Masih terngiang kata-kata Ustaz Adam, ketika itu saya menghantarnya pulang ke Jalan Tun Sambanthan, di Pusat Jagaan Latihan Gurney Bagi Orang Buta di Jalan Tun Sambanthan. Kebetulan waktu itu, bulan puasa dan saya menghantarnya pulang selepas selesai solat maghrib dan kami berbuka puasa bersama-sama di Fakulti Kejuruteraan, UKM.
"Farid, kamu tahu tak, walaupun kami ni buta dan semuanya gelap. Tetapi kami dapat bezakan antara siang dan malam,"
Saya terkedu dan gagal membalas kata-kata tersebut. Tanpa saya sedari, airmata saya mengalir mengenangkan ujian yang Allah Ta'ala berikan kepada insan hebat ini sehingga dia dipilih menerima hidayah. Walaupun buta matanya, tetapi sungguh celik hati dan jiwanya.
Peristiwa ini, merupakan salah satu bukti bahawa Allah Ta'ala sentiasa mengasihi hambaNya. Maha Penyayang dan Maha Memberi hidayah kepada sekalian hambaNya. Setiap manusia akan diberikan ingatan, dan ujian untuk membuktikan persaksian mereka.
Berulang kali saya menyebutkan mengenai "persaksian". Saya lebih gemar menggunakan istilah ini berbanding "memeluk agama Islam". Istilah memeluk seolah-olah memberikan gambaran bahawa Islam ini berbentuk agama dan penyertaan. Hakikatnya, Islam tidak pernah datang mahupun pergi. Ianya bukan suatu jelmaan atau rekaan manusia seperti agama-agama lain di dunia. Islam adalah cara hidup, dan satu-satunya cara hidup seluruh manusia. Perlembagaan dan aturan dalam Islam, merupakan perlembagaan dan aturan yang digunapakai oleh semua haiwan, tumbuhan, air, udara, langit, bumi, planet, bulan dan seluruh isi cakerawala.
Di dalam sebuah diskusi, Ustaz Wan Abd Rahman Wan Abd Latif, menjelaskan bahawa kalimah syahadah ini sebenarnya membawa kepada tiga tuntutan utama. Iaitu tuntutan dari segi membenarkan dalam hati, iaitu mengakui dengan sebenar dan sesungguh-sungguhnya bahawa Tiada Tuhan Yang Layak Disembah Melainkan Allah dan mengakui Bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Bererti, tiada syak dan ragu mengenai persaksian itu. Tiada dalam hatinya, perkara-perkara yang lebih besar atau lebih baik daripada Allah dan Rasul. Menyerah diri secara total kepada cara hidup Islam.
Seterusnya tuntutan dari segi literal dan verbal. Verbal bermaksud melafazkan kalimah syahadah ini secara terbuka dan secara zahir. Lafaz ini membawa kepada dua natijah iaitu, menjadikan seseorang itu, dari segi hukumnya adalah Islam. Di samping itu, ada ganjaran yang disediakan bagi mereka yang memperbanyakkan sebutan kalimah mulia ini. Di dalam kitab Tanbihul Ghafilin, ada menyebut secara panjang lebar mengenai perihal orang-orang Islam, bahawa setiap muslim akan dimasukkan ke dalam syuirga kerana mereka menyebut kalimah syahadah. Namun, mereka akan terlebih dahulu dimasukkan ke dalam neraka atas dosa dan maksiat yang mereka lakukan. Hal ini bertepatan dengan firman Allah, bahawa Allah Ta'ala tetap akan menghapuskan segala dosa kecuali dosa mensyirikkan Allah.
Ramai yang berjaya melaksanakan kedua-dua tuntutan ini, namun gagal untuk menyempurnakan tuntutan yang ketiga, iaitu manifestasi kefahaman terhadap persaksian ini dalam kehidupan seharian. Penyerahaan diri secara total terhadap segala hukum-hakam, melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan di samping sentiasa menempatkan diri di atas jalan yang ditinggalkan oleh para Nabi dan Rasul.
Ini kerana, sampel terbaik terjemahan konsep "persaksian" dalam kehidupan sehari-hari semestinya para Nabi dan Rasul. Mereka lebih arif dan lebih berjaya dalam memenuhi ketiga-tiga tuntutan ini.
Pelbagai kesimpulan dapat dibuat daripada memahami tuntutan kalimah syahadah. Antaranya ialah meletakkan sepenuh kepercayaan dan keimanan kepada Allah dan Rasul melalui penyerahan diri secara total kepada Islam dan segala perlembagaan dan aturan yang terkandung di dalamnya.
Yang kedua, Islam bukan sahaja menuntut umatnya menjaga hati dan perkataan supaya tidak tersasar, malah memperkukuhkan "persaksian" dalam bentuk tindakan dan amalan.
Dan yang terakhir sebagai kesimpulan, kita sebenarnya sentiasa berada di dalam wilayah Islam. Di mana sahaja kita berada, apa sahaja pekerjaan yang sedang kita lakukan, dan apa sahaja tahap keimanan kita waktu itu, kita tidak pernah lari walau seinci atau sesaat daripada wilayah Islam. Negara Islam itu ada pada diri, dan seluruh isi dunia.
1 comment:
sesungguhnya ,saya baru mengetahui apa itu tuntutan kpd muslim yang Bersyahadah. syukran jazilan.
Post a Comment