Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Tuesday, October 13, 2009

BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN - bahagian 1(situasi sebelum)

Dalam bahagian pertama ini, penjelasan akan dibuat berkisar pandangan peribadi saya mengenai apakah bentuk perubahan yang perlu dilakukan. Untuk mencapai maksud penjelasan ini, kita memerlukan model sebagai bandingan untuk situasi sebelum dan selepas. "Situasi sebelum" merujuk kepada situasi sebelum perubahan dilakukan, iaitu situasi sekarang. Manakala situasi selepas merujuk kepada situasi selepas dilakukan perubahan.

DASAR PEMERINTAHAN NEGARA

Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kerajaan berparlimen dan mengamalkan doktirn pengasingan kuasa. Terlebih dahulu perlu diingatkan bahawa 'Pengasingan Kuasa' bukanlah sama dengan 'Pembahagian Kuasa' walaupun keduanya mungkin ada diperuntukkan dalam perlembagaan Persekutuan dan Negeri-negeri.

Doktrin Pengasingan kuasa secara dasar bererti kuasa-kuasa pemerintahan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu:-
1. Kuasa Perundangan/Legislatif
2. Kuasa Eksekutif
3. Kuasa Kehakiman

Perkara pokok tentang pengasingan kuasa ialah untuk menentukan supaya orang atau badan yang sama tidak dipertanggungjawabkan untuk menggubal undang-undang dan menguatkuasakannya. Bermakna jika konsep ini diikuti sepenuhnya maka tiada siapapun dari ketiga-tiga cabang pemerintahan boleh mengambil bahagian dalam fungsi cawangan lain.

Pihak Eksekutif sepatutnya tidak boleh menjadi seorang ahli badan Perundangan (Legislatif) dan Badan Kehakiman semestinya bebas dari campurtangan pihak Eksekutif dan Legislatif. Tidak patut ada dwi fungsi. Masing-masing hanya menjaga rukun rumahtangga sendiri dan tidak mencampuri hal yang berlaku di dalam bilik orang lain.

Seperkara yang tidak dapat dipisahkan dalam membicarakan topik Doktrin Pengasingan Kuasa ialah Konsep 'Check & Balance' (Kawalan dan Imbangan). la membawa maksud bahawa ketiga-tiga cabangan pemerintahan itu mestilah berdiri sama tinggi duduk sama rendah. Tidak boleh satu pihak menguasai kehendak pihak yang lain. Ditakuti berlakunya pengaruh tak berpatutan dan menimbulkan ketidakadilan akibat pemusatan kuasa ke satu-satu cabang pemerintahan itu.

Krisis perlembagaan di Perak merupakan model terbaik untuk menjelaskan bahawa berlaku pemusatan kuasa akibat gagalnya Doktrin Pengasingan Kuasa dan tiada konsep 'Check & Balance' (Kawalan dan Imbangan Kuasa).

Di Malaysia, badan Kehakiman boleh mengistiharkan sesuatu Akta Perlimen bercanggah dengan Perlembagaan. (Perkara 4, Fasal 1). Pada masa yang sama Perlembagaan Persekutuan - Perkara 122B juga memperuntukkan bahawa perlantikan kehakiman ke mahkamah-mahkamah Tertinggi adalah dibuat oleh pihak Eksekutif yang menunjukkan ada kawalan tidak langsung terhadap badan kehakiman. Pihak Eksekutif pula dikawal oleh Parlimen dan bertanggungjawab kepadanya. Oleh yang demikian sistem pengasingan kuasa berserta dengan Konsep Kawalan dan Imbangan ini tampak kepentingannya dalam mengelakkan pemusatan kuasa pemerintahan di dalam tangan sesuatu kumpulan tertentu sahaja.

Rujukan Perlembagaan Persekutuan

SUMBER PERLEMBAGAAN NEGARA

Perlembagaan Malaysia yang diguna pakai pada hari ini telah mengalami beberapa proses perubahan semenjak dari zaman sebelum kemerdekaan lagi. Menurut sejarah, Tanah Melayu sudahpun mempunyai perlembagaan bertulisnya sendiri sebelum kedatangan penjajah lagi. Hukum Kanun dan Undang-undang Laut Melaka, selain Batu Bersurat yang ditemui di Terengganu merupakan bukti terhadap gagasan ini.

Perlembagaan Persekutuan mengandungi 183 Perkara beserta dengan 13 Jadual. Bagi setiap perkara terdapat beberapa Fasal yang dijelaskan dengan terperinci sebagai garis panduan perundangan dan kepentingan rakyat.

Perlembagaan Persekutuan juga mengandungi beberapa perkara yang tidak boleh dipersoalkan seperti:

. Agama Islam sebagai agama rasmi;
. Kedududkan istemewa Raja-raja Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak;
. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; dan,
. Soal kerakyatan.

Kandungan perlembagaan Malaysia ini jika dilihat secara objektif sepatutnya mampu mengurangkan masalah-masalah yang ada. Namun begitu, disebabkan oleh asas perlaksanaan perlembagaan ini sendiri sudah rapuh, natijahnya mendedahkan seluruh sistem yang ada terhadap eksploitasi pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebagai contoh, perkara-perkara yang menyentuh mengenai hak asasi daripada perkara 5 hingga 13. Dalam perkara 10, menyatakan menegenai kebebasan bersuara dan berhimpun. Keterangan mengenai larangan perhimpunan dan garis panduan sebenarnya adalah sangat jelas. Ianya adalah kebebasan yang terkawal. Masalahnya ialah, apabila kawalan ini disalahgunakan oleh pihak eksekutif untuk kepentingan tertentu. Sekali lagi, ianya berpunca daripada kegagalan melaksanakan doktrin pengasingan kuasa dengan baik.

Rujukan Konsep Pengasingan Kuasa

BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN - Pengenalan

Walaupun keadaan trafik di lebuhraya pemikiran Mahasiswa UKM pada ketika ini sarat dengan pelbagai aktiviti muat turun 'peperiksaan', situasi berbeza dicatatkan di Kampung Pemikiran Encik Otak. Seakan tidak terpengaruh dengan mood peperiksaan, Encik Otak dilihat semakin sibuk mengatur laluan untuk mencari jalan menuju ke Tranformasi Mahasiswa '09.

Keadaan negara pada ketika ini semakin nazak. Siri-siri kebinasaan sudah mula jelas kelihatan. Bagan Pinang yang diharapkan menjadi pencetus transformasi telah berubah menjadi bukti kegagalan sistem hidup dalam masyarakat di Malaysia. Hasil bacaan dan laporan awal menunjukkan, hakikatnya pengundi-pengundi di Bagan Pinang sememangnya benar-benar inginkan Tan Sri Mohd Isa Samad mewakili mereka. Dakwaan berlakunya penyelewengan dan penipuan, termasuk siri-siri pergaduhan yang dimulakan oleh UMNO, sebenarnya bukanlah faktor utama kekalahan PAS dalam Pilihanraya Kecil itu.

PAS kalah disebabkan pengundi di Bagan Pinang menolak agenda perubahan oleh Pakatan Rakyat. Mereka lebih senang dan selesa dengan Tan Sri Isa Samad, walaupun terbukti rekod buruknya dalam arena politik tanah air.

Semua pihak perlu menyedari bahawa, kita sebenarnya telah dihukum oleh perbuatan kita sendiri. Anehnya, kita merasakan hukuman itu sebagai perkara biasa malah ada yang berbangga dengannya. Kecacatan demi kecacatan menimpa sistem hidup masyarakat di Malaysia pada ketika ini. Paling teruk terjejas, deria untuk membezakan antara najis dan makanan.

Sebagai Mahasiswa yang mendokong kebenaran dan keadilan, kita tidak boleh terjerumus ke lembah yang membinsakan ini. Untuk itu, kita perlu mempersiapkan diri kita dengan segala kelengkapan yang perlu supaya agenda perubahan dapat dibawa dengan baik.

Memetik kata-kata Presiden Gamis, Sdr Mohd Idris Mohd Yussoff, "Mahasiswaperlu memimpin perubahan, namun perubahan itu mestilah dipimpin dengan kefahaman," Ujar beliau dalam konvensyen Trans '09 di Shah Alam, baru-baru ini.

Perjuangan memimpin perubahan ini sememangnya perlu berlandaskan kefahaman yang didahului oleh kesedaran. Generasi sahabat dipimpin oleh RasuluLlah sehingga berjaya melakukan perubahan terbesar di dunia kerana mereka faham akan tuntutan perjuangan itu dan sedar akibat yang akan menimpa sekiranya gagal berbuat demikian.

Mahasiswa juga perlu sedar, kegagalan agenda transformasi ini akan mengundang bahaya dalam diri dan masyarakat, kini dan akan datang.

Monday, October 12, 2009

Gelombang Ungu Perlukan Frekuensi yang lebih Baik!

Iklim politik Malaysia menjadi semakin tidak menentu susulan "a great come-back" oleh Tan Sri Mohd Isa Samad dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang, dengan majoriti terbesar di antara semua pilihanraya kecil di Malaysia, 5435, mengalahkan Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad Omar.

Namun, sekali lagi, angin kencang ini sedikitpun tidak menjejaskan warga UKM yang terus berada dalam suasana yang tenang dan gembira. Cuaca di UKM begitu cerah yang hanya terganggu dek angin periksa yang tiupannya sepoi-sepoi bahasa. Sekuat mana pun angin itu, ianya hanya akan membuat Mahasiswa dan warga kampus semakin senang dan tenang dengan keadaan mereka.

Mahasiswa semakin terkenal dengan daya inersianya yang sangat kuat. Keupayaan mereka mengekalkan kondisi asal mereka yang pegun itu amat sukar digugat sekalipun bias gempa mengenai perbukitan ilmu itu.

Hal ini, sememangnya menjadikan tugas tentera ungu menjadi lebih sukar. Gelombang Ungu perlukan medium yang lebih luas dan kental untuk memudahkan propagasi. Tanpa medium yang baik, pelenyapan gelombang akan berlaku dengan lebih cepat. Natijahnya, riak gelombang itu hanya akan menggetarkan ahli tanpa tersebar ke kawasan selainnya.

Gelombang Ungu ini juga perlu diselaraskan frekuensinya supaya lebih mudah diterima oleh warga kampus. Hanya gelombang yang koheren sahaja yang mampu memberikan gerakbalas yang diperlukan untuk melakukan perubahan.

Semoga, gelombang ini mampu sentiasa bertambah kekuatan dan konsistensinya supaya perubahan itu berlaku dalam masa terdekat.

Thursday, October 1, 2009

Semuanya mesti di"awam"kan... - Trans '09 -

Suatu ketika dahulu, bumi yang dihuni oleh manusia ini, sebelum kedatangan bapak manusia, telah pun dicipta oleh Allah lengkap dengan segala macam kemudahan. Ada pokok, sungai, haiwan, angin, awan, laut, dan berada di tengah-tengah cakerawala yang juga diciptakan oleh Tuhan Yang Maha Besar.

Kemudian moyang kita, Nabi Adam diutuskan ke dunia bersama Hawa. Lalu Allah Ta'ala perintahkan kepada mereka untuk menjadi wakil Allah di dunia, dengan pesanan yang sangat sempurna bahawa dunia ini diciptakan untuk manusia, tetapi manusia diciptakan untuk akhirat.


Allah Ta'ala menerangkan dan mengajar Nabi Adam setiap perkara yang perlu diketahui olehnya sebagai seorang manusia. Kemudian Nabi Adam meneruskan kehidupan di dunia bersama isterinya Hawa. Berterusan kelangsungan spesies manusia sehinggalah lahir setiap manusia yang ada di atas muka bumi ini. Diajarkan cara makan, minum, hidup, mati, dan meneruskan zuriat, dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara. Juga diingatkan berkali-kali mengenai musuh manusia yang nyata, syaitan yang direjam.
"dunia ini diciptakan untuk manusia, tetapi manusia diciptakan untuk akhirat"

Maka menusia terus menghuni dunia ini selagi belum diperintahkan oleh Allah untuk dimusnahkan oleh tiupan sangkakala. Hanya dengan satu tiupan, maka seluruh alam ini akan hancur.

Oleh sebab itu, manusia perlu beringat. Setiap benda yang ada pada kita, sebenarnya bukan milik kita. Negara ini juga bukan milik kita, atau milik sesiapa pun. Segala harta negara ini juga termasuk dalam perkara yang bukan menjadi milik kita.

Sebab itu, dalam Politik Islam tiada istilah kuasa, kerana kuasa itu milik Tuhan. Yang ada hanyalah amanah dan tanggungjawab.

Pemerintah tidak mempunyai kuasa untuk memerintah, sebaliknya memegang amanah untuk memerintah. Tanggungjawab mereka ialah memerintah dan layak dipersoalkan sekiranya gagal dalam pemerintahan. Mereka juga layak dan seharusnya ditukarkan sekiranya rakyat merasakan mereka tidak lagi layak memegang jawatan dan amanah tersebut.

Mengenai hasil-mahsul negara, rakyat mempunyai hak penuh untuk mengetahui setiap inci atau sen harta yang mengalir keluar dan masuk. Segala kemewahan negara perlu di'awam"kan dan tidak sesekali bisa dirahsiakan apalagi dikronisasikan.

Tiada perintah yang lebih besar daripada perintah Tuhan, sama ada dari segi bahasa mahupun istilah. PAS atau mana-mana gerakan Islam juga sudah pasti akan menerima dan akur dengan perintah ini dan bersedia dihakimi rakyat sekiranya melakukan kesalahan.

Mungkin, menurut putaran roda, sekarang adalah giliran UMNO di bawah, maka kita perlu menerima hakikat bahawa yang relevan pada ketika ini hanyalah PAS dan pakatan rakyat. Sekiranya roda itu kembali berpusing, siapa tahu muncul pula aliran lain yang kembali memperbetulkan keadaan. Namun yang benar itu sentiasa ada pada Allah dan RasulNya.

Mahasiswa, sebagai golongan yang bertindak sebagai pressure-group perlu sedar mengenai hakikat ini seterusnya memainkan peranan memastikan adanya unsur periksa dan imbang (check and balance) terhadap pemerintahan negara.

Jika kita perlukan tranformasi, maka kita bawakan transformasi itu kepada negara keseluruhannya. Bersedia dengan perubahan wahai Anak Muda!!!

Friday, September 18, 2009

Selamat Hari Raya!!!

Hari Raya Aidilfitri, Syawal 1430 pada kali ini adalah hari raya yang ke 24 dalam hidup aku. Tahun ini mungkin lebih meriah kerana berpeluang untuk pulang ke kampung. Tahun ini, raya pertama aku dan keluarga adalah di Kg Selboh, Parit, Perak.

Raya sering membuatkan perasaan aku bercampur-baur. Antara suka dan duka. Suka kerana dapat berjumpa dengan saudara-mara, makan kuih raya, beraya bersama teman dan saudara, dapat duit raya(walaupun tak sebanyak dulu).

Duka kerana bulan ramadhan ini bagi aku adalah bulan yang lebih selamat dari bulan-bulan yang lain. Tiada bulan yang lebih selamat daripada bulan ramadhan. Bulan ini aku rasa diri aku lebih baik dari diri aku di bulan yang lain. Perasaan menjadi lebih"baik" inilah bagi aku yang menjadikan bulan ramadhan ini lebih selamat dari bulan-bulan yang lain.

Tapi, hari ini kita kena gembira sebab Allah Ta'ala memberikan kemenangan kepada umat Islam. Kemenangan selepas sebulan menahan nafsu, lapar dan dahaga. Sebulan yang penuh dengan ibadat, munajat dan doa.

Hari ini juga, kita perlu berjumpa dan menziarahi seberapa ramai saudara dan teman. Menghubungkan kembali silaturrahim antara kita dan mengeratkan hubungan yang renggang. Lebih-lebih lagi memohon dan memberi kemaafan sesama kita.

Hari ini adalah hari yang sangat bermakna bagi kita. Oleh itu, manfaatkan peluang kunjung-mengunjung dan bersedekah bagi yang mampu, mengadakan rumah terbuka dan bertukar-tukar kuih.

Semoga raya pada kali ini menimbulkan keinsafan dalam diri kita dan manusia seluruhnya.

SELAMAT HARI RAYA
MAAF ZAHIR DAN BATIN


p/s: jemput semua datang ke rumah, No 256, Jalan haji Wahab, Kg Selboh, Parit, Perak. :-)

Tuesday, September 8, 2009

Ujian: Jangan diminta, bila ketemu jangan meronta!!


Sambutan merdeka kali ini merupakan sambutan merdeka paling bermakna dalam hidup aku yang masih bergelar Mahasiswa. Gambar tangan ini diambil pada malam 3 September 2009, malam sebelum aku melaporkan diri ke Balai Polis Dang Wangi susulan siasatan terhadap tuduhan di bawah perkara 126(a) akta pendaftaran negara, di atas kesalahan Enggan Menunjukkan Kad Pengenalan kepada pihak berkuasa.

Kenapa tangan ini yang ditunjukkan?

Ada satu garis hitam(parut) pada pergelangan tangan kanan ni. Parut tersebut adalah kesan gari yang digunakan ketika ditangkap dan disumbat ke dalam lokap pada 17 Julai 2009 yang lalu.

Ditangkap polis bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Bahkan bagi sesetengah kelompok pemikiran(terutamanya penyokong kerajaan UMNO-BN) mereka menganggap ditangkap polis ini sebagai suatu petanda kesalahan konkrit yang seharusnya menyesalkan orang yang ditangkap. Sedangkan mereka lupa, kesalahan dan kebenaran hakikatnya adalah milik Tuhan.

Namun begitu, Tiada perkara yang perlu disesalkan jika ditangkap oleh polis, kerana anda belum tentu bersalah. Mungkin sedikit susah, tetapi akhirnya kebenaran dan kejayaan dipihak mereka yang bersabar dengan jalan yang ditentukan oleh Tuhan.

Saya bukan yang terbaik untuk menyebut perkara yang berkaitan dengan hal-hal sebegini, cuma saya merasakan sebagai manusia yang dipilih oleh Allah untuk menyembah dan mengabdikan diri kepadaNya, kita tidak perlu takut dengan ancaman selain dariNya, apalagi ancaman manusia yang lemah dan setaraf dengan kita. Lokap juga buatan manusia, gari juga buatan manusia. Semua ini tidak kekal melainkan Allah, bahkan parut yang menghias tangan kita juga, jika ianya tidak hilang di dunia, ianya pasti akan hilang di akhirat.

Terima kasih S.M. Nazir(investigation officer,I.O.) yang bertanggungjawab dalam siasatan kes kami kerana membebaskan kami, terima kasih yang tidak terhingga kepada Ust Mohd Idris Mohd Yussof, yang sedia menjamin saya, kepada rakan-rakan sepenahanan, juga terima kasih kepada semua atas doa dan semangat yang kalian berikan.

Terima Kasih Tuhan, kerana mengizinkan aku menyembah dan mengabdikan diri kepadaMu.

Peluang untuk Perubahan Yang Drastik!!!

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang dilipat gandakan segala ganjaran amalan, di tutup pintu neraka dan dibuka pintu syurga. DIjanjikan oleh Tuhan dengan Rahmat, keampunan dan pembebasan dari azab api neraka.

Janji agong ini sepatutnya dikejar dengan sesungguh-sungguhnya oleh hamba yang mempercayai dan beriman dengan hari kebangkitan serta perkara-perkara ghaib yang diperjelaskan oleh Tuhan secara kasar di dalam wahyuNya. Malah diterang dan dipertegaskan pula oleh kalam hambaNya yang sangat mulia, Nabi Muhammad SAW.

Ramadhan bukanlah sekadar pesta ibadah yang berlabuh tirainya apabila terbit anak bulan syawal. Jika fahaman ini yang dipegang, maka berlalulah ramadhan itu sekadar memberi catitan tambahan untuk kitab kebaikan hamba-hamba yang beramal.

Sebaliknya, ini adalah ruang dan peluang yang sewajarnya dipergunakan untuk merapatkan hubungan antara kita dengan Yang Maha Pencipta. Tangisan takut dan harap kita semasa di bulan ini perlu menjadi bekal untuk setahun yang bakal kita hadapi tanpa ramadhan.

Sebab itu, Nabi Muhammad terlebih tahu akan peri pentingnya bulan ramadhan ini, dan sudah tentu kita mengharapkan 12 bulan ramadhan setahun kerana tanpa ramadhan kita akan kembali diuji dengan ujian yang lebih berat.

Bagi mereka yang gagal dalam ujian di sekolah ramadhan ini, sudah tentu dia akan lebih mudah gagal dalam ujian di luar ramadhan.

Jom, ingatkan saya untuk memecut menimba ilmu dan bekalan dalam sekolah ramadhan. Jadikan bulan ini, bulan perubahan drastik dalam hidup saya dan kalian.

Antara Yang Menarik