Tepat jam 4.30 petang, kami sampai di Hotel Muhajirin yang terletak di Gaza. Pada mulanya, saya sendiri agak terkejut, rupanya di Mekah pun ada tempat yang dipanggil Gaza, terletak berdekatan dengan Masjid Kucing, menurut informasi awal yang saya terima, kira-kira 300 meter dari Masji Haram. Semua aktiviti pemindahan bagasi diserahkan kepada pekerja hotel, yang juga hampir kesemuanya berasal dari Bangladesh.
“Ahlan, ahlan!” sambut Ustaz Shamsudin, wakil daripada muasasah yang bertanggungjawab terhadap segala urusan di Mekah dan urusan menyambut jemaah di Lapangan Terbang Jeddah. “Langsung sahaja ke tingkat M untuk makan, kemudian kita pergi menunaikan umrah bersama-sama.” Ujarnya lagi mengarahkan jemaah yang baru untuk terus ke tingkat M untuk makan tengah hari.
Saya pula terus ke kaunter untuk urusan tempahan bilik, menggunakan senarai yang telah ditambah baik, sekejap sahaja semua bilik sudah diagihkan kepada para jemaah di dewan makan.
“InsyaAllah, kita kumpul di bawah jam 5.30 petang, sementara tu boleh masuk ke bilik dan buat apa yang patut ye,” umum saya di dewan makan yang agak kecil. Mujurlah kami sampai lewat, jika tidak mungkin terpaksa bersesak dan berebut-rebut dengan jemaah lain yang juga menginap di hotel yang sama.
“Kad ni simpan, kalau berlaku apa-apa boleh tunjukkan alamat hotel yang ada pada kad,” ujar saya kepada setiap jemaah yang datang mengambil kunci bilik masing-masing.
Sebaik sahaja semua urusan pembahagian bilik selesai, saya terus menuju ke meja hidangan. Seperti di Madinah, hidangannya adlah secara buffet, dan menunya juga agak lebih kurang sama. Kali ini, sedikit sahaja makanan yang saya ambil, sebaliknya hampil separuh daripada pinggan saya dipenuhi buah anggur.
Sejurus selepas menghabiskan makanan dan minuman, saya terus menuju ke lobi untuk menaiki lif. Reka bentuk hotel ini agak lama, malah fesyen lifnya juga agak “old-skool”.
“Macam peti ais lif ni, ada bukak tutup pulak,” ujar Najmi, 14, kedua paling muda selepas Abdul Rahman, 13.
Memang jika dilihat dari luar dan dalam, rupa bentuk lif tersebut saling tak tumpah dengan peti ais daging. Ada juga yang mengatakan rupa bentuknya seperti almari, memang inilah kali pertama saya berjumpa dengan lif yang pintunya dibuka seperti peti ais.
Tepat pukul 5.15, saya telah pun berada di lobi menunggu beberapa orang jemaah yang masih sedang bersiap barangkali. Umrah kali pertama ini disertai hampir kesemua jemaah kecuali beberapa orang muslimat yang uzur dan tidak berapa sihat. Ada juga yang memohon untuk menggunakan khidmat ‘arabi’(kerusi roda) kerana tidak larat berjalan jauh. Ustaz Azhuri sendiri mempunyai beberapa orang kenalan yang menyediakan perkhidmatan tolak ini. Lebih kurang 5 orang jemaah yang menggunakan kerusi roda dan mereka bertolak ke Masjid Haram lebih awal kerana perjalanan mereka tidak sama dengan perjalanan mereka yang tidak menggunakan kerusi roda.
Tiga orang jemaah yang dipimpin oleh Haji Nazir, juga bertolak awal ke Masjid Haram kerana mahu menunaikan umrah secara sendiri. Sememangnya, bagi mereka yang sudah biasa menunaikan umrah, saya menbenarkan mereka untuk pergi berasingan kerana jika mengikuti rombongan mungkin akan memakan masa yang lebih panjang.
Sementara menunggu jemaah, beberapa orang arab telah pun menunggu di pintu hotel ingin menawarkan perkhidmatan menolak kerusi roda.
“’Arabi?” salah seorang daripada mereka menawarkan perkhidmatan kepada salah seorang jemaah.
Berkali-kali orang arab itu menawarkan perkhidmatan tersebut kepada para jemaah. Ada juga jemaah yang kelihatan runsing dan takut dengan tindakan orang arab itu yang agak “bersungguh-sungguh” mahu mendapatkan pelanggan. Melihat keadaan jemaah yang agak tidak selesa, saya terus menerpa kea rah orang arab itu, sambil menarik bahunya ke belakang, saya berkata,
“La sheikh, bass(cukup),” ujar saya yang hampir hilang sabar. Cepat-cepat saya beristghfar, Ya Allah, lindungi aku dan para jemaah, doa saya di dalam hati.
Saya hairan dan pelik kenapa begitu cepat saya naik angin sedangkan saya sepatutnya boleh bersabar dengan karenah orang arab itu tadi. Perasaan bersalah menghantui saya, sejenak saya terlupa bahawa ada urusan yang jauh lebih penting daripada mengendahkan orang arab itu tadi, iaitu menguruskan jemaah yang akan menunaikan umrah sebentar lagi. Cuma tinggal sekeluarga lagi yang masih belum turun, saya cuba menenangkan jemaah yang sudah semakin resah kerana agak lama menunggu di situ.
Setelah jam 6 petang, barulah kami semua bertolak menuju ke Masjid Haram. Sepanjang perjalanan kami menuju ke masjid haram, saya terus memimpin bacaan talbiah yang dilaungkan bersama-sama dengan para jemaah. Darah saya bergemuruh kerana suasana ketika itu begitu bersemangat malah lebih bersemangat berbanding ketika berarak dalam demonstrasi di tanah air dan di UKM sebelum ini.
Begitu semangat kami melaungkan lafaz talbiah, berulang-ulang sehinggalah sampai di pintu masuk Masjid Haram. Saya menggelarkan perarakan itu sebagai perarakan Demonstrasi Umrah Darul Mubarak. Kami memperlahankan lafaz talbiah sewaktu tiba di masjid kerana bimbang akan mengganggu ibadah orang lain yang berada di Masjid. Kami memasuki masjid melalui pintu berdekatan dengan bukit Marwah kerana pintu tersebut merupakan pintu yang awal sekali kami temui, dan pintu itulah yang biasa digunakan oleh jemaah yang menginap di sekitar Masjid Kucing dan Gaza.
“Kita disunatkan untuk memasuki masjid haram melalui Bab As-Salam(Pintu As-Salam) yang terletak di antara bukit Safa dan Marwah,” ujar Ustaz Azhuri sambil menunjukkan kami kea rah pinta As-Salam yang telah diubahsuai dan dipadam tandanya oleh Kerajaan Arab Saudi. “Oleh kerana kita ada jemaah yang agak kurang sihat, kita masuk sahaja menggunakan pintu ini, jika ada kesempatan bolehlah menggunakan bab As-salam di lain waktu,” ujar Ustaz Azhuri lagi.
Setelah itu kami sama-sama membcakan doa memasuki Masjid Haram. Semakin kencang jantung saya berdegup, semakin laju darah saya mengalir, Ya Allah ampunkan dosaku, dosa kedua ibu bapaku, serta dosa seluruh muslimin-muslimat, doa yang tidak putus saya ucapkan.
Pintu yang kami gunakan merupakan pintu di mana terletaknya Bukit Marwah, iaitu penghujung kepada ibadah Saie. Kelihatan ramai jemaah yang baru sahaja menunaikan Saie bercukur di atas saki-baki batu yang masih ada, kebanyakan permukaan bukit Marwah telah pun ditutup oleh lantai marmar. Ribuan manusia sedang berjalan-jalan ulang-alik antara Bukit Safa dan Marwah. Wah, begini rupanya bukit marwah. Keadaannya yang sebenar begitu berbeza dari yang dikhabarkan atau yang pernah terlintas di fikiran.
Setiap permukaan lantai di situ terdapat garisan saf, maka dengan mudahnya saya dapat meneka arah kedudukan kaabah. Hati saya semakin gementar, degupan jantung kencang tidak terkata. Langkah diteruskan sehinggalah sampai di sebuah pintu dari laluan saie tersebut. Bayang-bayang kaabah dari celahan dinding yang diukir dengan begitu cantik sudah mula kelihatan. Lafaz talbiah masih meniti di bibir.
Ketika mula memasuki pintu, bangunan kubus hitam itu sudah jelas kelihatan. Secara tiba-tiba berderau darah, suatu perasaan yang sukar digambarkan, bahkan hamper tidak mempunyai perasaan. Pandangan saya tidak terlepas daripada kaabah walaupun keadaan begitu sesak dengan ragam manusia yang macam-macam. SubhanAllah. Maha suci Allah yang telah menemukan aku dengan tanda-tanda kebesarannya.
Kami berjalan melalui lorong tersebut sehingga sampai ke hujung bahagian berbumbung, betul-betul di bawah lampu hijau yang menandakan garisan penjuru hajarul aswad.
Air mata mengalir deras, perasaan sayu, hiba, terharu, gembira dan pelbagai perasaan datang sekaligus. Ya Allah, terima kasih kerana mengizinkan aku menjadi tetamuMu Ya Allah. Doa dan zikir tidak putus keluar dari bibir, sejenak terlupa bahawa ada jemaah yang perlu diuruskan. Sejenak kemudian, saya kembali menenangkan diri dan beralih ke lantai utama untuk memulakan ibadah umrah, iaitu tawaf menglilingi kaabah.
Bersambung...
3 comments:
haha,hampir2 membuktikan latihan 80 kali hayunan dumbbell 30 kg setiap hari berbaloi..mesti kecut pak arab tu ek??
lg 1,makin hijau nampaknye??
ata: oh, bila marah jgn kan pak arab, nta pun ana nampak "kecik".. Jom, Hijaukan bumi kita!!!
Post a Comment