Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, August 9, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 19

“Sekiranya aku khabarkan kepada kalian bahawa di belakang bukit ini ada sekumpulan tentera yang dating ingin menghancurkan kamu, adakah kamu percaya?” ujar RasuluLlah memulakan pidatonya dengan soalan yang cukup signifikan terhadap mesej yang akan disampaikan.

Lalu bersahutlah penduduk Mekah yang hadir pada perhimpunan aman tersebut, “Kami percaya, engkau tidak pernah menipu!” sahut penduduk Mekah yang kebanyakannnya terdiri daripada kaum quraisy yang juga merupakan kaum keluarga Baginda.

Setelah menerima respon yang positif daripada semua hadirin, maka RasuluLlah menyambung pidatonya dengan berkata, “Sesungguhnya aku diutuskan oleh Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, sebagai Rasul untuk mengajak kepada kalian kepada tidak menyembah selain Allah dan tidak mempersekutukannya dengan sesuatu pun, dan berbuat kepada ibu bapa...” belum pun sempat RasuluLlah menghabiskan ayatnya, tiba-tiba satu suara bertempik,

“Celaka engkau!! Adakah kerana semata-mata ini engkau menghimpunkan kami di sini?” tempik Abu Lahab, sambil mengarahkan jari telunjuknya kea rah Nabi, berang di atas seruan yang diucapkan oleh Nabi.

Maka beredarlah Abu Lahab dan para pengikutnya yang setia. Juga sebahagian penduduk Mekah yang terpaksa memilih untuk berpihak kepada Abu Lahab kerana pengaruh dan kuasa yang ada pada Abu Lahab sebagai pihak Kerajaan Mekah pada ketika itu.

Maka tinggallah RasuluLlah berdiri sendirian di atas bukit Safa, yang kini sedang ku pijak, bersama-sama para sahabat Baginda yang beriman. Sedih dan kecewa yang dialami oleh Nabi bukanlah kerana dirinya tidak diterima dan diherdik, akan tetapi kerana kegagalanya menyampaikan kebenaran kepada umat kesayangannya. Baginda sanggup membiarkan dirinya terhina dan terseksa semata-mata kerana kasih dan sayangnya terhadap umatnya.

Lalu Allah Subhanahu Wa Ta’ala menurunkan surah yang membalas perbuatan Abu Lahab di dalam surah Al-Masad, 111: ayat 1-5,

“Celakalah kedua tangan Abu Lahab dan benar-benar celakalah dia. Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergelojak(neraka). Dan (begitu pula) isterinya pembawa kayu bakar (penyebar fitnah), Di lehernya ada tali sabut yang terpintal.”

Begitulah penghinaan yang diterima oleh Abu Lahab disebabkan tindakannya yang biadab terhadap kekasih dan pesuruh Allah, Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya bagi Allah dan para Rasul segala kemuliaan sekalipun orang-orang kafir enggan mengakuinya.

Sukar untuk digambarkan perasaan ketika menjejakkan kaki di atas bukit safa ini. Jarak antara bukit Safa dan Marwah lebih kurang 400 meter. Jika dahulu, Siti Hajar berlari di tengah panas, kini tempat Saie telah dibuat di dalam bangunan. Lantai marmar putih yang sangat cantik dan selesa, serta dibina tiga tingkat untuk mengurangkan kesesakan. 70 % permukaan Bukit safa dan Marwah juga sudah diletakkan dengan lantai marmar. Hanya sebahagian sahaja yang masih terdedah secara asli, itupun dipagarkan untuk mengelak aktiviti tidak sihat oleh mereka yang menambah-nambah dalam urusan ibadah Saie ini.

Sebaik selepas berniat untuk memulakan Saie ini, disunatkan untuk memalingkan badan ke arah Kaabah dan melakukan istilam, iaitu mengangkat tangan sambil mengucapkan,

“Dengan Nama Allah, Allah Maha Besar,” dan menurunkan tangan tanpa mengucupnya.

Maka bermulalah langkah untuk pusingan yang pertama iaitu dari Safa ke Marwah. Setiap perjalanan dari Safa ke Marwah dikira sebagai satu pusingan, dan begitu juga setiap perjalanan dari Marwah kembali ke Safa juga dikira sebagai satu pusingan. Maka untuk melengkapkan tujuh pusingan, ibadah Saie ini akan berakhir di bukit marwah. Di antara Safa dan Marwah, terdapat kawasan garisan hijau yang ditandai dengan lampu hijau menandakan tempat yang disunatkan berlari-lari anak, dan hanya disunatkan untuk kaum lelaki.

Sekali lagi, peringatan untuk kaum lelaki supaya hidup lebih susah daripada kaum wanita. Sejarah menunjukkan ibadah Saie ini adalah sebagai mengenang perbuatan Siti Hajar yang berulang-alik anta Safa dan Marwah untuk mencari air dan manusia, dan Siti hajar seperti yang diketahui semua adalah seorang wanita. Namun, untuk berlari-lari anak di antara garisan hijau tersebut hanya disunatkan untuk lelaki. Hebat.


Bersambung...

No comments:

Antara Yang Menarik