Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Sunday, July 4, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 9

Dengan tidur yang tiada mimpi, 3 jam terasa seperti 3 minit. Hj Baharuddin mengejutkan saya untuk solat subuh. Sebaik sahaja memastikan saya telah terjaga, terus sahaja dia keluar meninggalkan bilik untuk ke masjid.

Bumi tinggalan Nabi dan Para Sahabat ini sangat berbeza dengan tempat-tempat lain di bumi yang pernah saya lawati. Keringanan untuk melakukan ibadah begitu terasa. Malah, saya amat yakin, jadual penduduk Madinah juga sentiasa meletakkan urusan ibadah, terutamanya solat fardhu, sebagai urusan utama dalam kehidupan mereka sehari-hari. Kedai-kedai akan ditutup sekitar 15 minit sebelum azan berkumandang. Sebaik sahaja azan berkumandang, maka berbondong-bondonglah manusia meninggalkan urusan masing-masing untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah.

Setiap waktu dan setiap hari kami berada di Madinah, para peniaga akan mula mengemaskan barang-barang niaga masing-masing sebelum azan berkumandang. Boleh dikatakan, ketika azan berkumandang hanya ada dua tiga kedai sahaja yang masih belum siap mengemas, manakala yang lain telah terlebih dahulu dikosongkan. Yang lebih menarik daripada itu, banyak juga premis dan gerai yang hanya menggunakan kain atau kanvas untuk menutup barang dagangan mereka. Mereka benar-benar mengamalkan tuntutan ayat 11 surah Al-Jumuah.

Subuh pada hari itu tidak jauh bezanya dengan subuh pada hari-hari sebelumnya. Aktiviti hari ini adalah aktiviti bebas, kelonggaran diberikan kepada ahli jemaah untuk merancang dan melaksanakan perancangan mereka masing-masing. Ada yang pergi mengutip “harta rampasan perang”, ada yang beratur untuk masuk ke dalam raudhah, ada juga yang menziarahi kawan dan saudara di sekitar Madinah, terutamanya di Universiti Of Madinah yang terletak tidak jauh dari hotel kami, dan ada juga yang langsung tiada aktiviti, hanya berehat di bilik.

Saya pula, menghabiskan masa di masjid. Hari ini adalah hari terakhir saya di bumi Madinah. Ust Azhuri pernah berpesan:

“Marilah kita berdoa supaya kehadiran kita di Madinah ini bukanlah kali yang terakhir, sekiranya ini adalah yang terakhir semoga amalan dan ibadah yang kita lakukan ini diberikan keampunan dari segala dosa dan dijanjikan ganjaran syurga,” nasihat Ust Azhuri dalam taklimat yang terpaksa ditunda tempoh hari.

Kata-kata itu begitu meninggalkan kesan. Saya sendiri tidak pasti adakah masih akan diberikan kesempatan untuk menjadi tetamuNya pada masa akan datang.

Masjid Nabawi diuruskan oleh kerajaan Arab Saudi. Air zamzam juga disediakan di sini. Banyak tong-tong air zamzam, sejuk dan suam, disediakan di hampir setiap sudut dan kawasan dalam masjid. Mungkin jumlahnya mencecah ratusan tong air yang mempunyai ukuran isipadu lebih kurang 50 liter. Selang beberapa minit pasti aka nada petugas yang akan menukarkan tong yang telah kehabisan air dengan tong yang baru.

Air zamzam akan sentiasa dibekalkan, dan petugas-petugas itu akan terus berada di situ untuk menukarkan tong yang telah kosong. SubhanaLlah, hebat sungguh Allah Ta’ala yang telah mencipta telaga air zamzam yang tidak pernah kering untuk pengunjung Masjid Haram, malah diedarkan pula ke masjid-masjid utama di sekitar Madinah dan Mekah dalam jumlah yang sangat banyak dengan bekalan yang tidak pernah putus.

Tertera di belakang uniform petugas itu, “Bin Ladin Group”, barangkali yang menguruskan air zamzam ini adalah keluarga Ladin. Ada sumber yang mengatakan, Bin Ladin ni keluarga kaya dan terkenal di Arab Saudi, Osama Bin Laden juga dikatakan berasal dari keluarga ini. Semoga usaha mereka diberkati dan dimurahkan rezeki untuk terus berkhidmat dan memberikan yang terbaik.

Sepanjang hari saya berada di Masjid. Sehinggalah ke waktu Asar, selepas Asar saya pulang ke hotel untuk taklimat yang akan diadakan pada pukul 5 petang. Kali ini, saya berazam untuk tidak mengecewakan para jemaah. Ketika berangkat ke Arab Saudi, berulang kali saya menyebut kepada diri saya sendiri, “Farid, kalaupun yang terbaik itu agak sukar untuk engkau lakukan(sebenarnya tiada yang mustahil kalau kita mahu berusaha), setidak-tidaknya berikanlah yang terbaik dan jangan sampai kelemahan yang ada pada engkau mencacatkan kualiti ibadah diri engkau lebih-lebih lagi para jemaah yang berada di bawah tanggungjawab engkau.”

AlhamduliLlah, petang itu taklimat berjalan lancar. Bersama-sama kami dalam taklimat ialah Ust Azhuri yang dipertanggungjawabkan untuk mengepalai sesi ulang kaji pelajaran mengenai ibadah umrah.

“Bermulanya ibadah umrah itu pada niat untuk mengerjakan umrah,” bicara Ustaz Azhuri memulakan penerangannya dalam dialek Indonesia. Ust Azhuri berasal dari wilayah Kalimantan. Bicaranya agak lebih lebih kurang serupa dengan dialek sabah.

“Adapun rukun umrah ini ada 5 kesemuanya, bermula dengan niat ihram, tawaf mengelilingi ka’abah sebanyak 7 kali, saie sebanyak 7 pusingan dari bukit safa ke bukit marwah, bertahalul, dan tertib. Maka jadilah NITASAKURTIB, Niat, Tawaf, Saie, Bercukur(tahalul) dan tertib,” sambung beliau lagi. Sempat juga membuat lawak.

Muka para jemaah kelihatan senyum, tapi kelat. Antara faham dengan tidak. Bagi yang faham, tersengih sambil mengulang-ulang NITASAKURTIB. Bagi yang kurang faham, ada juga yang tercengang.

“Kemudian daripada itu, perkara wajib umrah pula ada dua, iaitu berniat ihram di miqat atau di mana-mana kawasan tanah halal, dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang ketika berihram,” sambung Ustaz Azhuri meneruskan penerangannya.

“Nawaitul ‘umrata wa ahramtu biha liLlahi ta’ala(sahaja aku mengerjakan Umrah dan berihram dengannya kerana Allah Ta’ala),” Ustaz Azhuri memimpin bacaan niat umrah dan ihram dan diikuti bacaannya oleh para jemaah.

Sebaik sahaja seseorang itu berniat untuk mengerjakan umrah, maka ada 12 larangan yang dikenakan ke atasnya sepanjang tempoh dia berihram. Tempoh ihram bermula daripada saat kita melafazkan niat umrah sehinggalah selesai bertahalul.

“Untuk laki-laki, diingatkan supaya tidak sama sekali menutup kepala ketika dalam keadaan berihram. Bimbang disebabkan cuaca panas, kerana tidak tahan panas langsung ditutupkan kepala dengan kain ihram,” ingatan Ust Azhuri sambil mengulas mengenai larangan dalam tempoh berihram.

Berihram bererti mengenakan larangan ke atas diri sendiri sehinggalah diselesaikan kesemua rukun umrah. Antara larangan semasa ihram ialah memakai pakaian bercantum(bagi lelaki), memakai sepatu yang menutup mata kaki(bagi lelaki), menutup kepala (bagi lelaki), memakai wangi-wangian, memotong, mencabut, atau mencukur sebarang rambut atau bulu yang pada tubuh demikian juga kuku, memakai pakaian yang terkena wangi-wangian, memburu/membunuh binatang darat yang halal atau mengganggunya dengan apa cara sekalipun, nikah atau menikahkan, mencaci atau mencerca, memaki-hamun, dengan menggunakan kata-kata yang kotor, keji atau bertengkar, bersetubuh atau bercumbu-cumbuan dan juga mengganggu atau merosakkan tumbuh-tumbuhan yang hidup di seluruh kawasan Tanah Haram.

Terkebil-kebil sebilangan jemaah mendengar penerangan dan taklimat ibadah umrah oleh Ust Azhuri. Selepas hampir sejam taklimat dijalankan, dengan sesi soal jawab, kami bersurai.

“AlhamduliLlah, kita diizinkan oleh Allah dan terpilih untuk menjadi tetamuNya. Dalam jutaan manusia yang ada di dunia ini, kita yang bertuah kerana terpilih untuk berada di sini. Jadikan setiap saat keberadaan kita di sini sebagai peluang menambah koleksi amalan untuk mencapai redha dan kasihNya. Marilah kita jadikan ibadah dan kunjungan kita ke tanah suci ini sebagai kunjungan yang terbaik dalam hidup kita. Semoga ibadah umrah ini menjadi titik tolak kepada perubahan dalam diri kita, insyaAllah,” kata-kata terakhir yang sempat saya ucapkan sebelum mengakhiri perjumpaan tersebut. Semoga pesanan ini melekat pada hati dan ingatan diri yang mengucapkan...

Bersambung...

1 comment:

Habib AlWafiy said...

mnyentuh hati. waiting for the next episode.

Antara Yang Menarik