Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Sunday, July 4, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 11

“Farid nak pergi Mekah awal ke lambat?” Ustaz Salim, salah seorang ahli lembaga pengarah Darul Mubarak, bertanyakan soalan yang agak mengejutkan saya.

Saya kaku dan gagal memberikan jawapan. Di dalam hati, berbelah bagi antara Mekah dan Madinah. Tambahan pula, berat juga rasa hati ingin berpisah dengan para jemaah.

Pagi itu, seramai 61 orang termasuk saya dijadualkan meninggalkan Madinah untuk menunaikan umrah di Masjid Haram. Selain kami, terdapat dua kumpulan lagi dengan jumlah jemaah masing-masing seramai 35 dan 48 orang. Ustaz Salim merupakan pembimbing bagi group yang ketiga seramai 48 orang. Isterinya, Pn Jamaliah dijadualkan tiba di Jeddah pada hari Selasa, selain 3 kumpulan yang menjadikan jumlah jemaah yang menyertai pakej umrah Darul Mubarak seramai lebih 240 orang.

Kumpulan saya adalah yang paling ramai. Satu-satunya kumpulan yang memerlukan dua bas untuk pengangkutan. Sebuah bas di Arab Saudi, kebanyakannya mempunyai 50 tempat duduk penumpang. Mungkin kerana risaukan keadaan saya dan jumlah jemaah yang ramai, Ustaz Salim menawarkan dirinya untuk membantu.

“Lagipun, nanti kat sana kita jumpa lagi, biar Pakcu bawak deme, bila kamu sampai nanti kita tukar(kumpulan) balik,” ujar Ustaz Salim, membahasakan diri sebagai “Pakcu” kerana dia merupakan adik bongsu kepada ibu saya. Ustaz Ismi pula adik ibu saya yang ke-12, pengurus besar Darul Mubarak. Mereka berdualah merupakan tulang belakang dan nadi utama syarikat.

Melihatkan saya teragak-agak memberikan jawapan, Ustaz Salim pun berkata, “mana-mana pun tak ngape.”

Saya menarik lafaz lega, sambil menuju ke ruang makan. Setiap langkah saya memikirkan mengenai tawaran untuk dipanjangkan jodoh dengan bumi Madinah. Mungkin inilah peluang untuk saya masuk ke dalam Raudhah, cuba mengambil perspektif yang lain sebelum membuat keputusan. Kagum sungguh saya dengan komitmen Ustaz Salim, dia baru sahaja sampai di Madinah jam 3 pagi tadi. Belum pun sempat berehat sudah menawarkan diri membantu saya menguruskan jemaah.

Nasi goreng menjadi pilihan saya pagi itu. Bihun dan mee goring sedikit pun tidak saya sentuh memandangkan ruang pinggan telah terlebih dahulu dipenuhi oleh nasi dan telur goreng. Hairan, banyak juga saya makan pagi itu, walaupun pada kebiasaannya tidaklah begitu banyak. Mungkin, untuk persiapan dan bekalan tenaga mengerjakan Umrah untuk pertama kali dalam hidup.

Sebaik sahaja menghabiskan dua gelas Nescafe O panas, saya terus menuju ke bilik. Jam 7, semua bagasi yang ingin dimuatkan dalam bonet bas perlu diletakkan di luar bilik. Petugas hotel akan membawanya turun dan mengangkatnya masuk ke dalam bas. Nampaknya sudah ada beg yang “beranak”, mungkin hasil rampasan perang yang terlalu banyak diperolehi sepanjang ziarah dan kesempatan masa yang ada sepanjang 3 hari di Madinah.

Sebaik memastikan semua jemaah siap meletakkan barang masing-masing di luar bilik, saya terus menuju ke lif, untuk turun ke bawah. Sampai di tingkat 4, lif terbuka, rupa-rupanya Ustaz Salim juga ingin turun. Di dalam lif, saya menyatakan keinginan saya untuk pergi ke Mekah awal.

“Tak sabar pulak nak tengok Kaabah,” ujar saya sambil tersenyum, dalam masa yang sama bangga kerana mempunyai Bapa Saudara yang hebat dan penyayang. Sedikit sebanyak kehadiran Ustaz Salim mengubat rasa rindu saya kepada keluarga di tanah air.

Seawal jam 8 pagi, ramai ahli jemaah yang sudah berada di lobi hotel. Belajar dari kesilapan, pihak Syarikat Rabitah Mekah telah lebih awal dimaklumkan. Hari ini, saya berharap semuanya berjalan lancar. Jantung saya berdegup agak kuat, perasaan gembira dan excited untuk memulakan kembara menuju ke bumi Mekah Al-Mukarramah. Bumi kelahiran Nabi Muhammad SAW dan juga bumi yang dipelihara oleh Allah semenjak penghijrahan Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan anak mereka Nabi Ismail.

Semua jemaah lelaki sudah siap berpakaian ihram. Saya pula kerap kali ke bilik air, membetulkan ihram. Sentiasa rasa ragu-ragu dan tidak senang, bimbang kalau-kalau tersalah memakai kain ihram. Setelah agak pasti dan terjamin keselamatan, saya menggagahkan diri untuk berhadapan dengan jemaah. Farid, kamu ada tugas besar yang perlu diselesaikan, bisik saya meyakinkan diri.

Pakaian ihram terdiri daripada dua bahagian, iaitu bahagian bawah dan bahagian atas. Bahagian bawah diikat dari atas pusat dan dilabuhkan melebihi paras lutut untuk menjaga dan menutup aurat. Bahagian atas pula untuk menutup bahagian badan. Selain daripada dua helai kain dan sehelai tali pinggang untuk mengikat kain bahagian bawah, tiada pakaian lain yang dibenarkan. Ujian pertama bagi mereka yang kali pertama menunaikan umrah seperti saya.

Kebanyakan ahli jemaah lelaki, ada yang telah mempunyai pengalaman mengerjakan umrah dan haji. Lagak dan langkah mereka begitu yakin dan berani sekalipun mereka juga memakai kain ihram yang sama seperti saya. Merek begitu selamba dan kelihatan tidak begitu risau dengan kualiti ikatan kain ihram mereka. Terlalu risau menyebabkan saya agak sukar bergerak.

Dengan langkah yang kecil, tangan yang sentiasa di sisi memegang kain ihram, perlahan-lahan saya menapak menuju ke bas.

“ayu sungguh Ustaz kita ni,” tegur Hajah Saadiah, sengaja dia mengusik.

“He’eh, tarik kainnya baru tahu,” Hj Saleh pula menambah, suami Hajah Saadiah.

Suasana begitu ceria, mungkin semangat mengerjakan Umrah dan melihat Kaabah sudah membakar jiwa dan perasaan kami ketika itu. Tersipu-sipu saya menahan malu, mungkin terlalu ketara gelagat saya yang begitu risau dengan kain ihram yang saya pakai.

“Duduk diam-diam ye, saya nak ngira ni, nama yang saya panggil sahut ye,” sebut saya dengan nada separuh bergurau.

“Baik, Ustaz!” balas sebahagian jemaah. Sambil ketawa dan tersenyum semuanya.

Setelah semua nama telah dipanggil dan semuanya dalam keadaan baik, saya kembali ke tempat duduk paling hadapan, di sebelah pemandu. Sebentar kemudian, Ustaz Azhuri tiba dari bas No 1, melaporkan basnya juga sudah berseida untuk berangkat.

“Khalas ya akhi,” lapor saya pada pemandu yang berasal dari Sudan itu. Pemandu dan bas no 2 yang dinaiki oleh saya dan 30 ahli jemaah yang lain merupakan bas yang sama yang membawa kami dari lapangan terbang Jeddah tempoh hari. Terus terbayang pengalaman ngeri menolak bas di tengah-tengah padang pasir ketika mula-mula sampai ke Arab Saudi. Semoga kali ini semuanya berjalan lancar, doa saya di dalam hati.

“BismilLlahirrahmanirrahim,” saya memulakan bacaan doa musafir dan mengucapkan salam yang terakhir kepada Nabi Muhammad SAW ketika bas mula bergerak.
Bermulalah perjalanan kami ke Masjid Haram di Mekah Al-Mukarramah yang dijangka selama 5 jam.


Bersambung…

3 comments:

Ahmad Tajuddin said...

kalau ana ada kat situ dah lama ana tarik kain ihram abang..hahaha

Farid Albariti said...

wah, takutnye~.. (kene ke macam tu??)

Ahmad Tajuddin said...

wahahaha....perlu kot....wakaka...

Antara Yang Menarik