Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, August 19, 2010

Malaysia Masih Lemah Dari Segi kemahiran urustadbir negara.

Malaysia masih ketinggalan dalam mengamalkan prinsip-prinsip asas kemahiran mengurustadbir yang baik. Urustadbir yang baik (Good Governance) ialah proses bagaimana sesuatu keputusan itu dibuat dan juga bagaimana tahap keberkesanan sesuatu tindakan yang diambil. Antara prinsip asas yang penting untuk menjadi kerajaan yang cemerlang dari segi urustadbir, maka kerajaan perlulah bersifat telus dari segi perbendaharaan, mengamalkan prinsip kedaulatan undang-undang, menekankan aspek partisipasi ramai dalam setiap proses membuat, lebih-lebih lagi melaksanakan sesuatu keputusan.

Dilema harga barang, trauma akibat kadar jenayah yang semakin meningkat, serta pelbagai krisis politik, ekonomi dan sosial yang berlaku di dalam negara pada ketika ini perlu diselesaikan dengan segera menggunakan kemahiran urustadbir yang baik. Hakikatnya, soal kemahiran urustadbir ini juga telah sekian lama dibincangkan dari segenap peringkat dalam negara dan dunia.

Rakyat berhak mengetahui situasi sebenar yang berlaku supaya langkah-langkah pengawasan dan pencegahan dapat diatur dengan baik. Sekiranya media terus-menerus melaporkan berita-berita yang hanya memenangkan sesetengah pihak, dan sesetengah berita itu sengaja disebarkan untuk menutup sebahagian yang lain, maka rakyat akan terus berada dalam keadaan tertipu. Ketelusan bukanlah semata-mata melibatkan hal kewangan dan perbendaharaan negara, ketelusan dalam menyampaikan berita juga adalah sangat penting supaya rakyat peka dan prihatin terhadap isu-isu yang benar-benar berlaku.

Sudut partisipasi, kerajaan perlu imbang antara kebebasan dan sekatan. Membiarkan rakyat berpolitik tanpa kawalan hanya akan membuatkan negara menjadi kucar-kacir. Namun, menyekat kebebasan rakyat untuk berpolitik hanya akan membuatkan keadaan yang teruk bertambah teruk disebabkan sikap tidak ambil peduli yang dipupuk oleh kerajaan sendiri.

Saya yakin pihak Polis DiRaja Malaysia sendiri mengalami masalah dalam mendapatkan kerjasama orang ramai dalam menangani sesuatu jenayah, berpunca dari sikap mementingkan diri dan kurang mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti bermasyarakat. Sekali lagi, berpunca dari sekatan yang dibuat oleh kerajaan ke atas rakyat dalam bab berpolitik. Politik bukanlah perkara yang semata-mata bersifat kuasa. Malah menurut Islam, politik disifatkan sebagai seni menyelesaikan masalah.

Amat malang bagi sebuah kerajaan yang hampir mencecah usia 53 tahun merdeka, mengecap pelbagai jenis kemewahan dan kemajuan, tetapi masih mundur dan ketinggalan dalam mendidik dan melahirkan bangsa yang bertamadun. Sekalipun perkembangan tamadun material Malaysia berkembang dengan begitu pesat dan membanggakan, namun hakikatnya kita sedang menanti ianya dihancurkan oleh generasi yang mundur ketamadunan insannya yang kini sedang membesar dan bakal mengambil alih teraju kepimpinan negara.

No comments:

Antara Yang Menarik