Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Friday, October 24, 2008

Manusia akan sentiasa SIBUK..

Manusia akan sentiasa SIBUK..

“Telah Berjaya orang-orang yang Beriman, iaitu mereka yang khusyu’ mengerjakan solat, dan mereka yang meninggalkan perkara-perkara lagha(sia-sia)”
(Al-Mu’minun, 23:1-3)

“Diampunkan bagi kamu dosa-dosa, dan dimasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Demikian itulah Kejayaan yang agung”
(As-Saf, 61:12)

Sabda Nabi Muhammad SAW,

“Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah akannya kebaikan, Allah akan memberikan orang itu kefaqihan dalam Ad-Deen”


Sedar atau tidak, hakikat kehidupan manusia ialah sentiasa akan ada kerja ataupun perbuatan yang dilakukan sepanjang 24 jam sehari, 7 hari seminggu, setiap saat, detik dan waktu. Sama ada pada ketika itu seseorang itu tidur, bercakap, makan, minum, berjalan, termenung, menyanyi dan apa jua kelakuan akan dikira sebagai amalan. Bagi setiap amalan itu pula, akan dicatit oleh Malaikat Raqib dan ‘Atid.

Setiap kelakuan tersebut akan dicatit sama ada sebagai kebaikan yang akan membawa kepada ganjaran pahala, mahupun keburukan yang akan dibalas dengan azab dan seksa. Segala tindak-tanduk manusia akan dicatat dan tidak akan terlepas walau pun sesaat dari tempoh kehidupan setiap manusia yang hidup di atas muka bumi ini.

Maka, Apakah yang akan membezakan sesuatu tindakan itu baik atau buruk? Bagaimana pula caranya memastikan kita sentiasa berada di dalam kebaikan?

Persoalan mengenai pekerjaan yang baik bergantung kepada 2 kata kunci utama, niat dan syari’at.

1. Soal Niat = Disebut dalam hadith pertama dalam Kitab Hadith 40: Imam Nawawi, bahawa setiap amalan itu bergantung kepada niat, keikhlasan kita melakukan sesuatu perkara. Orang yang ikhlas, betul niatnya, ialah orang yang melakukan sesuatu perkara itu hanya kerana Allah dan Rasul. Manakala orang yang salah niatnya ialah mereka yang melakukan sesuatu perkara selain daripada kerana Allah dan Rasul. Boleh jadi kerana harta, manusia, mahupun sebab-sebab yang lain.
2. Soal syariat = sekalipun niat seseorang itu ikhlas kerana Allah, tak bermakna dia boleh melakukan sesuatu sesuka hati. Definisi Islam sebagai Ad-Deen(cara hidup) menunjukkan bahawa ada peraturan dan sempadan yang telah diturnkan untuk memandu manusia dalam setiap gerakgeri kehidupan. Digariskan lima jenis perbuatan iaitu wajib, sunat, harus, makruh, haram yang perlu diketahui oleh setiap manusia.

Telah diperjelaskan di atas bahawa kita berada dalam kondisi “beramal” pada setiap saat dan ketika. Maka pada setiap saat dan ketika itulah kita perlu sentiasa betulkan amalan kita supaya ikhlas dan menepati syariat. Sebab itulah RasuluLlah SAW berpesan bahawa jika kita dipilih oleh Allah untuk mendapat kebaikan, Allah akan memberikan kita kefahaman dalam Islam(cara hidup).

Saya sejujurnya tidak setuju dengan penggunaan “agama” untuk Islam kerana ia akan menyempitkan pemikiran. Islam sebagai Ad-Deen ataupun cara hidup adalah definisi terbaik supaya kita jelas dengan tuntutan untuk membetulkan dan memperbaiki amalan kita. Kita perlu sentiasa memilih dan meneliti perbuatan kita supaya tergolong di kalangan orang-orang yang Berjaya.

Oleh itu, bagi memastikan kita sentiasa berada di dalam kebaikan, beberapa asas penting perlu difahami, iaitu

1. Sifat iman manusia yang bertambah dan berkurang.
2. Fitrah kejadian manusia yang dikurniakan naluri(baik) dan nafsu(jahat).
3. Sumber rujukan menentukan hokum, Al-Quran dan As-Sunnah.
4. Ilmu dan teladan sebagai pembimbing dan panduan.

Kita akan sentiasa terdedah kepada “kilauan kaca yang menipu”, bahkan acapkali kita sengaja memilih kaca walaupun kita tahu permata itulah yang berharga. Di tambah dengan kedangkalan ilmu mengenai Islam, menyebabkan kita tersalah dan terpedaya secara sedar ataupun sebaliknya.

Maka kita perlu sentiasa menyibukkan diri kita dengan kerja-kerja Islam dan merapatkan hubungan kita dengan sebarang perkara yang berkaitan dengan Islam. Termasuklah bergaul dengan orang Islam, menyertai persatuan Islam, membaca buku-buku Islam, mendengar ceramah Islam, berbual mengenai Islam, menulis mengenai Islam, malah berfikir dan berangan-angan mengenai Islam.

Saya berpandangan inilah yang sebenarnya dimaksudkan dengan MenSIBUKkan diri kita dengan Islam. Saya juga berpandangan sekiranya kita tidak menSIBUKkan diri kita dengan perkara yang baik, maka sudah pasti perkara yang tidak baik akan menSIBUKkan kita. Maka saya berpesan kepada Farid, dan semuanya Marilah Beramal! Beramal Kerana Allah.

“Dalam kilauan permata, pasti ada kilauan kaca yang menipu.”

Tuesday, October 21, 2008

selamat pagi....


AlhamduliLlah.. hari nie, 21/10/1429, 21/10/2008, En. Matahari masih memilih timur sebagai tempat dia memulakan tugas menerangi bumi yang didiami bilion2 makhluk Allah Ta'ala. Manusia yang menjadi "wakil"Nya ke atas muka bumi ini sering kali terlupa dan tersilap, bahawa misi penting yang digalas oleh kita adalah memastikan kelestarian pembangunan dan pemakmuran bumi ini berjalan seiring dengan sunnah dan syariah yang ditetapkan.

umum mengetahui bahawa landasan cara hidup yang terindah dan terbaik yang disediakan oleh Tuhan yang Maha Pencipta adalah Islam. walaupun akal mengiyakan, namun nafsu tetap menjadi pembuat keputusan dalam segala macam hal. maka terheretlah manusia ke landasan yang menyimpang dari arah yang sebenarnya. Setiap kali pancaran matahari menerangi alam, setiap kali itulah juga, paling tidak, petunjuk dari Yang Maha Esa, mengingatkan akan asal usul kejadian kita yang amat dhaif dan hina. Moga sentiasa dilimpahi rahmat dan kasih sayangNya.Moga terlintas di hati untuk sentiasa merenung dan berfikir demi kebaikan diri dan semuanya...

Sunday, October 12, 2008

Umat Islam vs Orang Kristian

Kadar pertumbuhan bilangan penganut agama Kristian dan orang Islam di Dunia.

Dialah yang mengutus para RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, untuk memenangkannya di atas segala agama meskipun orang-orang musyrik membencinya. (Al-Quran, Surah As-Saff, 61:59)

Maha Benar firman Allah SWT dalam kitab suci Al-Quran yang menyatakan janjiNya terhadap kemenangan dan keizzahan Islam di atas muka bumi ini sekalipun pelbagai strategi dan aktiviti yang dilakukan oleh orang-orang kafir dan musuh-musuh Islam untuk menyesatkan umat manusia daripada cara hidup yang sebenarnya.

Kita sering mendengar pergerakan dakyah kristianisasi yang cuba menyebarkan fahaman kristianisasi kepada semua manusia khususnya umat Islam, malah pelbagai statistic dikeluarkan seolah menceritakan kejayaan para pendakyah kristian akan usaha mereka menyesatkan umat Islam. Statistik yang pernah dikeluarkan oleh Mufti Perak, SS Dato’ Harussani Zakaria iaitu seramai lebih 100,000 orang Islam di Malaysia yang murtad sememangnya membimbangkan kita. Namun begitu janji Allah SWT bahawa Dia akan tetap menyempurnakan cahaya petunjuk kepada para hambaNya adalah Maha Benar dan tidak akan mampu disangkal apatah lagi cuba untuk dibendung oleh musuh-musus Islam.

Pertubuhan seperti Interfaith Commission (IFC), Sister in Islam (SIS), Jaringan Islam Liberal (JIL) yang ditubuhkan semata-mata untuk menyesatkan dan memesongkan akidah umat Islam tidak akan mampu melawan kuasa dan kebenaran dari Allah Ta’ala yang Maha Agung lagi Maha Bijaksana.

Begitu juga kecaman dan tuduhan yang dilemparkan oleh dunia barat dengan label-label seperti pengganas, konservatif, anti-establishment, agama penindas, dan pelbagai lagi nama-nama yang diberikan kepada Islam tidak mampu menahan dan menutup cahaya petunjuk yang Allah Ta’ala kurniakan kepada hambaNya. Umum mengetahui bahawa betapa teruknya tekanan yang dikenakan ke atas umat Islam bermula daripada peristiwa 11 September yang menyaksikan Islam dituduh menjadi punca kepada runtuhnya bangunan gergasi WTC. Tanda nama “pengganas” mula diperkenalkan kepada orang Islam dan masih lagi kekal sekalipun pelbagai laporan telah dikeluarkan menafikan dakwaan tersebut.

Osama Bin Laden masih tetap diburu atas kejadian “911” tersebut, ulama’ yang menyampaikan risalah tauhid turut menjadi mangsa konspirasi khianat Amerika-Barat. Kita masih tidak dapat melupakan bagimana ratusan ribu umat Islam di Afghanistan (2002), Iraq(2003) menjadi mangsa korban kezaliman Amerika dan sekutunya yang dengki kepada keindahan dan kesempurnaan ajaran Islam. Contoh yang paling dekat dengan kita di Malaysia ialah peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Selatan Thai baru-baru ini. Peristiwa tersebut benar-benar menghiris hati umat Islam dan dilihat sebagai salah satu usaha mencegah ajaran Islam daripada terus tersebar. Hakikatnya tekanan yang diberikan oleh pihak tertentu kepada Ulama’ dan golongan yang berpendidikan agama di Malaysia juga menyumbang kepada proses DeIslamisasi (anti-Islam) ini sendiri.

Namun begitu, semakin kuat tekanan yang diberikan oleh musuh Islam terhadap Islam sedikitpun tidak mampu menggugat kepercayaan dan pegangan umat Islam terhadap cara hidup Islam yang begitu indah dan sempurna. Keyakinan umat Islam untuk terus berpandu kepada kitab Al-Quran dan As-Sunnah terus subur dan tidak goyah walau sedikit.

Kekecohan yang digembar-gemburkan mengenai lunturnya keyakinan umat terhadap Islam sebenarnya tidak leboh dari sekadar ibarat “telur sebiji, riuh sekampung”. Apalah sangat ingin dibanggakan dengan kejayaan mengkafirkan Azlina Jailani jika dibandingkan dengan mengIslamkan paderi-paderi dan pendita-pendita agama selain Islam? Apakah mereka (musuh Islam) ingin berbangga dengan ribuan umat Islam yang hanya Islam pada nama, berbanding penghijrahan para paderi dan pendeta yang merupakan sandaran orang bukan Islam terhadap agama masing-masing?

Kita dapat menyaksikan pertumbuhan dan perkembangan yang begitu menarik apabila telah ramai artis wanita yang mula mengenakan tudung, peningkatan kesedaran terhadap halal dan haram, bahkan pertambahan badan-badan yang membela Islam juga jauh lebih banyak daripada badan-badan Anti-Islam. Sokongan masyarakat bukan Islam terhadap politik Islam juga jauh lebih baik daripada sangkaan kita.

Turut dilampirkan statistic kadar pertambahan bilangan penganut agama kristian dan perbandingannya dengan pertambahan bilangan orang Islam di dunia.

Some estimates of numbers and growth rate of Christians:

Source

Year

Number or Percentage of world's population

Growth Rate/year

Readers Digest 1

1985

1.0 billion

-

Al-Islam 2

1994 to 1995

-

1.46%

U.S. Center for World Mission 3

From 1970 to 1996

From 33.7% to 33.9%

2.3%

John Gary 4

2025

3 billion

-

UK Christian Handbook 9

From 2000 to 2010

From 27.7% to 27.1%

-

Barrett & Johnson 5

From 2000 to 2025

From 2.015 to 2.711 billion

-

Todd Johnson 6

From 2000 to 2025

From 2.090 to 3.023 billion; 33.4% to 35.5%

-

Todd Johnson 6

2200!

4.40 billion

-

World Christian Encyclopedia

2000

2.0 billion; 37.9%

-

Samuel Huntington

2025

25%

-

Some estimates of numbers and growth rate of Muslims:

Source

Year

Number or Percentage of World's Population

Growth Rate

Readers Digest 1

1985

700 million

-

Al-Islam 2

1994 to 1995

-

6.4%

U.S. Center for World Mission 3

From 1970 to 1996

-

2.9%

John Gary 4

2025

2 billion

-

Barrett & Johnson 5

2000 to 2025

1.22 to 1.89 billion

-

Todd Johnson 6

From 2000 to 2025

From 1.16 to 1.72 billion; From 18.5% to 20.2%


Todd Johnson 6

2200!

2.62 billion; 22.6%


Samuel Huntington

2025

30%





































Sumber yang dipetik daripada laman web www.religioustolerance.org membuat kesimpulan bahawa

1. pertambahan jumlah penduduk dunia setiap tahun adalah sebanyak 2.6%, bilangan orang Kristian ialah 2.3%, sedangkan jumlah pertambahan orang Islam ialah yang tertinggi iaitu sebanyak 2.9%, 0.3% lebih tinggi daripada jumlah pertambahan penduduk dunia.

  1. Bilangan orang Islam akan mengatasi bilangan penduduk kristian menjelang tahun 2025 dan akan menjadi agama yang paling dominant.

Namun begitu, kelemahan kualiti umat Islam dilihat sebagai satu-satunya proklamasi yang dapat menyangkal kehebatan umat Islam ketika ini. Sekalipun memegang sebahagian besar hasil bumi dunia, umat Islam masih belum mampu menunjukkan potensi dan kekuatan yang ada pada umat Islam. Umat Islam masih belum mampu membela nasib saudara-saudara seagama, bahkan belum mampu membela nasib sendiri.

Walau bagaimanapun, kekuatan umat Islam pastinya sentiasa digeruni oleh musuh-musus Islam dan mereka pastinya sentiasa mencuba untuk menghancurkan Islah dan penganutnya. Betapa pun mereka cuba menindas dan menzalimi namun pembelaan dan bantuan Allah Ta’ala pasti akan datang kerana janjiNya bahawa Deen yang sebenar dan diiktiraf di sisi Allah Ta’ala hanyalah Islam.


Monday, August 4, 2008

Umat Islam Pasca Isra’ Mikraj


Umat Islam Pasca Isra’ Mikraj.

Rangkuman peristiwa yang berlaku di dalam peristiwa Isra’ Mikraj yang dilalui oleh Baginda RasuluLlah S.A.W. telah banyak meniti di pendengaran kita. Berbagai-bagai bentuk pendedahan dan perkongsian ilmu berkaitan dengan Isra’ Mikraj telah pun kita ikuti baik dalam bentuk forum perdana, kuliah maghrib, ceramah umum, malah dalam khutbah Jumaat juga, telah banyak diperdengarkan dan diperingatkan tentang peristiwa agung dan bersejarah ini. Peristiwa ini bukan sahaja menjadi perbahasan utama pada zaman moden ini, malah perbahasan dan perdebatan mengenainya telah bermula sejak Baginda RasuluLlah SAW masih hidup lagi.
Sejurus selepas Nabi Muhammad SAW kembali daripada perjalanan panjang ke Masjid Al-Aqsa dan ke Sidratul Muntaha, membawa perintah Solat 5 waktu sehari semalam, daripada Ibnu Abbas r.a, menurut apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, daripada RasuluLlah SAW dengan kata baginda;
“Setelah berlalunya malam di mana aku diIsa’kan, dan aku kembali ke Mekkah. Aku merasa
berat sekalisksn perkara itu dan aku tahu orang ramai akan mendustakan aku”.

Seterusnya Nabi bercerita; “Maka Abu Jahal(seteru Allah) pun datang dan duduk di sisiku,
Dia bertanya dalam nada mengejek-ejek aku;

Abu Jahal : Ada sesuatu hari ini Ya Muhammad?
Nabi SAW : Ya ada.
Abu Jahal : Apakah suatu itu?
Nabi SAW : Aku telah diIsra’kan malam tadi.
Abu Jahal : Ke mana pula kali ini?
Nabi SAW. : Ke Baitul Maqdis
Abu Jahal : Habis engkau telah kembali pula pagi-pagi ini di hadapan kami?
Nabi SAW : Benar.

Lalu Abu Jahal menawarkan diri untuk memanggil orang ramai agar mendengar khabaran
daripada Nabi Muhammad SAW dan Baginda mengizinkan. Setelah berkumpul seluruh
masyarakat yang ada pada ketika itu;

Abu Jahal : Katakanlah kepada kaum mu itu sebagimana yang engkau katakan kepada ku
tadi.

Kemudiannya berlakulah dialog antara Nabi Muhammad dengan kaumnya ketika itu.
Sehingga ada di antara mereka yang menggaru kepala, bertepuk tangan kehairanan. Lantas
ada yang bertanya; “Bolehkah Tuan menggambarkan kepada kami masjidnya?”(kerana ada
yang pernah ke sana)


Baginda lalu menceritakan dan menggambarkan rupa paras masjid tersebut secara terperinci
menurut apa yang dilintaskan di hadapannya.

Sejurus selepas itu masyarakat pada ketika itu pergi menemui Abu Bakar lalu bertanya; “Apa
pendapatmu wahai Abu Bakar mengenai Sahabatmu(Nabi Muhammad) ini yang telah
mendakwa pergi ke Baitul Maqdis malam tadi dan kembali semula pada paginya?”

Abu Bakar : Kamu semua mendustakannya?
Masyarakat : Bukan begitu, dia kini berada di Masjid sedang memberitahu berita itu kepada
orang ramai.
Abu Bakar : Demi Allah. Kiranya dia berkata begitu, memang benarlah ia, dan apa yang
hendak dihairankan sangat? Demi Allah, dia(Muhammad SAW) telah
memberitahuku berbagai berita yang turun dari langit ke bumi, tidak kira siang
atau malam, maka aku terus membenarkannya. Ini tentu lebih menakjubkan
kamu bukan?

Abu Bakar terus bangun dan menuju ke Masjid Al-Haram untuk bertemu dan mendengar
sendiri berita itu daripada mulut RasuluLlah SAW. Abu Bakar terus membenarkan setiap
apa yang diceritakan oleh Nabi Muhammad SAW sehingga beliau di gelar As-Siddiq, yang
bermaksud Yang Membenarkan.


Teman-teman, Mahasiswa/I sekalian,

Demikian peristiwa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ibnu Abbas r.a. mengenai situsai pasca Isra’ Mikraj. Namun pengajaran yang dapat disunting di sini ialah betapa dangkal dan ceteknya ilmu dan tahap pemikiran manusia jika dibandingkan dengan Ilmu Allah SWT. Allah SWTmenmperjalankan hambaNya untuk memperjelaskan kepada seluruh manusia akan tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Kekuasaan dan kehebatan Allah SWT tidak terbatas malah segala kehebebatan dan kelebihan yang ada pada kita juga adalah kurniaan dariNya.

Justeru saya ingin mengajak sahabat-sahabat, Mahasiswa/I sekalian untuk kita merenung kembali perjalanan kehidupan kita sebagai makhluk yang bernama manusia. PENGAJARAN PERTAMA yang ingin ditunjukkan selepas peristiwa Isra’ ini adalah pengakuan dengan sesungguhnya bahawa Allah SWT sebagai Tuhan Yang Esa, dan Nabi Muhammad adalah rasul dan hambaNya. Pengakuan dalam konteks meyakini bahawa alam ini dicpta olehNya dan tiada yang layak disembah, dipuji, mahupun dipuja melainkan Allah SWT. Serta menyaksikan kebenaran risalah dan wahyu yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

PENGAJARAN YANG KEDUA adalah kesedaran mengenai kepentingan mendirikan Solat, lebih-lebih lagi mendirikannya secara berjemaah. Kerana tonggak kekuatan diri adalah pada keikhlasan dan khusyu’nya kita mendirikan Solat. Manakala tonggak kekuatan jemaah adalah pada solat jemaah yang didirikn secara konsisten dan istiqamah. Sebagaimana sabda RasuluLlah;

Perbedaaan orang yang beriman dengan orang kafir itu ialah meninggalkan solah
.(RIwayat Muslim)

Mengabaikan berita dan hasutan palsu yang dilemparkan terhadap Islam. Digambarkan dalam hadith di atas tentang perihal Abu Jahal yang sentiasa mencari jalan memesongkan keimanan umat Islam. Maka PENGAJARAN KETIGA adalah untuk sentiasa berwaspada terhadap musuh Islam yang nyata. Dalam konteks kita pada hari ini, orang-orang kafir yang sentiasa aktif mencari helah dan tipu daya untuk menyesatkan kita. Begitu juga syaitan dan Iblis yang telah bersaksi dan bersumpah akan menyesatkan manusia dan mengheret semua manusia untuk berkongsi balasan siksa di neraka. Na’udzubiLlah. Allah mengiktiraf bahawa syaitan itu seteru utama kita dan Allah memperingatkan telah ramai di kalangan manusia yang telah, sedang, dan akan disesatkan oleh Syaitan. Sepertimana firmanNya;
“Dan sungguh, ia(syaitan) telah menyesatkan sebahagian besar di antara kamu. Maka apakah kamu tidak mengerti” (Surah Yasin : 62)

PENGAJARAN TERAKHIR yang sempat dikongsikan adalah kewaspadaan kita terhadap musuh yang tidak kita nampak. Namun musuh ini jauh lebih bahaya daripada musuh-musuh yang disebutkan di atas. Merekalah musang berbulu ayam, bahkan Syaitan yang bertopengkan manusia. Merekalah golongan munafiq yang mendakwa mereka beriman, namun apa yang mereka lakukan dan usahakan semuanya hanyalah menjurus kepada menjerumuskan masyarakat dan mereka sendiri ke lembah kebinasaan. Jaringan Islam Liberal, Sisters In Islam, Islam Bertamadun dan pelbagai tempelan nama yang bertemakan Islam tetapi telah disalahgunakan untuk menyesatkan umat Islam.

Walaubagaimanapun, keterikatan diri kita dengan masjid dan melazimkan diri kita berada di dalam kalangan orang-orang yang baik dan beriman adalah antara jalan keluar yang terbaik untuk diri kita. Sesungguhnya terlalu banyak fitnah dan ujian yang Allah lemparkan kepada kita, maka yakinlah keikhlasan dan kesungguhan kita akan dapat menepis segala godaan.

Sekadar ini sahaja, moga dipermudahkan Allah dalam setiap urusan. Segala yang baik adalah kurniaan dan anugerah dari Allah, sedangkan yang buruk itu berpunca daripada kelalaian dan kedangkalan ilmu yang ada pada diri. Kita serahkan segalanya pada Allah kerana Dia Yang Maha Mengetahui.

Monday, June 9, 2008

Cinta..



Situasi pertama (masih belum bercinta):

Pada waktu tengah hari ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah, Rieza memilih untuk berjalan kaki pulang ke rumah walaupun bapanya telah membayar duit bas. Tujuan? Ingin mengekori Diana, pelajar perempuan yang berada di kelas bersebelahan dengan Rieza, dengan niat ingin mengetahui tempat tinggal Diana, memastikan Diana selamat pulang ke rumah, dan meng"ushar" Diana. Walaupun akibat daripada perbuatan tersebut, Rieza terpaksa berjalan kaki sejauh 3 km dan mungkin lebih untuk sampai ke rumah dalam cuaca yang panas terik.

Situasi kedua (sedang berusaha mencari cinta):

Sewaktu di rumah, sedang enak menjamu selera bersama keluarga selepas selesai solat maghrib, tiba-tiba telefon berdering. Lina dengan pantas menyambar gagang telefon, berebut dengan kakaknya untuk menjawab telefon. Namun malangnya, orang yang ditunggu panggilannya masih belum muncul. Lalu dengan hampa dan kecewa menyerahkan gagang tersebut kepada yang kakaknya yang sepatutnya menjawab panggilan. Berulang-kali peristiwa yang sama berlaku. Hinggalah pada lewat malam, dalam pukul 11, deringan panggilan ke 15 malam itu, Lina masih cergas seperti sebelumnya menyambar gagang, dan akhirnya yang ditunggu, muncul... dialog mereka seperti berikut,

Ahmad: salam.
Lina: salam.
Ahmad: Maaf lambat, saya janji nak telefon pukul 8, tapi tadi ada hal sikit.
Lina: Eh takpe, tak ada masalah(sambil menyembunyikan keadaan termengah2).


Situasi 3 (Dalam proses mengekalkan Cinta):

Esok hari jadi Lina, tapi masalahnya Ahmad berada di Seremban, Lina yang menetap bersama keluarganya di Temerloh mengajak Ahmad keluar. Ahmad dengan penuh yakin dan selamba, menerima ajakan lina. Maka dengan tekad meminjam motorsikal adik saudaranya untuk bertemu dengan Lina di Pahang. Pada keesokan harinya, Ahmad selamat tiba di Pahang. Walaupun terpaksa bertolak selepas subuh, dan menunggang motorsikal Honda Wave 100cc selama 5 jam, Ahmad masih tenang dan bersahaja menemani Lina menyambut hari jadi di Pahang. Walaupun ditambah dengan keadaan Ahmad yang kesempitan wang, Ahmad sanggup mengeluarkan duit simpanannya untuk menghiburkan hati Lina.

Situasi 4 (sudah berkahwin dan berkongsi Cinta):

Mak Limah merupakan seorang suri rumah tangga sambil mengambil upah menjahit baju, manakala suaminya Pak Abu mencari rezeki dengan mengambil upah menoreh getah dan berkebun, pendapatan yang mereka peroleh tak sampai pun RM500 sebulan. Pada suatu hari, Ali, 17, anak sulung dari 8,mengeluh keletihan ketika pulang dari sekolah. Walaupun tiada perkataan yang terungkap, namun keletihan jelas tergambar di wajahnya. Ali terpaksa berjalan kaki 4 batu ke sekolah setiap hari kerana tidak mampu untuk mnyewa bas. Basikal di rumahnya pula diutamakan kepada adik2nya yang juga masih bersekolah. Pak Abu yang melihat situasi tersebut menyimpan tekad untuk lebih rajin menoreh, dan membuat kerja2 tambahan. Pak Abu keluar rumah seawal 4 pagi dan pulang untuk sarapan selepas subuh, pukul 8 pagi, selepas anak-anaknya ke sekolah, Pak Abu keluar mencari kerja2 tambahan, menebas rumput, mengangkat barang, menjadi buruh pembinaan, kerja perpaipan, dan lain-lain. Mak Limah pula, semakin tekun menjahit siang dan malam. Mak Limah menerima dan mencari sebarang tempahan walaupun ternyata tidak menang tangan. Selepas dua bulan, mereka menghadiahkan motor EX5 Classic kepada Ali, dengan deposit RM500 dan masih perlu mencari wang untuk bayaran bulanan sebanyak RM150.

Cinta..


Walaupun situasi di atas agak biasa dan tidak terlalu mengujakan. Namun situasi tersebut kerap berlaku bagi mereka yang ber"cinta". Perasaan dan keperluan sendiri tidak lagi menjadi keutamaan asalkan dapat menghiburkan dan memenuhi permintaan yang tersayang.

Sanggup berpenat, menunggu, bersusah, dan menderita kerana yang tersayang. Inilah yang disebut sebagai pengorbanan ketika dilanda perasaan Cinta. Apabila kita mencintai dan mengasihi seseorang, kita sanggup berkorban dan memberikan sepenuhnya jiwa dan raga. Acap kali sukar untuk kita membuat pertimbangan yang waras sekiranya bertembung dengan pilihan yang melibatkan orang yang kita sayang, asalkan segala yang diminta olehnya dapat kita penuhi dengan sedaya upaya kita.

Sememangnya cinta itu buta, kerana ia bukan sahaja tidak mengenal siapa, malah tidak mengenal bila, berapa, di mana, ke mana, dan mengapa. Lamunan cinta menyebabkan manusia tenggelam, lena dibuai mimpi dan mabuk asmara. Ada yang mandi tak basah, makan tak kenyang, dan tidur pun tak lena kerana cinta.

Manusia, secara fitrah dan nalurinya mempunyai sifat-sifat ini, mementingkan cinta dan kasih sayang. Cinta dan kasih sayang "memanusiakan" manusia. Tanpa cinta dan kasih sayang manusia akan berubah menjadi binatang, malah lebih teruk daripada binatang. Namun begitu, perasaan jemu, benci dan putus asa sering menjadi penghalang kepada perasaan kasih dan sayang. Malah, sikap cemburu dan iri hati akibat daripada cinta ini juga boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Perceraian dan perpisahan, gejala buang anak, bunuh, rompak, rogol, sumbang mahram, adalah tanda bahawa manusia tersebut sudah hilang sifat manusianya. Mereka bertindak dan berkelakuan di luar batas kerana sudah hilang pertimbangan akal yang waras. Mereka tersalah tafsir erti cinta dan kasih sayang, seterusnya menterjemahkan tafsiran yang salah itu dengan tindakan yang salah.

Antara sebab utama yang membawa kepada bala ini adalah kerana ciri-ciri dan sifat cinta yang ada pada manusia itu sendiri. Cinta manusia ada sempadan dan hadnya. Terkadang tidak telus dan terlalu rapuh. Wujudnya umpama langit yang tidak terduga mendung dan cerahnya. Sifat hadirnya umpama awan yang mudah ditiup dan mudah pula berubah berubah haluannya, tidak kekal bentuknya hingga akhirnya bercerai menitiskan hujan.

Cinta yang sejati dan hakiki adalah cinta Ilahi. Tuhan sangat cinta dan mengasihi hambanya. Tanpa had dan sempadan. Saban hari dan setiap waktu, Tuhan akan menjaga hambanya. Diberikan rezeki, udara, perlindungan, dan bimbingan di sepanjang perjalanan. Walaupun berjuta kesilapan yang dibuat oleh hambaNya, namun kasih sayangnya tidak sedikit pun berkurangan. Pintu dan jalan untuk hambanya "kembali" sentiasa terbuka luas. Maha Suci Tuhan dengan kasih dan sayangNya kepada kita.

Hanya dengan bantuan cinta dan kasih sayang Tuhan yang abadi ini sahaja yang akan dapat mengabadikan cinta dan kasih sayang manusia terhadap manusia. Bercinta dan berkasihan keranaNya akan membantu kita mengekalkan diri kita pada peraturan dan adab yang baik sebagai manusia. Kehilangan dan berpisah keranaNYa memandu kita untuk kekal tabah dan sabar menjalani hidup.

Kebergantungan kita padaNYa jualah yang menjadi sumber segala kekuatan dan kejayaan. Kealpaan dan kelekaan kita terhadap cinta ini, akan menyebabkan kita terjerumus ke lembah yang sememangnya tidak kita ingini....


Thursday, June 5, 2008

aku mereka dan dunia..[6]

Setelah 3 jam perjalanan kami tiba di halaman rumah opah dan atuk di Jalan hj Wahab, Kg Selboh, Parit, Perak. Bibit-bibit pertemuan semula setelah agak lama tidak bertemu amat menggamatkan suasana. Aku bersalaman dengan saudara-mara sambil memerhatikan ibuku bersalam sambil berpelukan dengan adik-beradiknya.

Seharian kami bermain, seolah tiada tanda ingin berhenti. Kalau bukan kerana hadirnya malam, sudah tentu kami akan terus bermain. Sejurus selepas makan malam beramai-ramai di tingkat bawah, abang aku bingkas bangun keluar rumah mengeluarkan stok bunga api dan mercun yang dibawanya dari Bandar. Sememangnya keriangan bermain bunga api di kampong jauh lebih meriah berbanding di KL.

Hari berikutnya kami menyambung misi mengisi ruangan memori dengan pengalaman yang indah bermain bersama. Sambil kaum ibu dan bapa sibuk memasak dan mengemas rumah. Maklumlah, esok raya. Walaupun aku masih belum mengerti akan makna sahur, raya, dan puasa, namun pengajaran yang sudah pasti akan melekat dalam ingatan, Hari Raya adalah hari yang paling seronok dan bermakna.

Hari ni hari raya, waktu tu masih gelap tapi sudah ramai yang dah terjaga. Kelihatan ramai yang beratur menunggu giliran menggunakan bilik air, tak kurang yang beratur ingin menggosok baju. Aku terpegun melihat suasana ketika itu, semuanya mengenakan pakaian yang berwarna-warna dan kelihatan segak, cantik, comel, dan menawan. Di suatu sudut terhidang kuih-muih dan rendang. Dalam hati aku berbisik, ni mesti baki sahur tadi.

Tiba-tiba Pak cemi, adik mak aku mencuit sedikit dari kek yang terhidang dan memasukkan ke dalam mulutnya.

“Pak Cemi tak puasa!” aku menjerit sambil menuding jari kea rah Pak Cemi.

Satu rumah mentertawakan aku. Penjelasan ibuku mengurangkan tegang urat otakku menafsirkan kejadian yang berlaku. Tapi kenapa hari ni yang dipilih untuk raya.

3 hari berlalu dengan pantas. Sepanjang hari raya, kami menziarahi ramai saudara-mara di perak. Saudara ibu ku ramai menetap di Parit, sementara saudara ayahku di bahagian Bota, terletak kira-kira 17km antara keduanya. Terkadang kami beraya sampai ke Ipoh, dan manjung. Paling mengujakan, DUIT RAYA, hamper setiap rumah yang diziarah menyediakan duit raya. Nyatanya, bab duit raya ni krang persoalan yang aku timbulkan. Bak kata, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.

Ayah dan emak sibuk mengemaskan barang, atuk dan opah duduk termenung di beranda, melihatkan gelagat anak-anaknya sibuk berkemas. Rupa-rupanya kami semua akan meninggalkan kampong untuk kembali ke rumah. Keluarga aku antara yang paling awal berkemas. Lewat pagi tersebut kami pun bertolak kembali ke KL. Suasana yang amat berbeza berbanding ketika dalam perjalanan pulang ke kampong tempoh hari.

Saudara-mara menghantar kami sehingga ke bibir jalan. Sayup-sayup lambaian tangan atuk dan opah menghantar kami pulang ke KL. Berakhir sudah episod keriangan beraya di kampong. Alangkah bahagianya kalau raya ni setiap hari dan sepanjang tahun. Boleh jumpa atuk, opah, dan saudara. Paling best, dapat duti raya. Aku sendiri pun tak pasti kemana duit raya yang aku dah terima. Tahu-tahu, tinggal beberapa ringgit sahaja di dalam sampul yang aku satukan isinya.


bersambung...

aku mereka dan dunia..[5]

Kami ke rumah najib dan kebetulan adi dan hafiz juga berada di rumah najib. Mereka bertiga sedang leka bermain permainan video, “micro genius” yang begitu terkenal dengan game contra, ninja turtle, dan super Mario. Terliur aku melihat mereka begitu seronok menekan butang kawalan. Kami berempat bergilir-gilir bermain, menentang najib dalam gam street fighters. Terangkat-angkat kaki terikutkan watak Ryu pilihan najib, bertarung dengan Ken pilihan adi.

Hamper setiap hari kami berkumpul di rumah najib. Selang beberapa hari, aman mengajak aku ke rumahnya. Rupa-rupanya ayah aman turut membelikannya satu set permainan “micro genius”. Kami bermain berdua secara senyap kerana enggan memberitahu kawan-kawan yang lain.

Hampir sebulan telah berlalu, malam tu aku menyertai ahli keluargaku yang lain menikmati makan malam, walaupun ditegur oleh angah kerana aku tak berpuasa. Peduli apa, salahkah kalau nak makan sekali dengan orang yang berpuasa?

Ayah menenangkan kami, dan mengumumkan satu berita gembira.

“Esok kita balik kampong,” umum ayah sambil tersenyum menantikan reaksi kami sekeluarga.

Hiphip Hooray!!! Kami semua gembira mendengar berita gembira tersebut. Terus terbayang wajah atuk, opah, makcik-makcik, pakcik-pakcik, sepupu-sepapat, halaman rumah, tali air, pokok jambu, manggis, durian, rambutan, pisang, cempedak, ayam, itik, angsa, kambing, hampir kesemuanya dimuatkan dalam ingatan dan bayangan. Makan malam tersebut berakhir agak awal kerana kami semua bergegas membuat persiapan untuk perjalanan jauh yang bakal ditempuh esok hari.

“kenapa kita balik kampong?” Tanya aku inginkan kepastian.

“Lusa kita raya,” jawab mak ringkas.

Raya? Apa pulak raya ni? Namun, seperti malam-malam sebelumnya, dentam-dentum bunyi mercun dan bunga api terus memeriahkan suasana. Tapi hari ni kelihatan bunyi dan kekarapannya agak berbeza. Semakin banyak dan kerap. Aku menyertai keghairahan dan kemeriahan malam itu bersama rakanku bermain bunga api di atas jalan di hadapan rumah.

Keesokan harinya, selepas subuh, kami bertolak pulang ke kampong. Berkumandang di radio lagu-lagu yang merdu menyebut berulang-ulang mengenai hari raya dan puasa. Aka bertambah pelik dan hairan. Namun kegusaran dan kehairanan tak menghalang senyuman terukir di wajahku membayangkan kampong yang dirindu.

bersambung...

Antara Yang Menarik