Jam sudah pun menunjukkan jam 1.30 tengahhari. Rupanya, baru 2 jam perjalanan. Saya terjaga kerana terasa bas seperti semakin diperlahankan. Rupanya, pemandu bas membawa kami berhenti di sebuah kawasan rehat dan rawat. Seperti dirancang, kami memang dijadualkan untuk berhenti bagi menunaikan solat jama’ antara solat zuhur dengan solat asar.
“InsyaAllah kita berhenti untuk solat jama’ taqdim selama 30 minit,” umum saya ringkas sebelum turun daripada bas.
Keadaan cuaca di kawasan tersebut tidak banyak beza dengan keadaan cuaca ketika di Madinah, malah lebih terik dan bahang. Kepanasan dan keterikan padang pasir membuatkan kami tidak begitu banyak menghabiskan masa ketika berjalan, apalagi untuk berlengah. Para jemaah terus sahaja menuju ke ruang wudhuk yang terletak lebih kurang 30 meter dari musolla.
Di ruang wudhuk, Ustaz Azhuri tekun memerhatikan keadaan jemaah, bimbang jika ada permasalahan, maka kehadirannya di situ diharapkan dapat menjadi rujukan kepada mereka yang mempunyai sebarang persoalan.
“Hati-hati, jangan sampai terkena sabun, kerana baunya wangi,” tegur Ustaz Azhuri melihat kepada sabun yang begitu banyak disediakan di tempat wudhuk.
Selepas menunaikan solat, para jemaah kemudiannya berpusu-pusu menuju kea rah kedai dan restoran yang terletak betul-betul di hadapan tempat letak bas. Mungkin untuk melapik perut sementara sampai ke hotel di Mekah, ramai juga yang membeli sedikit makanan dan minuman. Pelbagai jenis roti dijual selain daripada kebab ayam dan daging yang sungguh enak dipandangan mata.
“Ustaz nak makan apa?” soal saya kepada Ustaz Azhuri, cuba menawarkan untuk membelanjanya makan.
“Saya makan nanti di hotel saja,” jawabnya mudah. “Bimbang kalau ada jemaah yang tidak makan, tak enak kalau kita makan tetapi jemaah melihat sahaja,” jelasnya lagi.
Wah, murni sungguh hati budinya. Dengan dendangan keroncong mulai mengisi kekosongan, saya menahan lapar dengan hati yang cemburu pada keikhlasan dan kebaikan budi yang ada pada Ustaz Azhuri. Tak mengapa, kalau kenyang nanti susah pulak nak pimpin talbiah, bisik saya memotivasikan diri. Saya mula menanamkan azam untuk menemani jemaah, memenuhi baki perjalanan yang ada dengan alunan zikir, talbiah, selawat dan sebagainya. Aktiviti pembersihan jiwa dan mencari seberapa banyak ketenangan di sepanjang perjalanan.
Di dalam fikiran saya, sering terbayang pengalaman-pengalaman jemaah yang terdahulu yang bersama dengan Darul Mubarak, diuji dengan pelbagai bentuk ujian. Pernah dalam suatu rombongan yang dipimpin oleh Ustaz Salim, ketika mula-mula menjejakkan kaki ke masjidil Haram, seorang ahli jemaah menegur Ustaz Salim.
“Ustaz, mana kaabah? Tak Nampak pun,” ujar lelaki tersebut cemas kerana tidak dapat melihat kaabah.
“Itu dia ha,” balas Ustaz Salim pula sambil menunjukkan ke arah bangunan segi empat yang diselimuti kain berwarna hitam, berada betul-betul di hadapan mereka.
“Ish Ustaz ni, mana? Tak Nampak pun,” ujar lelaki itu lagi.
“Cuba pejamkan mata tu, istighfar banyak-banyak,” nasihat Ustaz Salim kepada lelaki tersebut yang sudah semakin cemas kerana tidak dapat melihat kaabah.
Lelaki itu pun memejamkan mata, sambil beristighfar teresak-esak dia menangis. Laju air matanya mengalir di pipi. Sambil mengusap belakang lelaki itu, Ustaz Salim bersama-sama lelaki itu beristighfar memohon ampun. Kedua-duanya menangis.
Seketika kemudian, mungkin setelah mendapati dirinya sudah kembali tenang, lelaki itu membuka matanya semula, “Allahu Akbar!” tempik lelaki tersebut, akhirnya diperlihatkan kaabah yang sebenarnya berada betul-betul di hadapannya. Semakin deras pula air matanya mengalir.
Banyak lagi pengalaman Ustaz Salim dan Ustaz Ismi semasa mengendalikan jemaah. Sememangnya bumi ini, adalah bumi yang penuh barakah dan mendapat perlindungan istimewa daripada Allah. Kita diingatkan supaya sentiasa memperbetulkan niat dan menjaga amalan bermula di tanah air kita lagi. Supaya kita dijauhkan daripada ujian yang tidak mampu kita pikul.
Ustaz Ismi pernah berpesan, seperti mana amalan-amalan dan ibadah-ibadah yang lain, Umrah dan haji ini juga sangat bergantung kepada niat. Barangsiapa yang hadir ke bumi ini untuk melihat kebesaran Allah, menambahkan iman dan amal, nescaya Allah Ta’ala dengan kuasaNya akan memperlihatkan tanda-tanda kekuasaan dan kebesarannya, serta mempermudahkan segala urusan hambaNya. Sebab itu, tidak hairanlah, sekalipun 3 juta manusia yang mengunjungi baituLlah Al-Haram, bersesak-sesak dan berhimpit-himpit, mereka terpelihara dan mampu melakukan ibadah dengan sempurna. SubhanaLlah.
Jika hati kita ikhlas, maka sudah semestinya Allah Ta’ala akan mempermudahkan dan memberikan rahmat dan berkatNya.
Setelah hampir setengah jam berhenti di kawasan tersebut, kami menyambung perjalanan meneruskan baki kira-kira 150 km dari Masjid Haram. Sepanjang perjalanan kami ditemani oleh alunan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Sheikh Misyari Rashed Al-Afasy, dipasang terus dari telefon bimbit Nikia 3500classic.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment