Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, August 25, 2010

Masa untuk membuat koreksi...

Sudah hampir separuh perjalanan pesta ibadah kita untuk tahun 1431 ini. AlhamduliLlah, semalam dijemput oleh Allah untuk terus mendirikan malam-malam di bulan Ramadhan, diberikan pula peluang mendengar Tazkirah oleh Yang Berbahagia, Ust Muhammad Al-Rifa'e. Mengajak para jemaah untuk membuat penelitian semula, apakah tercapai matlamat "pesta" ibadah kita pada kali ini.

Beliau mengulas lanjut berkaitan hali ini, memulakannya dengan sindirian yang agak sinis,

"Itupun kalau kita mempunyai matlamat," ujarnya sebagai memulakan ulasan selepas 8 rakaat terawih yang diimamkan oleh rakan serumah Ustaz Mohamad Khamal Daud.

Tepat sungguh sindiran Ustaz, adakah kita telah menetapkan matlamat yang ingin dicapai dalam ibadah kita di bulan ramadhan ini??

Jika ada, adakah matlamat itu selari dan bertepatan dengan matlamat yang digariskan oleh Allah Ta'ala?

"Ada yang berpuasa kerana nak kuruskan badan(oops), maka setelah 15 hari berlalu, eloklah diambil penimbang dan meneliti semula, sejauh mana matlamat menguruskan badan itu telah dicapai," sambungnya lagi.

"Bulan Ramadhan ini mempunyai matlamat yang jauh lebih umum dan jauh lebih besar berbanding bulan-bulan lain, ada solat yang hanya terdapat di bulan Ramadhan, ada puasa yang hanya wajib di bulan Ramadhan, ada juga yang menunaikan umrah di bulan ramadhan, ada zakat Fitrah yang juga hanya disyariatkan di bulan ramadhan. Membawa makna, ibadah di bulan Ramadhan secara keseluruhannya membawa kepada satu matlamat yang besar," jelas Ustaz lagi.

Menarik dan sungguh mengenyangkan Tazkirah daripada Yang Berbahagia Ustaz, semoga Alalh menjangkan usia beliau dan mengurniakan beliau kesihatan tubuh badan yang berpanjnagan.

Terasa begitu bermakna jemputan dan undangan yang diberikan oleh Allah kepada kita untuk menyertai program pesta Ibadah yang sungguh bermakna ini.

Saya teringat ketika kecil-kecil dulu(kecil saiz dan umur), waktu itu saya di tingkatan 2. Ibu dan Ayah saya telah berpindah dari Ampang ke Kampung Selboh, Parit, Perak. Ramadhan pada tahun itu jatuh pada musim cuti sekolah. Hampir setiap malam saya berbasikal kira-kira 3km seorang diri, semata-mata ingin bertadarus di Masjid Daerah Perak Tengah, di Pekan parit. Pekan Parit waktu itu tidak semeriah sekarang, gelap-gelita dan terpaksa melewati kawasan perkuburan. Kecil lagi saya waktu itu, tapi besar jiwanya.

"Assalamu'alaikum Ya Ahlal Qubur," bisik saya setiap kali melewati Kawasan Tanah Perkuburan Orang Islam Parit, yang terletak di Kampung tengah. Mungkin bagi salam untuk mengelakkan diganggu. hmmm.

Sekarang, saya sudah BESAR, tapi jiwa mungkin tidak sebesar dulu. Sekarang hanya perlu memulas kunci, menghidupkan enjin dan menekan minyak, maka sejenak sudah sampai ke surau atau masjid, kalau takut boleh sahaja dipasangkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Begini besar, agaknya hantu pun takut. Tapi, dari 15 malam yang berlalu, masih ada lompang kosong yang ditinggalkan sama ada sengaja atau tidak sengaja. Ya Allah, kuatkan hambuMu ini.

Mujurlah saya ditempatkan di kawasan rukun tetangga yang masih sihat dengan amalan kejiranan yang sangat mesra dan sangat hidup dari segi budaya berjirannya. Saya bertadarus dengan ahli qariah yang rata-ratanya orang-orang besar. Ada guru besar, ada saudagar besar, ada orang penting kementerian dan sebagainya. Semuanya merendahkan diri mereka dan sama-sama kami bertadarus sehingga lewat malam.

Rekod kehadiran tadarus tidak pernah dicatat, serasa saya, kami yang muda-muda inilah yang pernah ponteng nak dibandingkan dengan mereka. Sedih. Apalah ada pada kelancaran dan kefahaman ilmu agama, jika surau dan masjid pun tak turun? Sibuk sangatkah kita dengan perjuangan sehingga mengabaikan kelebihan dan jemputan Allah untuk melipatgandakan amalan di bulan Ramadhan?

Teringat ayat yang kami baca semalam,

"Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka)." Surah Fathir, 35:5.
Al-Ghurur ini bermaksud golongan yang terpedaya, jom kaji apakah yang dimaksudkan dengan Al-Ghurur ini dan bertindak mengelakkan diri kita dari tergolong di kalangan orang-orang yang terpedaya.

Ayuh, kita membuat koreksi amalan dan meneliti semula apakah kita sebenarnya punya matlamat dalam bulan ramadhan ini, dan sejauh mana pula kita sudah bergerak ke arahnya. Pusingan separuh yang kedua ini, kita berpesta dengan lebih galak dan menggalakkan... JOM!!!



No comments:

Antara Yang Menarik