Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, January 22, 2009

Politik nilai: Tranformasi Pemikiran Mahasiswa Pasca-PRK 2009

Pilihanraya merupakan medan politik yang akan menguji sejauh mana kelebihan yang ada pada seseorang calon mampu menarik minat dan sokongan pengundi. Maka secara lazimnya, calon-calon akan bertanding secara kelompok dan akan mempertahankan kehebatan kelompok masing-masing. Misalnya, calon-calon sistem daripada Aspirasi, mereka akan mempertahankan kehebatan kelompok aspirasi sedaya-upaya mereka sekalipun terpaksa menggunakan helah dan sebagainya. Politik seperti ini adalah politik kepartian. Iaitu politik yang berteraskan kekuatan pengaruh parti yang bertanding.

Walaupun Pilihanraya Kampus diadakan secara individu tanpa sebarang parti dan kelompok, namun hakikatnya semua calon mewakili parti dan kelompok masing-masing. Bukti yang jelas pada flyers dan poster calon sistem ada tertera, "Undilah Calon Aspirasi Anda". Walaupun perkara ini dilarang, kelebihan kuasa mengubah dan menguatkuasakan sistem telah dimanfaatkan sebaiknya oleh "sistem" yang berada di kalangan pegawai HEP. GMUKM juga turut melakukan perkara yang sama apabila mereka mencetak flyers nombor calon Mahasiswa secara berkelompok.

Selepas pengumuman keputusan dan melihat kepada senario politik yang berlaku sepanjang tempoh pilihanraya kampus baru-baru ini, saya merasakan kita perlu melakukan transformasi pemikiran. Daripada politik kepartian@kelompok kepada politik berteraskan nilai. Kita perlu melihat kepada nilai yang di bawa oleh calon atau parti yang bertanding, bukan pengaruh fizikal dan penampilan calon atau parti yang bertanding.

Politik berteraskan nilai ini akan mewujudkan suasana yang lebih intelek apabila calon @ parti akan memperjuangkan nilai yang terbaik dan berkempen untuk menarik pengundi menyokong nilai yang di bawa, bukan parti yang diwakili. Pemikiran seperti ini juga akan mengelakkan pengundi, calon, mahupun sesiapa sahaja mengukur calon berdasarkan peribadi atau kelompok semata-mata. Barulah akan lahir persaingan politik yang sihat.

Perjuangan politik berteraskan nilai inilah yang sebenarnya diperjuangkan oleh GMUKM menerusi calon-calon Mahasiswa yang bertanding. Perjuangan inilah juga yang akan didokong oleh MPP Mahasiswa yang diberi mandat.

Sempadan ideologi dan kepercayaan bukan lagi menjadi faktor utama yang menentukan kejayaan seseorang calon, sebaliknya nilai yang mereka perjuangkan menjadi indikator utama dalam membuat keputusan semasa mengundi. Saya dan juga teman-teman dalam GMUKM, sebenarnya tidak bermusuh dengan orang-orang Aspirasi mahupun pegawai-pegawai HEP. Sekalipun sesekali pernah bertikam lidah dan mengguris rasa Pn Rosmah Ayu yang dilihat terlalu gemar mencampuri urusan Mahasiswa.

Bagi saya, apa yang paling penting untuk kita nilai adalah "apa yang dibuat?" bukan "siapa yang membuat?". Sekalipun jika perbuatan GMUKM dinilai sebagai buruk maka buruklah perbuatan GMUKM secara nilainya. Begitu juga tindakan HEP, jika membazirlah nilai yang dipandang oleh masyarakat umum terhadap kursus bakal calon, maka nilai itulah yang sepatutnya menjadi fokus utama perbincangan, bukan siapa yang membazir.

Justeru, kata kunci kepada tranformasi pemikiran ini adalah,

1. Berfikir secara Rasional, kita perlu selidik fakta dan hujah sebelum membuat sebarang kenyataan.
2.Bersikap profesional, mementingkan etika dan moral serta mengenepikan kepentingan individu, kelompok, ataupun parti serta tidak beremosi.
3.Berfikiran kritis terhadap isu yang dibangkitkan, menilai dengan sedalam-dalamnya isu dan hujah yang dibangkitkan.

Dengan adanya sifat profesional, kritikal dan rasional ini, akan dapat membantu kita menilai sesuatu perkara itu dengan labih baik dan lebih murni. Hidup ini bukan untuk keperluan diri sendiri sahaja, tetapi orang lain juga turut menerima tempias daripada tindakan dan perbuatan kita. Udara ini kita kongsi bersama, tanah ini kita pijak bersama, apalah kiranya nilai yang kita ada, kita kongsi dan kita bahaskan bersama. Bersatu Berubah!!!!

No comments:

Antara Yang Menarik