Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, October 29, 2009

Perak No 1: Mempertahankan Kuasa @ Menjalankan amanah?

"Perak Nombor 1" tajuk lagu seluruh rakyat perak. Tapi bukan semangat asabiah, sekadar menyuntik semangat rakyatnya untuk berusaha sebaik mungkin dan menjadi yang terbaik. Saya juga adalah rakyat yang mempunyai semangat "Perak Nombor 1".

Susulan sidang Dun Perak 28 Oktober, yang menyaksikan 2 sidang berlangsung secara serentak. 2 sidang yang dipengerusikan oleh 2 speaker, dengan 2 Menteri Besar, dan 2 kelompok ADUN yang berbeza, dalam satu dewan yang sama. Sangat bertentangan dengan semangat "Perak Nombor 1".

2 sidang berlangsung secara serentak. 2 sidang yang dipengerusikan oleh 2 speaker, dengan 2 Menteri Besar, dan 2 kelompok ADUN yang berbeza, dalam satu dewan yang sama

Anehnya, kedua-dua pihak enggan bertolak ansur. Kerajaan BN dengan prinsip dan kaedah undang-undangnya, Kerajaan PR dengan prinsip dan kaedah undang-undangnya. Masing-masing enggan melepaskan jawatan apalagi berundur daripada terus melakukan kekacauan dan keributan. Bajet 2010 untuk rakyat Negeri Perak yang sepatutnya diperbincangkan dengan baik, sebaliknya menjadi bahan gelak ketawa seluruh rakyat Malaysia, malah ianya juga mungkin menjadi bahan "just For Laugh" di peringkat dunia.

Kerajaan PR perlu mempertahankan amanah yang telah diberikan kepada mereka. Sebagai pemimpin, kita tidak boleh sewenang-wenangnya membiarkan amanah dan jawatan yang dikurniakan itu dirampas, apalagi jika dianiaya dan dizalimi. Jika pemimpin itu mengalah, maka hancurlah harapan rakyat terhadap pemimpin itu, dan mereka tidak lagi layak memimpin kerana gagal mempertahankan amanah dan hak rakyat.

Kerajaan BN pula perlu melakukan muhasabah. Adakah dengan corak pentadbiran sebegini mampu menjadikan Negeri Perak kembali kepada keadaan asalnya. Perlembagaan Negeri Perak benar-benar teruji dengan peristiwa ini. Malangnya, BN mendapat jawatan ini, bukan melalui proses demokrasi yang sebenar. Penglibatan Polis dan segala instrumen kerajaan dalam isu Perlembagaan Negeri Perak ini sangat memalukan dan mengaibkan BN selaku parti yang telah lama memerintah Negeri Perak dan Malaysia. BN sepatutnya menunjukkan contoh teladan sebagai parti majoriti dalam melaksanakan tuntutan perlembagaan Negeri dan Negara.

Untuk menyelesaikan krisis ini, terdapat beberapa jalan penyelesaian. Yang pertama, salah satu kerajaan, sama ada Kerajaan BN @ Kerajaan PR berundur dan redha dengan ketentuan ini. Namun begitu, telah saya jelaskan bahawa kerajaan PR tidak boleh berundur kerana amanah ini datangnya daripada rakyat. Kerajaan BN pula nampaknya tidak akan berundur. Bukti yang jelas apabila mereka bersungguh-sungguh membentangkan Bajet dan mengawal Dewan dengan segala kekuatan yang mereka mampu janakan.

Yang Kedua, campurtangan pihak Istana. Pada awal krisis ini berlaku, Pihak Istana telah terlibat dalam memecat Jawatan Menteri Besar. Walaupun mengikut perlembagaan Jawatan Menteri Besar hanya boleh dilucutkan dengan 3 cara, undi tak percaya, letak jawatan, pembubaran DUN. Jika perkara ini berlaku, maka doktrin pengasingan kuasa dalam perlembagaan Malaysia akan terlucut serta-merta.

Yang ketiga, campurtangan pihak Mahkamah. Mengikut perlembagaan, Mahkamah tiada kuasa dalam menentukan keputusan dalam Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri. Namun, sepertimana yang telah dibuat oleh BN ketika membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Dato' Seri Ir Nizar sebagai Menteri Besar, maka moleklah sekiranya DUN perak juga diputuskan kedudukannya oleh Mahkamah. Maka perlantikan Menteri Besar oleh Hakim Negara perlulah diterima dengan hati yang terbuka. Sekali lagi, jika perkara ini berlaku, maka Doktrin Pengasingan Kuasa di Malaysia akan terhapus serta-merta.

Yang keempat, serahkan krisis ini kepada Pihak Polis atau SPRM untuk menyiasat dan memutuskan siapa yang bersalah dan siapa yang benar. Atau, serahkan sahaja Negeri Perak kepada pentadbiran Tentera. Maka jadilah Negeri Perak, negeri lanun yang dikawal oleh syerif.

Yang kelima, semua ADUN meletakkan jawatan masing-masing. Berundur setapak ke belakang demi menjaga Kedaulatan undang-undang dan perlembagaan Malaysia, seterusnya diadakan Pilihanraya semua dengan meletakkan Rakyat sebagai pemutus dalam krisis perlembagaan ini. Rakyat diberikan kepercayaan penuh untuk memilih dan menentukan siapa pemimpin yang mereka suka. Dengan jalan ini, tiada penghapusan doktrin, tiada salahlaku perlembagaan. Cuma sedikit merugikan apabila banyak perkara yang telah menjadi aspirasi dan misi kerajaan sedia ada terpaksa dirombak semula selain melibatkan wang pengurusan yang banyak. Malah masa juga terganggu dengan proses demokrasi ini.

Mungkin ada lagi pilihan ke-6 dan seterusnya, tetapi tidak boleh tidak, Semangat Perak Nombor 1 perlu dikembalikan. Satu Negeri, satu Menteri Besar, Satu Speaker, dalam satu dewan yang mulia menjalankan amanah rakyat Negeri Perak Nombor 1.

2 comments:

ibnuZul said...

sistem kehakiman yang korup adalah antara punca babak kartun DUN Perak berlaku...

Anonymous said...

rakyat yang terseksa..berikan hak pada rakyat untuk memilih kerajaan ..pulihkan demokrasi Malaysia..malu pd negara luar..

Antara Yang Menarik