Baru-baru ini, saya ke Lembah Pantai, kebetulan ada aktiviti di Madrasah Al-Falah, di Jalan Pantai Permai 7, jalan yang sama menempatkan Masjid Al-Ikhlasiah, masjid yang menjadi sasaran seorang peguam yang mempertikaikan laungan azan. Tertarik dengan perkongsian bersama rakan saya, yang juga orang tempatan di situ, beliau menyebut, kedudukan Masjid ini dengan Pantai hill Park, rumah peguam Bukan Islam tersebut sebenarnya lebih daripada 1km. Jarak ini sebenarnya terlalu jauh untuk menimbulkan perasaan tidak senang. Malah, peguam yang terbabit dikatakan menetap di situ lebih dari 5 tahun.
Madrasah Al-Falah mempunyai kedudukan kurang dari 1km dari kedudukan Masjid, tetapi bunyi azan yang dilaungkan dari surau yang berdekatan jauh lebih kuat berbanding bunyi azan dari Masjid berkenaan. Apalagi nak membuatkan telinga menjadi kurang senang. Tentu, saya sebagai seorang Muslim, amat senang dan tenang mendengar suara azan, tetapi saya hampir yakin dan pasti, bunyi azan yang sebegitu lemah, belum tentu mampu menggerakkan ayam dari tidur, inikan pula manusia.
Isu ini, menurut sesetengah pihak sudah selesai dan diminta untuk tidak menambahkan kekeruhan. Sekali lagi, penyokong kerajaan, terutama dari rejimen UMNO-BN ini, mengadakan bantahan dan tunjuk perasaan membantah dan meminta individu terbabit dikenakan ISA. Kesalahan pertama mereka ialah meletakkan kesalahan ini tidak kena pada tempatnya. Mereka selaku jentera Kerajaan, yang memegang segala macam bentuk instrumen pentadbiran dan pengurusan Negara, tidak sepatutnya berkokok, kerana mereka boleh melakukan lebih dari sekadar itu.
Kesalahan mereka yang kedua, lebih teruk dan zalim dari kesalahan yang pertama, ialah mahu menyumbat individu terbabit ke dalam ISA. Sudahlah zalim ketika menghukum, zalim pula dalam mengenakan hukuman. Inilah yang dikatakan labih zalim dari Firaun. Semoga mereka sedar dengan perbuatan yang mereka lakukan itu.
UMNO-BN sudah lama memerintah Malaysia, amat malang jika isu berkaitan azan ini, yang sudah sekian lama menjadi syiar, gagal ditangani oleh pemimpin yang juga mengaku Islam dan bersembahyang lima waktu sehari semalam. Jika tidak mahu menggunakan media, Kerajaan boleh menggunakan sistem pendidikan dengan memasukkan sedikit elemen kefahaman Islam, sekadar menjelaskan pendirian Umat Islam berkaitan isu-isu yang agak sensitif dibincangkan di khalayak.
Sampai bila kita mahu hidup dalam keadaan prejudis, syak dan prasangka? Tidakkah lebih baik, kekeruhan itu dijernihkan supaya rakyat bukan Islam, termasuk yang Islam tetapi kurang faham mengenai cara hidup yang sepatutnya mereka amalkan,benar-benar jelas dan mempu mengawal tindak-tanduk, percakapan, fikiran dan perasaan mereka supaya tidak melanggar batas-batas dan sempadan antara agama dan juga kaum.
Begitu juga hal yang berlaku ke atas Cikgu Mala. Sememangnya, wanita Islam tidak boleh bersalaman dengan lelaki yang bukan mahram, tidak kira Islam mahupun bukan Islam. Satu perkara yang kita sudah lama lupa, bukan wanita Islam sahaja yang tidak dibenarkan bersalaman dengan lelaki yang bukan mahramnya, bahkan lelaki Islam juga sepatutnya tidak boleh bersalaman dengan wanita yang bukan mahramnya. Malah, kelonggaran diberikan kepada wanita yang sudah lanjut usia, tetapi kelonggaran langsung tidak diberikan kepada lelaki lanjut usia walau betapa teruk sekalipun uzurnya.
Tidak hairan kalau kita dengar ada "atuk" rogol cucu, tetapi kes "nenek" rogol cucu belum dilaporkan. Kalau ada pun, saya pasti nenek itu tidaklah setua "status" nenek yang kita bayangkan. (sesak dada saya bila menulis berkaitan masalah ini!)
Jambatan perlu dibina segera. Islam ini adalah cara hidup. Maka untuk menjadikannya sebagai cara hidup, ianya perlu dikongsikan bersama-sama. Kita perlu kongsikan cara hidup yang indah ini supaya orang lain juga dapat berkongsi dan menerima tempias keindahannya. Jambatan inilah yang akan menghubungkan antara mereka yang bukan Islam, juga mereka yang Islam, tetapi masih belum mengamalkan Islam sebagai cara hidup dengan nilai-nilai Islam yang sebenar, yang sebenarnya sangat indah dan menarik untuk dilaksanakan. Menghubungkan manusia, mestilah melalui kuasa perhubungan yang lebih hebat daripada kuasa dan keupayaan manusia, maka Allah Ta'ala menurunkan wahyu, disampaikan kepada kita melalui Nabi Muhammad SAW, juga diterangkan dan diperkukuhkan melalui risalah dan hadith Baginda.
Rujukan inilah yang utama, dan pertama yang perlu kita ambil.
Kritikan untuk pemimpin sebenarnya adalah tanda kasih dan sayang rakyat kepadanya. Apa yang kita mahukan ialah perubahan, dan rakyat hanya akan memilih pemimpin yang benar-benar mampu membawa perubahan. Maka, Ubahlah sekarang, selamatkan Malaysia.
No comments:
Post a Comment