Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Saturday, May 22, 2010

Kalimah Syahadah: Tuntutan Literal dan Realiti - Part1

Allah menerangkan di dalam Al-Quran, surah Al-A'raf ayat 172,

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam daripada tulang sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman), 'Bukankah aku ini Tuhanmu?' Mereka menjawab, 'Betul (engkau Tuhan kami) kami menjadi saksi.' (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari Kiamat kamu tidak mengatakan, "Sesungguhnya ketika itu kami lengah terhadap ini,"

Ayat ini memberik ingatan kepada semua manusia, bahawa Tuhan kita hanyalah Allah Ta'ala. Dialah yang menjadikan kita, menghidupkan dan mematikan kita. Memberikan kita segala keperluan dan mentadbir bumi serta alam ini dengan fitrah dan sunnahNya. Terdapat beberapa pengajaran penting yang terdapat dalam ayat ini, antaranya ialah:

1.Proses penciptaan manusia. Diterangkan secara ringkas proses kelahiran manusia. Kajian saintis telah membuktikan kebenaran ayat ini, sekalipun ayat ini telah diturunkan sekurang-kurangnya 1000 tahun sebelum ianya dibuktikan melalui kajian saintis. Ayat ini bertujuan mengukuhkan hujah Keesaan dan kebesaran Allah Yang Maha Pencipta.

2.Dialog antara Allah Ta'ala dengan sekalian ruh manusia. Ada pendapat mengatakan bahawa setiap ruh akan ditanyakan soalan ini sebelum ditiupkan ke dalam jasad manusia. Ada juga yang berpendapat bahawa peristiwa ini berlaku ketika semua ruh-ruh manusia dikumpulkan bersama dan Allah Ta'ala bertanya kepada sekalian ruh. Namun, semuanya bersetuju bahawa setiap ruh manusia akan berdialog dengan dialog di atas ketika di alam ruh sebelum dilahirkan ke dunia.

Walaupun kita tidak akan mampu mengingat kembali peristiwa di alam ruh itu, namun kita akan sentiasa diperingatkan dan diberikan ruang untuk melakukan koreksi hakikat penciptaan kita semasa di dunia. Alam sekitar, silih pergantian malam dan siang, proses kelahiran dan kematian, semuanya bertujuan memberikan isyarat dan ingatan tentang siapakah kita sebenarnya.

3.Peristiwa hari kebangkitan. Ayat ini juga menerangkan bahawa kita akan dipersoalkan di hari kiamat mengenai persaksian ini. Memberi isyarat bahawa terdapat tuntutan dan perkara yang perlu kita laksanakan sebagai membuktikan kesaksian kita tersebut. Secara jelas memberikan amaran bahawa, tiada manusia yang dapat memberikan alasan untuk mengelak daripada dikenakan hukuman dan balasan terhadap tuntutan persaksian ini.

AlhamduliLlah, saya ditemukan dengan Ustaz Adam Abdullah, seorang cina muslim yang cacat penglihatan. Saya sempat berbual panjang mengenai bagaimana dia mendapat hidayah untuk menyatakan kesaksian bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu rasul dan pesuruhNya.

Ustaz Adam dilahirkan buta dalam sebuah keluarga cina beragama buddha. Dia tertarik untuk mengkaji mengenai agama Islam ketika di Tingkatan 4. Kebetulan, waktu itu dia mengambil subjek Tasawur Islam sebagai subjek tambahan untuk SPM. Dia merupakan pelajar istimewa yang belajar di sekolah menengah biasa di ibu kota.

Suatu hari dia bertanya kepada Ustazah yang mengajarnya subjek Tasawur tersebut, "Ustazah, dalam Al-Quran ada menyebut, Allah akan memberikan hidayah kepada orang yang Dia kehendaki, dan sesatkan orang yang Dia kehendaki. Zalimlah Allah ni Ustazah." Ustaz Adam membuat kenyataan yang menimbulkan tanda tanya kepada ustazah.

Ustazah itu, dengan tenang menjawab, "kamu sedar tak walaupun kamu ni buta dan tidak dapat melihat, sebenarnya kamu sendiri mempunyai pelbagai kelebihan?" Ustazah membalas dengan pertanyaan.

Ustaz Adam terpinga-pinga dan gagal memahami maksud soalan Ustazah. Melihat Ustaz Adam semakin berminat untuk mendengar jawapannya, Ustazah menyambung, "walaupun kamu buta, tetapi kamu diberikan Allah kelebihan pada deria-deria kamu yang lain. Malah manusia lain juga memberikan kamu keistimewaan yang tidak ada pada manusia yang biasa. Sebab itu kamu ni istiimewa. Kamu lebih tahu berapa buah anak tangga di sekolah, di mana ada selekoh dan di mana ada lubang, yang orang biasa seperti saya sendiri pun tidak tahu," Balas ustazah.

Ustaz Adam mula menunjukkan reaksi yang berbeza, seakan terpukau dengan penjelasan Ustazah itu tadi. Lantas Ustazah menyimpulkan, "Begitu juga dengan hal hidayah, Allah Ta'ala yang jadikan manusia, Dia memberikan penjagaan yang cukup terhadap hambaNya. Tiada satu pun yang dijadikan secara sia-sia. Dia menentukan malam dan siang supaya memberikan petunjuk kepada manusia tentang kewujudanNya dan mengingatkan manusia tentang asal-usul kejadiannya."

Dia mulai sedar keistimewaan yang ada padanya, dan betapa rahmat serta kasih-sayang Allah telah menjaganya selama ini. Dialog ini menjadikan Ustaz Adam semakin berminat untuk mendalami Islam. Dia akhirnya bersaksi bahawa Tiada Tuhan Yang Layak Disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruhNya, ketika dia berumur 17 tahun.

Bersambung....

No comments:

Antara Yang Menarik