!!!
No comments:
Post a Comment