Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Saturday, July 17, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 15


Hati saya semakin berdebar-debar ketika mula melihat bangunan-bangunan yang mulai padat susunannya, sebagai tanda bumi Mekah sudah semakin dekat. Bangunan yang tinggi juga rumah-rumah yang dibina dari tanah liat dan juga batu-bata menghiasi pemandangan sebelum memasuki kota Mekah. Tiba-tiba di 20 km terakhir, suatu sekatan jalan dibuat oleh pihak berkuasa Arab Saudi. Kami melepasinya dengan mudah, tiba-tiba, pemandu bas mengeluh. Gear tersangkut, dan gayanya memulas gear saling tak tumpah dengan gayanya memulas ketika dalam perjalanan ke Madinah tempoh hari. Tumpuan saya sedikit terganggu dengan situasi tersebut walaupun lidah tidak henti melafazkan talbiah dan selawat. Sempat lagi saya bertukar pandangan dengan pemandu bas tersebut, bimbang kalau-kalau masalah clutch menimpa kami semula.

Tiba-tiba, dengan satu sentakan, akhirnya gear berjaya dimasukkan dan kami meneruskan perjalanan. AlhamduliLlah, di dalam hati saya berbisik, “sempat lagi dia berseloroh dalam keadaan kritikal macam ini”. Bisik saya, meneka, mungkin pemandu bas tersebut sengaja ingin mengusik.

Sejurus melepasi sekatan jalan tersebut, kami bersama-sama membacakan doa memasuki tanah haram,

“Ya Allah, Tanah Haram ini Tanah HaramMu dan negeri ini negeriMu dan keamanan ini keamananMu maka haramkanlah kami daripada api neraka dan amankanlah kami di hari Engkau membangkitkan hamba-hambaMu”

Selang beberapa ketika, kami pun sama-sama membacakan doa ketika melihat kota Mekah, iaitu ketika mula melihat bangunan-bangunan yang terbina di situ:

“Ya Allah, jadikanlah negeri ini tempat yang tenang bagi kami, dan kurniakanlah kamirezeki yang halal di dalamnya, Ya Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan selamatkanlah kami dari seksa api neraka. Ya Allah, negeri ini negeriMu, dan rumah ini rumahMu, kami datang memohon rahmatMu dan menuju ketaatan kepadaMu, menurut perintahMu, mengharapkan keredhaanMu, dan berserah kepada perintahMu, kami bermohon permohonan orang yang terdesak yang takut daripada azabMu, kami harap Engkau menerima kami dengan kemaafan , mengampuni dosa kami dan memasukkan kami ke dalam syurgaMu.”

Saya teringat akan kata-kata sepupu saya, Ali Taib, yang baru sahaja membimbing jemaah umrah pada bulan Mei yang lalu. Dia menceritakan keadaan di Mekah yang mengalami banyak perubaha dan sedang berada dalam tempoh pembinaan. Sebaik sahaja memasuki kota Mekah sudah pasti akan terlihat bangunan pencakar langit yang sedang dibina oleh Kerajaan Arab Saudi. Bangunan yang menempatkan sebuah jam besar dan terletak bersebelahan dengan Masjid Haram.

“Tuan-tuan, kita sudah semakin menghampiri BaituLlah Al-Haram. Jika dilihat dari sini, terdapat sebuah bangunan pencakar langit yang sangat tinggi yang menjadi mercu tanda kedudukan Masjid Haram. Di tempat itulah, (sambil mengarahkan pandangan jemaah kea rah bangunan tinggi tersebut) terletaknya Masjidil Haram,” terang saya kepada jemaah sambil tumpuan mata kami berfokus kea rah bangunan yang separuh siap itu.

“Bangunan yang dikenali sebagai Menara Jam Diraja Saudi tersebut merupakan bangunan yang bakal menjadi bangunan tertinggi di Mekah, dan kedua tertinggi di dunia mengalahkan Menara berkembar KLCC. Dari jauh lagi, kita akan nampak bangunan tersebut. Bahkan jam yang diperbuat dari Jerman itu juga akan menjadi jam yang terbesar di dunia. kompleks hotel gergasi itu bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia dan di atasnya akan dibina sebuah jam yang enam kali lebih besar daripada jam Big Ben di London. Kompleks tujuh menara hotel yang dikenali sebagai Menara Abraj al-Bayt itu akan mengandungi 3,000 buah bilik dan suite, kebanyakannya menghadap Masjidilharam. Ketinggian kedua-dua menara itu hanya kurang kira-kira 11 meter daripada ketinggian menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa yang mencecah 828 meter,” terang saya lagi berpandukan sebuah artikel yang sempat saya temui di dalam internet.

“Menara Jam Diraja Mekah itu akan dibina daripada struktur konkrit setinggi 662 meter dan puncak menara logam setinggi 155 meter yang dilitupi dengan simbol bulan sabit. Malah struktur konkrit Menara Jam Diraja Mekah itu adalah lebih tinggi daripada bangunan kedua tertinggi di dunia pada masa kini iaitu Taipei 101 di Taiwan, yang setinggi 508 meter. Fasa pertama hotel akan dibuka pada akhir Jun 2010 ini, manakala jam itu akan mula beroperasi pada akhir Julai 2010, iaitu menjelang bulan Ramadan yang dijangka bermula sekitar 10 Ogos,”

“Jam buatan Jerman itu, digambarkan sebagai 'yang terbesar di dunia', mempunyai muka selebar 45 meter dan setinggi 43 meter di keempat-empat sisi menara, katanya. Jam tersebut dijangka boleh kelihatan sejauh 17 kilometer pada waktu malam dan 11 hingga 12 kilometer pada waktu siang. Kompleks itu dibina oleh syarikat hartanah gergasi, Bin Laden Group, bagi pihak kerajaan Saudi,” penerangan itu berakhir apabila kami mula memasuki sebuah terowong.

Sebaik sahaja melepasi terowong tersebut, bangunan menara jam tadi kelihatan begitu hampir menandakan kedudukan kami juga semakin hampir dengan Kaabah. Hati semakin berdebar-debar, sehinggalah sampai di suatu selekoh, tersergam indah sebuah komplek Ibadah yang paling indah pernah saya saksikan sepanjang hidup saya. Begitu cemerlang dan bergemerlapan pantulan cahaya yang terpancar dari bangunan yang diperbuat daripada Marmar itu. Menaranya yang tinggi dan begitu ta’ajub saya melihatnya. SubhanaLlah. Tidak putus kalimah syukur yang terbit dari mulut dan hati saya kerana akhirnya berpeluang melihat dan bakal menjejakkan kaki ke Rumah Haram Allah ini.

Bersambung…

2 comments:

Ahmad Tajuddin said...

dah siap ke menara jam tu??
betul ke masjidil haram da renovate jd bentuk baru??

Farid Albariti said...

masa ana pergi jam tu baru separuh..

masjid haram memang sentiasa renovate... cuma kaabah je yg tetap binaan nya...

Antara Yang Menarik