Dalam ibadah umrah ini, perkara yang wajib dilakukan hanyalah perbuatan. Misalnya rukun kedua dan ketiga, iaitu tawaf dan saie, kedua-duanya wajib dilakukan sebanyak 7 pusingan mengikut tetapan-tetapan tertentu. Tawaf misalnya, perlu dibuat secara berlawanan arah jam, sementara segala perbuatan istilam, doa dan segala bacaan-bacaan yang disusun itu hanyalah sunat dan boleh digantikan dengan bacaan yang lain.
Tawaf dan saie, selain perlu dicukupkan bilangan tujuh tanpa was-was, perlulah dilakukan semata-mata untuk tawaf mahupun saie sahaja. Pusingan tawaf atau saie yang dibuat bercampur dengan tujuan lain adalah dikira tidak sah dan perlu menggantikan dengan pusingan yang baru.
Kefahaman ini membantu saya untuk meneruskan ibadah saie tanpa menoleh kiri dan kanan, apalagi ke belakang untuk mencari ahli jemaah yang telah terpisah. Saya faham bahawa saya perlu menghabiskan ketujuh-tujuh pusingan ini terlebih dahulu barulah menumpukan usaha mencari ahli jemaah yang terpisah kemudian daripada itu.
Berbeza dengan tawaf, saie boleh dilakukan tanpa wudhu' kerana wudhu' bukanlah syarat sah saie. Berbeza dengan tawaf yang wajib dalam keadaan suci, iaitu bersih dari hadas kecil atau besar. Sebab itu, akan menjadi masalah bagi mereka yang tidak memahami hukum dan akan kerap pula memperbaharui wudhu'' disebabkan tersentuh antara kulit lelaki dan perempuan yang bukan mahram ketika melaksanakan tawaf.
Namun, begitu juga tawaf, sekiranya was-was dengan bilangan pusingan, maka hendaklah mengambil bilangan yang sedikit untuk mengelakkan terkurang. Misalnya terkeliru antara 3 atau 4, maka lebih afdhal kita mengambil kiraan 3 untuk mengelakkan daripada terkurang. Demikian pula sekiranya kita berhenti untuk berehat (diharuskan), maka sebaiknya kita mulakan dengan mengundur sedikit ke belakang dari tempat kita rehat supaya mengelakkan was-was dan terkurang dari segi bilangan dan kesempurnaan rukun saie atau tawaf yang kita lakukan.
Walaupun kerap kali juga saya berselisih dengan ahli-ahli jemaah, ada yang dipintas, ada juga yang dipintas, namun kami masing-masing menjalankan ibadah saie dengan sempurna dan tekun supaya kualitinya tidak terjejas.
Jam menunjukkan pukul 8.30 malam. Kira-kira 2 atau 3 minit lagi, azan Isya' akan berkumandang. Saya mempercepatkan langkah supaya dapat menghabiskan dua lagi pusingan setelah lima pusingan dibuat. Mujur kiraan saya tepat, kerana untuk setiap bilangan yang ganjil perlu berhenti di Marwah, manakala setiap bilangan genap akan berhenti di safa. Ketika mula menuruni bukit marwah, azan pun berkumandang. Langkah saya semakin laju. Ada kira-kira 800 meter yang perlu dihabiskan.
Saya terus sahaja berjalan, begitu juga dengan orang-orang lain, kami terus berjalan mengerjakan saie. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Maka teruslah saya berjalan. Jerit dan tempik orang-orang Arab, membaca doa secara kuat bersama-sama terus kedengaran. Orang Iran memang gemar melakukan ibadah tawaf dan saie secara kumpulan beramai-ramai, saya sendiri tidak pasti sama ada mereka merupakan satu keluarga yang besar atau memang datang bersama agensi dan ibadah tersebut dibimbing oleh agensi berkenaan. Saya juga melakukan perkara yang sama, iaitu cuba membimbing ahli jemaah, namun ramai yang lebih gemar melakukannya sendiri.
Ada baiknya dilakukan secara berasingan supaya tidak terkejar-kejar atau tidak pula terlalu lambat untuk mengikut langkah orang lain yang dari kumpulan yang sama. Dengan ini, ibadah saie akan dilakukan dengan lebih penghayatan dan lebih berkesan. Lebih baik lambat asal kesannya optimum, daripada cepat tetapi sekadar melepaskan batok ditangga.
"tak ngapela ustaz, bior saya jalan belakang, sampai jugak nanti mudah-mudahan," ujar Haji Salleh sambil berjalan perlahan-lahan mengikut rentak dan temponya sendiri.
Rupanya, ketika di Masjid Haram dan Masjid Nabi, juga di mana-mana surau atau masjid di Arab Saudi ini, iqamah akan dilaungkan 15 minit selepas azan. Sebagai memberikan ruang untuk solat sunat dan kepada jemaah yang duduk berjauhan dari masjid. Saya dapati peraturan ini sangat menyenangkan dan memudahkan untuk memudahkan jemaah menunaikan solat jemaah bersama.
Sebaik sahaja tiba di bukit safa, selepas istilam, saya terus melangkah menuju ke bukit marwah semula menamatkan tujuh pusingan saie. Sebaik sahaja mendaki bukit marwah untuk penghabisan, iqamah dilaungkan. AlhamduliLLah, sempat juga saya habiskan.
Kelihatan ada jemaah yang tidak sempat menamatkan pusingan yang lengkap dan berhenti di tengah-tengah, mereka terus menunaikn solat di tempat mereka berhenti dan menyambungnya sedikit ke belakang dari tempat mereka berhenti tadi.
Fuhh, lega rasanya dapat menamatkan ibadah saie ini. Tiga bahagian rambut siap dipotong menandakan rukun tahalul yang telah sempurna, juga menandakan tamatlah sudah ibadah umrah yang pertama dalam hidup. Disebabkan terlalu bersemangat dan tergopoh-gapah untuk bertahalul, agak banyak dan panjang juga rambut yang saya terpotong dibahagian depan, ada yang terperasan,
"Hai, tobek rambut ko," ujar Nawfal, umurnya sebaya, rakan bual saya sepanjang di sana.
saya hanya menyambut dengan tersengih. Tak mengapa, lepas ni cukur habis, pujuk saya di dalam hati.
Seketika teringat, ada beberapa tugasan yang perlu disiapkan, operasi mencari dan menyelamat...
Bersambung...
No comments:
Post a Comment