Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Tuesday, August 10, 2010

Desakan Untuk Berpolitik


Sudah tentu saya antara jutaan rakyat Malaysia yang bersetuju malah amat bersetuju untuk kita terus mendesak supaya Kerajaan melaksanakan dengan sesungguhnya amalan demokrasi di Malaysia. Sewajarnya, perlembagaan persekutuan yang menaungi setiap pergerakan dan peraturan rakyat Malaysia ini dijadikan rujukan utama dan sebarang undang-undang yang bercanggah dengannya mestilah dibatalkan dengan segera.

Saya ingin menarik minat dan perhatian semua untuk kita sama-sama, sekali lagi membaca kandungan perlembagaan persekutuan, terutamanya Bahagian II, berkaitan Hak Asasi khusus kepada Perkara 10,

Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)—
(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;
(b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;
(c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.
(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan—
(a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara- negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan;
(b) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persektuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam;
(c) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.
(3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.
(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.

Sudah menjadi tanggungawab saya, dan semua rakyat Malaysia untuk sama-sama mendokong perlembagaan ini sebagai titik pertemuan kepada persefahaman tentang bagaimana kita menjalankan kehidupan kita masing-masing di Malaysia yang sama-sama kita kongsi udara, air dan segala yang terkandung di dalamnya. Begitu juga dengan prisnsip demokrasi yang menjadi tunjang dan amalan pentadbiran negara sejak sekian lama.

Bayangkan, jika tanpa peraturan, kita tidak mungkin akan dapat menyelesaikan masalah dan konflik yang berlaku saban hari. Contoh mudah, jika kita gagal bersetuju bahawa "MERAH TANDA BERHENTI", dan memilih warna kegemaran masing-masing untuk berhenti mahupun berjalan, maka sudah pasti hasilnya ialah kecelaruan lalu lintas. Tanpa peraturan yang dipersetujui bersama, pergerakan dan kehidupan seharian kita akan tersekat dan terhenti. Konflik akan bertambah dan kemusnahan akan berlaku di mana-mana.

Isu kehormatan diri misalnya, jika kita gagal memahami keperluan untuk menjaga kehormatan diri dan orang lain, dan memilih untuk memberikan tafsiran tersendiri terhadap "kepentingan menjaga kehormatan diri", maka natijahnya ialah kecelaruan sosial dan mengakibatkan krisis pergaulan dan perhubungan yang kronik.

Kembali kepada desakan untuk berpolitik. Sudah pasti, kebebasan berpolitik ini perlu disambut baik oleh semua pihak. Namun, terlebih dahulu kefahaman dan tafsiran khusus terhadap definisi "kebebasan berpolitik" perlu diperjelaskan supaya tidak berlakunya kecelaruan. Istilah politik misalnya, umum memberikan gambaran dan persepsi yang agak negatif terhadap politik. Hakikatnya, politik ini ialah segala hal yang melibatkan pengurusan kehidupan manusia. Bagaimana kita ditadbir dan mentadbir segala urusan seharian kita. Politik perlu difahami dalam konteks yang lebih luas. Ianya bukan sekadar menunjukkan warna, malah yang terlebih penting daripada itu ialah nilai yang dipegang dan dilaksanakan.

Politik sebagai alat pemerintahan dan pentadbiran, sewajarnya berfungsi untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam Kerajaan serta segala urusan dan perkara yang melibatkan kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira sempadan usia, ras dan keturunan. Setiap warganegara bahkan mereka yang mendapat permit untuk berada di Malaysia ini perlu dijamin keselamatan dan hak masing-masing, dan ini proses ini juga perlu melalui suatu proses yang dinamakan politik. Sekecil-kecil bayi pun menerima kesan dari iklim politik yang melanda sesebuah negara inikan pula golongan Mahasiswa dan kakitangan kerajaan yang mengawal dan mengatur kehidupan sendiri.

Memilih dan dipilih merupakan kata kunci utama terhadap penglibatan seseorang dalam politik. Bahawa seseorang itu perlu diberikan kebebasan untuk memilih dan dipilih. Memilih dan dipilih bukan sekadar memilih warna dan kelompok yang disukai, termasuklah dalam memilih serta memperjuangkan nilai yang pada pandangannya perlu diketengahkan. Setiap rakyat perlu diberikan hak untuk menyatakan pandangan dan pendirian masing-masing. Manusia yang tidak berpendirian samalah seperti lalang yang ditiup angin, maka menidakkan kebebasan untuk berpendirian samalah seperti "me-lalang-kan manusia". Kerajaan yang prihatin terhadap kelangsungan hidup dan penjanaan potensi tenaga manusia, perlu melihat kepada perkara ini secara serius.

Jangan salahkan sistem pendidikan, jika anda sendiri memainkan peranan sebagai kilang mencetak lalang yang utama dalam negara.

Saya bersyukur dan berbangga kerana dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. Malaysia merupaka sebuah negara yang makmur dan aman. Rakyatnya hidup dalam rukun dan damai. Setidak-tidaknya kita masih lagi mampu mengawal beberapa bahagian penting dalam kehidupan seharian kita. Namun, rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kemampuan sistem sedia ada dalam mentadbir dan menguruskan kehidupan mereka seharian. Pihak berkuasa semakin hilang "kuasanya" pada pandangan sebahagian masyarakat menyebabkan mereka merasakan undang-undang yang sedia tidak berhak dipatuhi. Sistem pendidikan juga hilang cengkamannya terhadap perkembangan dan pertumbuhan minda anak muda menyebabkan mereka sduah semakin hilang minat untuk belajar dan mengasah bakat serta potensi mereka masing.

Langkah untuk pencerahan sistem demokrasi ini perlu dimulakan secepat mungkin supaya rakyat kembai peka dan prihatin terhadap sistem dan nilai yang selama ini mengatur dan menguruskan kehidupan mereka sehari-hari.


No comments:

Antara Yang Menarik