Malam ini adalah malam terakhir kami di Tanah Haram Madinah. Selepas siap mengemaskan barang dan beg, saya sempat mencuba memakai pakaian ihram. Dibantu oleh Haji Saleh, saya dan dua orang lagi rakan sebilik mempelajari teknik-teknik yang paling berkesan untuk memakai kain ihram.
“Dua benda kita kena elak waktu pakai kain ihram ni, terlucut dan terselak,” ulas Hj Saleh sambil berkongsi cara dia mengenakan pakaian ihram. Menurutnya lagi, sebenarnya terpulang pada kita asalkan dapat menjaga aurat dan jaminan “keselamatan”.
“Haa, sekarang ni baru kita tahu macam mana susahnya,” celah Hj Baharuddin sambil menunjukkan cara dia yang tersendiri. “Orang laki yang kena lebih banyak berhati-hati dalam ibadah umrah ni,” sambungnya lagi.
Benar kata Hj Baharuddin, dalam ibadah Umrah, terdapat 3 larangan yang dikhususkan untuk kaum lelaki, selain kain ihram dan larangan mengenakan pakaian berjahit, lelaki dilarang untuk menutup kepala dan memakai sepatu yang menutup mata kaki. Hikmahnya, supaya kaum lelaki ini sedar bahawa mereka memikul amanah yang besar dan lelaki sepatutnya menjalani hidup yang lebih “tough” berbanding kaum wanita, dan bukanlah yang sebaliknya. I should work and live this life harder!!! Mungkin ini mesej yang ingin diberikan kepada semua kaum lelaki.
Kali ini, saya tidur awal. Sebaik sahaja bangun dari tidur saya terus mengenakan pakaian yang paling kacak(menurut pandangan saya) dan bergegas awal ke masjid. AlhamduliLlah dapat menunaikan solat subuh tidak jauh dari belakang imam. Kagum sungguh dengan suara merdu dan kualiti bacaan imam tersebut. Sejurus selepas solat subuh, saya memasuki barisan yang beratur untuk memasuki raudah. Inilah peluang terakhir untuk saya.
Masa yang ada sangat suntuk, pukul 7 muslimin akan dihalau keluar dari raudah dan kawasan-kawasan berdekatan bagi member laluan kepada muslimat. Setiap hari, hanya ada tiga waktu yang diperuntukkan untuk muslimat memasuki raudah, selepas subuh, selepas zuhur, dan selepas isya’ sehingga jam 11.30 malam. Raudah merupakan ruang antara mimbar dan rumah Nabi Muhammad SAW. Saya masuk melalui Pintu As-SAlam (Bab As-SAlam). Dinamakan Bab Salam kerana kedudukannya yang sejajar dengan kedudukan Maqam Nabi Muhammad SAW. Di bina oleh Saidina Omar Al-Khattab sebagai penghormatan kepada Maqam Nabi Muhammad.
Kerana kesesakan manusia, saya hanya sempat melihat tempat terletaknya mihrab, tempat di mana Nabi Muhammad SAW sentiasa mendirikan solat. Juga kedudukan mimbar serta tiang yang ketika Nabi Muhammad SAW masih hidup tempat itu ditumbuhi pohon kurma yang sentiasa menjadi tempat sandaran Nabi ketika membacakan Khutbah. Sehinggalah sampai suatu ketika, salah seorang perempuan daripada kaum ansar berkata:
“Wahai RasuluLlah, tidak bolehkah kami membuatkan untukmu sebuah mimbar dengan tiga anak tangga yang diperbuat daripada pohon kurma?”
Lalu Nabi membenarkan dengan sabdanya, “Jika kalian berkeinginan”.
Kemudian apabila tiba hari Jumaat, Nabi Muhammad SAW naik ke atas mimbar tersebut. Tiba-tiba pohon tersebut menangis kerana rindukan sentuhan Nabi Muhammad SAW. Lalu Nabi Muhammad SAW turun dan memeluknya sambil bersabda,
“Ia sedang menangis kerana zikir yang sentiasa terdengar di dekatnya,”
Terpegun saya mengenangkan kisah tersebut. Terbayang pergerakan dan terasa kewujudan Nabi dan Para Sahabat yang sentiasa memenuhi ruang masjid itu. Perasaan hiba menyelimuti. Terasa berat kaki melangkah meninggalkan tempat itu. Mahu rasanya bermalam dan berada di situ merasai setiap tempat yang dahulunya pernah dipijak oleh insan mulia yang dicintai itu.
Namun, asakan manusia memaksa saya terus melangkah keluar dari masjid. Polis-polis yang bertugas menjaga ruang itu juga begitu kasar dan sentiasa menjarit-jerit ke arah jemaah yang tidak mahu bergerak.
Sambil bergerak dan melangkah, saya memperbanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“’Ala Tul Ya Haj!” pekik salah seorang polis sambil menolak-nolak menyuruh saya mempercepatkan langkah, cuba mengganggu konsentrasi.
Tanpa mengendahkan polis tersebut perlahan-lahan saya melangkah keluar dari Masjid Nabi melalui pintu Jibril (bab Al-Jibril). Wahai Nabi, terimalah aku sebagai umatmu.
Walaupun agak terkilan dan sedih kerana tidak berpeluang untuk merasa berada di dalam taman dari taman-taman syurga, tetapi saya sangat bersyukur kerana setidak-tidaknya saya dapat menyaksikan sendiri raudah, mimbar dan makam Nabi Muhammad bersama dua orang Khalifah Ar-Rasyidin.
Ketika hendak meninggalkan masjid nabi untuk kali yang terakhir, disunatkan untuk melakukan ziarah wada’.
“Selamat tinggal wahai RasuluLlah, Sudah tiba masa berpisah wahai Nabi Allah. Amanlah dikau wahai kekasih Allah. Semoga Allah tidak menjadikan pertemuan kita ini sebagai hari terakhir denganmu untuk menziarahimu ataupun berada di sisimu. Kecuali Allah mengurniakan kebajikan sihat dan afiat serta selamat. Jika ada umur panjang, InsyaAllah aku akan datang menziarahimu semula. Tapi jika aku mati dahulu, maka sekarang aku tinggalkan di sampingmu ikrar sumpah setiaku dari hari ini hinggalah ke hari kiamat. Iaitu pengakuanku yang sesungguh-sungguhnya, bahawa tiada Tuhan yang lain disembah dengan sebenar-benarnya kecuali Allah Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya dan aku bersaksi dengan sesungguhnya bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya. Maha Suci Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai kemuliaan dari segala yang mereka sifatkan. Salam sejahtera ke atas para rasul. Segala puji untuk Allah, Tuhan yang mentadbirkan seluruh alam,” doa dan ucapan salam ketika berpisah dengan Nabi Muhammad SAW.
Kaki melangkah perlahan dan lemah kea rah hotel. Sesekali sempat saya menoleh ke belakang, bila lagi agaknya dapat kita bertemu??
Bersambung…
2 comments:
ayah.. boleh buat novel.
Masih banyak perlu belajar.. :-)
Post a Comment