Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Friday, January 23, 2009

Seputar pembelit, memintal kata membuat dosa...

Muhammad Bin Abdullah S.A.W. merupakan seorang manusia yang paling mulia di kalangan penduduk Mekah 1400 tahun dahulu. Baginda dikenali ramai dengan akhlak dan peribadinya yang menawan, maka layaklah Baginda digelar Al-Amin yang membawa maksud orang yang beramanah. Bukan sahaja disenangi oleh orang-orang yang baik, malah semua mengiktiraf akan kelebihan budi pekerti pada diri Nabi Muhammad S.A.W.

Pengiktirafan manusia terhadap kelebihan yang ada pada diri Baginda berterusan sehinggalah pada saat ini, pengkaji-pengkaji terus-menerus mengiktiraf kehebatan yang ada pada diri Nabi Muhammad S.A.W. sehingga meletakkan Baginda pada kedudukan No 1 dalam senarai 100 manusia paling berpengaruh dalam dunia.

Masihkah kita ingat, sewaktu Baginda memanggil seluruh penduduk Mekah ke sebuah bukit. Lalu Baginda berpidato, "Sekiranya aku khabarkan kepada kamu bahawa di belakang bukit ini ada bala tentera yang ingin menghancurkan kita, adakah kamu akan mempercayai beritaku ini?"

Lalu menjawab seluruh penduduk Mekah pada ketika itu, "jika itu yang engkau khabarkan, nescaya pasti kami mempercayainya," sahut penduduk Mekah beramai-ramai sebagai bukti kepercayaan mereka terhadap kata-kata Baginda.

Seterusnya Baginda menyambung pidato Baginda dengan menceritakan akan perihal kerasulan Baginda dan kebenaran yang dibawa, iaitu Ajaran Islam. Baginda mengajak secara terang-terangan penduduk Mekah pada ketika itu untuk beriman kepada Allah dan menerima Islam sebagai cara hidup. Menerima prinsip keadilan sebagai dasar pemerintahan, menerima rukun damai sebagai perlembagaan hidup bermasyarakat, mengutamakan kebajikan rakyat dan memelihara hubungan sesama jiran dan kawan-kawan.

Lalu bertempiklah penduduk Mekah pada ketika itu, antara yang paling lantang bersuara ialah Abu Lahab dengan teriakannya,"Celaka engkau Ya Muhammad, adakah kerana perkara merepek ini engkau kumpulkan kami semua?" jerit Abu Lahab. Lalu Allah menempelak Abu Lahab dalam surah Al-Masad berserta isterinya di atas perbuatan biadabnya itu.

Senario di atas sebenarnya adalah siaran ulangan kepada kisah para Nabi dan Rasul-Rasul A.S. sebelum daripada pengutusan Nabi Muhammad lagi. Manusia mengiktiraf kehebatan Nabi, namun tidak mahu mengikut seruan yang di bawa, yakni Islam. Sedangkan mukjizat para Nabi pun dengan mudah dituduh sebagai sihir oleh mereka yang menyaksikan sendiri kejadian hebat itu, hujah dan keterangan juga mereka sangkal dan mereka dakwa sebagai fitnah. Semuanya kerana ingin memlihara kepentingan diri masing-masing.

Pada hari ini juga, berulang perkara yang sama. Tuan Guru Nik Abd Aziz diiktiraf ramai sebagai sebagai seorang yang warak, tetapi bila Tok Guru bercerita mengenai Islam, ramai yang mendustakan beliau.

Perbuatan "mendustakan" ini adalah putar belit golongan-golongan yang ingkar terhadap perintah dan larangan Allah. Mereka mengakui kehebatan Islam dan pemegang panjinya, namun ingkar malah mendustakan kata-kata yang bersangkutan dengan ajaran Islam yang dibawakan.

Sekalipun kita bercakap dan berhujah dengan bukti keterangan yang jelas, terang lagi bersuluh, golongan-golongan yang ingkar ini akan dengan mudahnya memutar belit dan mendustakan fakta dan bukti yang dikemukakan.

Mereka(golongan ingkar) akan terus memutar belit, memintal kata dan membuat dosa. Namun, menjadi tugas sebagai hambaNya untuk terus menyampaikan sekalipun seluruh dunia mendustakan...

1 comment:

Anonymous said...

Jazakallah atas tazkirah petang.ingatan pada serban dan buku hijau di musolla ki.

salam tarbiyah.

Antara Yang Menarik