“Ya Allah ya Tuhanku, Engkaulah yang bersifat As-Salam (sejahtera), dan daripada Engkaulah sahaja kesejahteraan, maka hidupkanlah kami dengan kesejahteraan, dan masukkanlah kami ke salam syurga tempat yang sejahtera. Maha Suci dan Maha Tinggi Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan,ya Allah ya Tuhan, kurniakan daku rahmat dan keampunan Engkau, masukkan daku ke dalamnya dengan nama Allah dan segala puji-pujian itu tertentu bagi Allah, selawat dan salam ke atsa junjungan kami RasuluLlah.”
Beramai-ramai kami membaca doa di atas, doa ketika melangkah masuk Masjidil Haram. Setelah melihat kaabah pula, kami bertakbir,
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Diikuti dengan bacaan doa,
"Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi Engkau sekali-kali, Tuhan yang memerintah segala sesuatu, bagiNya segala kepujian dan Dialah Tuhan Yang Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu, aku berlindung dengan Tuhan yang mempunyai BaituLlah ini daripada kekufuran, kemiskinan, azab kubur dan sempit fikiran. Allah merahmati dan mengurniakan kesejahteraanNya, mencucuri ke atas Saiyidina Muhammad SAW, keluarganya dan sahabat-sahabatnya. Wahai Allah tambahkanlah BaituLlah ini dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan, kebaikan begitu juga tambahkanlah kurnia Engkau kepada sesiapa juga yang memuliakan (BaituLlah) dan akan membesarkannya daripada kalangan yang mengerjakan haji dan umrah dengan kemuliaan, kebesaran, ketinggian dan kebajikan.”
Ustaz Azhuri memimpin bacaan doa-doa di atas. Ramai juga di kalangan ahli jemaah yang membaca sendiri doa-doa tersebut. Setiap ahli jemaah dibekalkan secara percuma buku panduan umrah dan ziarah, “Teman Tetamu Allah” terbitan Darul Nu’man. Di dalam buku tersebut, terdapat doa dan terjemahan. Ustaz Azhuri memimpin bacaan doa tersebut di dalam bahasa arab dan sememangnya, adalah lebih afdhal untuk beribadah menggunakan bahasa arab. Namun begitu, tidaklah menjadi halangan untuk kita menambahkan penghayatan dengan membaca terjemahan.
“Saya lebih suka membaca doa yang terjemahan, lebih penghayatan,” teringat pula kata-kata En Hashim ketika kami bersembang panjang di Madinah mengenai ibadah ziarah di sana.
Titisan air terus mengalir di pipi. Dengan perasaan sebak kami terus melangkah menuju ke Hajarul Aswad bagi memulakan tawaf. Dalam perjalanan menuju ke hajarul Aswad, disunatkan untuk berdoa,
“Ya Allah, kerana keimanan kepadaMu, membenarkan kitabMu, menunaikan janjiMu, dan menurut sunnah NabiMu, aku melakukan amalan ini.”
Diulang-ulang membaca doa ini supaya menetapkan hati untuk melakukan tawaf dengan niat yang sepenuh dan sesungguh-sungguhnya kerana Allah semata-mata. Keadaan penuh sesak dengan manusia. Pelbagai ragam, rupa, dan warna kulit manusia ada di situ. Di lantai utama inilah kami akan memulakan tawaf bermula dengan penjuru hajaraul aswad.
Sebelum ini, dikatakan terdapat garis hijau di atas lantai yang terletak betul-betul segaris dengan penjuru kaabah yang terletaknya hajarul aswad. Namun atas factor-faktor tertentu, pihak pengurusan Masjidil Haram, Kerajaan Arab Saudi sendiri, telah memadamkan garisan tersebut. Cuma lampu hijau dan kedudukan hajarul aswad sahaja yang membantu para jemaah mencari lokasi yang sepatutnya untuk memulakan tawaf.
Ibadah Umrah dimulakan dengan niat, diikuti dengan tawaf, saie dan kemudiannya bercukur dan dilakukan mengikut tertib. Sebenarnya, ibadah tahiyyatul masjid yang khusus untuk Masjidil Hara mini adalah ibadah tawaf itu sendiri. Sebab itu, tidak hairanlah jika terdapat ramai manusia yang berpusu-pusu dan bersesak-sesak melakukan tawaf, samada tawaf wajib )untuk umrah atau haji) mahupun tawaf sunat (tahiyyat atau semata-mata sunat) dan kedua-duanya dilakukan sebanyak 7 kali mengikut lawan arah jam.
Jika mengikut petua tangan kanan, sebarang putaran yang mengikut arah lawan jam, akan menghasilkan arus ke atas (mengikut arah ibu jari). Mungkin itu adalah salah satu hikmahnya, sebagai menunjukkan ibadah tawaf ini menghasilkan suatu perasaan pengabdian kepada Allah. Hakikatnya, para Malaikat juga bertawaf menglilingi Baitul Ma’mur. Baitul Ma’mur merupakan tempat dimana para Malaikat beribadah kepada Allah, dan dikatakan terletak betul-betul di atas Baitullah Al-Haram ini. SubhanaLlah.
Perasaan sebak semakin menghilang dan menipis kerana himpitan manusia. Perasaan sedikit terganggu dengan kacau ganggu manusia. Masya Allah, begini rupanya keadaan bersesak-sesak di depan kaabah. Lantai utama waktu itu dipenuhi dengan ramai orang terutamanya dari kalangan bangsa arab. Berbetulan dengan cuti musim panas Negara-negara arab, maka ramailah orang-orang arab di sana. Iran dengan kekasaran Iran, Turki dengan kemegahan Turki, Pakistan dengan kesesakan Pakistan serta sekutunya Bangladesh, Indonesia dengan cara Indonesia, sedang Melayu Malaysia, dengan kesopanan dan kesantunan Melayu Malaysia.
Sedang saya pula, cuba mengikut rentak dan membiasakan diri mencari kaedah penyesuaian diri yang terbaik agar kualiti ibadah saya terpelihara. Pada mulanya, agak sukar untuk memulakan langkah, kerana bimbang tersentuh dengan wanita yang bukan mahram (memang tiada mahram saya di sana). Berpegang dengan formula, asal bukan kita yang menyentuh kulit yang bukan mahram secara sengaja, maka wudhuk kita tidak akan terbatal., saya meneruskan juga langkah saya menuju ke garisan permulaan untuk memulakan ibadah tawaf pertama dalam hidup saya. Tak sabar rasanya ingin melakukan tawaf mengelilingi kaabah yang mulia ini. Terima kasih Ya Allah.
Untuk memulakan tawaf, berdiri di garisan yang setentang dengan Hajarul Aswad, menghadapkan tubuh kea rah Hajarul Aswad serta berniat tawaf umrah.
“Ya Allah, aku hendak melakukan tawaf BaituLlahil Haram sebanyak tujuh pusingan, Tawaf umrah kerana Alalh Ta’ala, maka permudahkanlah bagiku dan terimalah daripadaku.”
Kemudian, selepas berniat disunatkan untuk melakukan istilam, iaitu melambai ke Hajar Aswad dan lalu mengucup tangan itu, sambil menyebut,
“Dengan nama Allah dan Allah Maha Besar, semua pujian adalah tertentu kepada Allah.”
Di dalam ibadah tawaf ada 12 syarat sah. Selain daripada berniat tawaf, bermula di garisa yang setentang dengan Hajarul Aswad, membuat 7 pusingan mengikut lawan arah jam, berwudhuk, dan lain-lain, tawaf juga mestilah dilakukan dengan semata-mata untuk melakukan tawaf dan bukan untuk mencari orang atau sebagainya. Bermakna, sekiranya kita terpisah dengan jemaah, pusingan tersebut dikira batal dan tidak sah sekiranya dilakukan sambil mencari orang atau mencari barang yang tercicir atau sebagainya. Sekiranya terpisah atau tercicir sesuatu atau sebagainya, maka sebaiknya meneruskan tawaf dan mencari semula setelah menamatkan tujuh pusingan yang menumpukan perhatian sepenuhnya pada ibadah tersebut.
Sebab itulah, ibadah tawaf mahupun saie, tidak boleh dilakukan dengan sambil lewa, bahkan ianya perlu dilakukan dengan niat yang berpusat dan berfokus kepada penyempurnaan ibadah semata-mata kerana Allah Ta’ala.
Oleh kerana kumpulan kami agak ramai, kami terpecah-pecah, saya telah mengingatkan para jemaah terlebih awal bahawa doa dan istilam serta segala perbuatan selain daripada mengelilingi dengan tujuh pusingan (beserta syarat-syarat sah), hukumnya adalah sunat dan boleh ditinggalkan. Jadi, kepada yang terpisah, sebaiknya selesaikan dahulu tujuh pusingan dan kami menetapkan untuk berjumpa semula di bawah lampu hijau, iaitu tempat mula-mula kami berkumpul.
Mujurlah ramai ahli jemaah yang sudah biasa dengan ibadah umrah, ada yang memimpin keluarga masing-masing, ada juga yang sempat mengekori Ustaz Azhuri, dan ada dua tiga orang yang bersama saya yang sebenarnya baru kali pertama mengerjakan umrah. Sayamemulakan dengan beridtiba’, iaitu menampakkan bahu sebelah kanan, disunatkan kepada orang-orang lelaki sebagai mengikut sunnah Nabi SAW yang juga beridtiba’ menurut hadith yang diriwayatkan oleh Ya’li bin Umaiyah. Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Ad-Darini, Al-Baihaqi dan At-Tarmidzi.
Saya memimpin mereka dengan sama-sama membaca doa yang terdapat di dalam buku panduan tersebut. Satu demi satu pusingan diteruskan sehinggalah ke pusingan yang ketujuh sambil melakukan istilam, berdoa, bertakbir dan memperbanyakkan zikir, akhirnya selesailah tawaf umrah sebanyak 7 pusingan. Tawaf pertama dalam hidup. TERIMA KASIH YA ALLAH!!!
Bersambung...
No comments:
Post a Comment