Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Saturday, July 3, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 7

Sesampai sahaja kami di hotel Ad-Dar, muazzin Masjid Nabawi sedang melaungkan azan memanggil umat Islam menunaikan solat zuhur. Waktu itu, jam menunjukkan pukul 12.25 tengahari.

Sebaik sahaja semua jemaah telah turun dan dipastikan tiada barang yang tertinggal, kami semua naik ke bilik untuk menghantar “harta-harta rampasan perang” masing-masing ke bilik. Kemudian bergegas untuk menunaikan solat zuhur secara berjemaah. Walaupun keletihan, masing-masing tidak mahu melepaskan kelebihan 1000 kali ganda pahala menunaikan solat di Masjid Nabawi.

Selesai sahaja menunaikan solat, saya meluangkan masa untuk berehat sambil menambah koleksi amalan di Masjid Nabawi. Saya mencapai senaskhah Al-Quran yang disusun rapi oleh jemaah sendiri, dan menyambung bacaan juzuk ke 28, sambungan daripada bacaan sebelum saya berangkat menunaikan umrah yang tidak sempat saya habiskan sebelum ini.

Ibu saya berpesan, kalau boleh habiskan 30 juzuk Al-Quran di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Saya berazam, menghabiskan 30 juzuk Al-Quran di tempat ianya diturunkan, mungkin ini yang membuatkan setiap ayat yang dibaca begitu meresap ke dalam hati dan pemikiran saya. Sentiasa membayangkan asbabun-nuzul setiap ayat yang dibaca. Surah As-Saf, Al-jumuah, dan Surah Al-Munafiqun merupakan antara surah yang terkandung dalam juz 28 ini. Dan ketiga-tiga surah ini diturunkan di Madinah.

Terbayang pertembungan sengit antara kebenaran dan kebathilan yang dihadapi oleh Nabi Muhammad dan para sahabat. Jika di Mekah, Nabi berdepan dengan tentangan orang-orang Kafir yang secara jelas dan zahir menolak Islam. Di Madinah, Allah Ta’ala menguji Nabi dan para sahabat dengan golongan Munafiq yang berpura-pura memeluk Islam sedangkan di dalam hatinya tidak sedikit pun cenderung untuk menyerahkan diri kepada Allah dan Rasul.

“Dan ketika mereka melihat perdagangan atau permainan, mereka segera menuju kepadanya dan mereka meninggalkan engkau (Muhammad) sedang berdiri (berkhutbah). Katakanlah, “Apa yang ada di sisi Allah lebih baik daripada permainan dan perdagangan, dan Allah Pemberi rezeki Yang Terbaik”” Surah Al-Jumuah, 62:11.

Ayat di atas antara ayat yang membuatkan saya termenung panjang. Seakan terasa benar suasana yang pernah suatu ketika dulu menyelubungi tempat suci itu. AlhamduliLlah, syukur di atas izinNya menerima diriku yang hina berada di tempat yang teramat mulia.

Setelah membaca beberapa helai dari juzuk 28, saya menamatkan bacaan kerana masih ada lagi tugas yang sedang menanti saya di hotel. Taklimat perjalanan pulang yang saya rancang ingin diadakan pada petang tersebut.

Saya tidak terus bangun, sebaliknya mengambil masa menikmati pandangan senibina masjid yang begitu indah, cemerlang dan bergemerlapan. Tidak jauh dari tempat saya duduk, sekumpulan manusia sedang duduk sambil bersembang. Salah seorang daripada mereka pada ketika itu, secara kebetulan sedang memerhatikan saya. Kami bertentangan mata, saya memberikan senyuman yang biasa saya berikan, mungkin juga kerana telah lama membiasakan diri untuk senyum, maka untuk saya senyum kepada lelaki tersebut tidak menjadi masalah untuk saya.

Tiba-tiba lelaki yang berpakaian kurta berwarna coklat kabur dan luntur itu bangun dan terus menghampiri saya. Sambil tersenyum, dia menyapa dan menghulurkan tangannya.

“Assalamualaikum,” sapa lelaki itu. Saya biasa melihat pakaian seperti itu ketika di Bangladesh.

“Wa’alaikumussalam,” saya menyahut sambil menjabat tangannya. “Min Bangladesh?” terus saya meneka asalnya.

“Pakistan, Indonesia?” giliran lelaki itu pula meneka.

“Malizi,” jawab saya ringkas sambil tersenyum.

Kami sempat berbual. Lelaki itu datang dalam rombongan seramai 7 orang sahaja. 4 lelaki dan 3 perempuan. Dia memuji Malaysia, Mahathir Mohammad nama yang popular dan baginya merupakan seorang pemimpin yang hebat.

“Now is Najib Abd Razak, both Mahathir and Najib is no good. They are secular,” saya cuba berkongsi pandangan saya dengannya. Lelaki tersebut agak terkejut, sambil mengangguk-anggukkan kepalanya, mungkin cuba memahami agaknya. Terus sahaja dia mengubah topik perbualan dengan memperkenalkan saya dengan lelaki-lelaki yang bersamanya dalam rombongan itu.

Kami bersalam dan berpelukan sebelum berpisah. Masing-masing agak gembira dalam pertemuan yang sekejap itu. Saya yakin mereka tidak begitu faham dengan apa yang saya katakan, malah saya juga yakin mereka juga tahu yang saya juga tidak begitu faham dengan apa yang cuba mereka katakana. Tetapi, kekurangan itu tidak sedikitpun menjejaskan. Sepanjang perjalanan pulang ke hotel, saya tersengih seorang diri mengenangkan pertemuan dengan warga Pakistan yang begitu ramah dan baik hati.

Sesampai di hotel, saya terus menuju ke ruang makan. Jemaah sudah pun memenuhi ruang itu. Mujurlah Ust Azhuri pulang awal ke hotel, dia telah pun memaklumkan mengenai masa dan tempat bagi taklimat petang ini.

“Petang ni kat mana ustaz?” Pn Zaiton tiba-tiba menegur saya dari meja makannya. Mungkin untuk mendapatkan kepastian.

“InsyaAllah kita buat kat sini, jam 5 petang ye,” sahut saya. Dalam hati agak berdebar-debar mengenangkan isi kandungan taklimat yang masih belum begitu tersusun. Semoga dipermudahkan, doa saya di dalam hati.

Petang itu, sebaik sahaja selesai solat asar, saya mengambil sedikit masa untuk membaca Al-Ma’thurat, himpunan bacaan ayat-ayat Al-Quran dan doa yang ma’thur yang disusun oleh As-Syahid Hassan Al-Banna. Ma’thur bererti ayat-ayat dan doa ini selalu diamalkan oleh Nabi dan diperturunkan kepada kita secara turun-temurun.

Sesampai di hotel, saya memulakan taklimat perjalanan ke Mekah bersama Ust Azhuri. Malangnya, taklimat tersebut terpaksa ditangguhkan. Rupa-rupanya jodoh kami dengan bumi Madinah telah dipanjangkan, Kami hanya akan bertolak ke Mekah pada hari Isnin, iaitu pada hari lusa.

AlhamduliLlah, saya menarik nafas lega kerana masih belum puas menikmati suasana indah masjid Nabi Muhammad SAW ini.


bersambung...

1 comment:

Anonymous said...

Sedar lah sikit. Kita sapa!. Nik aziz elok kah.jgn buta mata.

Antara Yang Menarik