Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Saturday, August 14, 2010

PESTA IBADAH!!! Lain dari yang lain...


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

AlhamduliLlah, segala puji ditujukan kepadaNya yang terus-menerus melimpahkan rahmat dan kasih sayangNya kepada kita, sehingga dapat mengecapi hidup dengan baik dan selesa serta diberikan peluang sekali lagi bertemu dengan bulan ramadhan Al-Mubarak yang penuh dengan keberkatan dan ganjaran pahala daripada Allah Ta'ala.

Video di atas merupakan klip video kumpulan Raihan - dalam album mereka yang terakhir bersama Nazrey Johani iaitu "AMEEN". Selain mengingatkan tentang Ramadhan, lagu ini juga mengingatkan saya kepada kenangan bersama-sama dengan sahabat-sahabat ketika bersama-sama menggerakkan Persatuan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan, UKM dahulu. Lagu inilah, berserta lagu-lagu lain dari album Ameen yang kerap mengisi ruang bilik PEMATRA suatu ketika dulu. Walaupun jauh lagi nak ke bulan ramadhan.

Teringat pula kepada Lamin dan Syahir yang jauh terlepas ke Sabah, Abd Azizul Ladin, Abg Muhammad Devotees, Kak Aisyah Nadhrah, Kak Robihah, Wan Zulaikha, Farid Sabree, dan ramai lagi teman-teman seperjuangan yang sama-sama bergerak kerja. Pengajaran penting yang saya terima ialah, "Hargailah MASA EMAS dan Sahabat-sahabat sebaiknya selagi masih ada masa dan peluang untuk bersama"...

Baik, kembali kepada tajuk asal yang ingin saya lontarkan hari ini, iaitu Bulan Ramadhan. Macam-macam ucapan yang kita terima bila masuk bulan ramadhan ni, tapi ucapan yang paling popular di kalangan orang Arab ialah "Ramadhah Kareem" dan disambut dengan "Allahu Akram". Juga "Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan" seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Abu Bakar bahawa ketika tiba Ramadhan, Nabi Muhammad SAW berkhutbah dengan memulakannya dengan ucapan "AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN".

Hebat, terpilih untuk berada di bulan Ramadhan ini sebenarnya menunjukkan bahawa Allah Ta'ala masih lagi menyayangi kita. Peluang untuk kita menebus kembali 11 bulan yang berlalu tanpa jaminan ianya dipenuhi dengan catatan amalan kebaikan mahupun keburukan. Bulan yang ternyata LAIN DARI YANG LAIN.

Bulan yang dibuka baginya segala pintu Syurga, dan ditutup semua pintu neraka dan diikat segala syaitan. Memberikan gambaran yang jelas tuntutan ke atas kita untuk merebut seberapa banyak peluang untuk beribadah kepada Allah. Di dalam bulan Ramadhan ini juga diturunkan Al-Quran, membacanya diberikan pahala yang berlipat kali ganda, serta terkandung satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, Malam Al-Qadr.

Ingatlah! kita sebagai manusia tidak pernah terlepas daripada dosa, bahkan dalam 24 jam seharian yang kita lalui ini, belum tentu ada seminit yang ingatan kita dipusatkan kepada Allah. Namun, masih lagi Allah Ta'ala menjemput kita untuk menjadi tetamu bulan yang mulia ini dan diberikan kita kesihatan tubuh badan untuk menjalani ibadah puasa di siang hari dan menambahkan koleksi ibadah lain di malamnya. Maka peluang emas ini, perlu digarap sebaik mungkin. Ulang dengar dan lihat video di atas, insyaAllah sedikit sebanyak motivasi yang diberikan oleh abang-abang Raihan ini dapat menyuntik semangat kita untuk menghargai peluang untuk kita mengadakan PESTA IBADAH kepada Allah.

Selain merebut ganjaran, bulan Ramadhan juga disebut sebagai bulan tarbiyah. Madrasah Ramadhan yang disediakan oleh Allah ini bertujuan melahirkan hamba yang bertaqwa. Taqwa ertinya berhati-hati dalam melakukan segala perbuatan dan amalan kerana bimbang akan azabNya di samping sentiasa mengharapkan belas dan kasihNya.

Sungguh, apabila dengan kesungguhan kita untuk menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa, apalagi yang membatalkannya, kita akan terlatih untuk mengutamakan pandangan dan keperluan Allah melebih pandangan dan keperluan manusia termasuk diri kita sendiri. Bayangkan ketika kita duduk di rumah seorang diri, dan hanya bertemankan dua tiga ketul ayam goreng lebihan dari sahur, apakah sebenarnya yang menghalang kita daripada mencubit sedikit kulit dari paha ayam goreng yang terhidang. Dengan kebijaksanaan kita, sudah pasti tiada yang akan dapat mengesan ke mana hilangnya kulit ayam, bahkan sekiranya seketul ditelan habis pun, tiada yang akan mengetahuinya.

Sudah pasti, jawapannya ialah IMAN. Kerana IMAN yang ada dalam diri kita, menghalang kita daripada berbuka awal, menyebabkan kita sedikit "memilih" dalam mengeluarkan kata-kata, membuatkan kita teragak-agak untuk membazir masa dengan aktiviti sia-sia, dan kerana IMAN jugalah meringankan mulut kita untuk berzikir, tangan untuk membilang biji tasbih, mata untuk membaca Al-Quran dan kaki untuk melangkah ke masjid atau surau 15 minit sebelum waktu azan maghrib (terutamanya) dan waktu-waktu lain sehari semalam.

Semua perbuatan ini, adalah tersangatlah ringannya jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Buatlah koreksi sekiranya anda tidak sependapat dengan saya. Beruntunglah bagi mereka yang dipilih oleh Allah sebagai tetamu Ramadhan yang mulia.

Menarik bukan? Tuan-tuan pasti masih teringat pengalaman berada di tanah suci, segala kerja ibadah menjadi sangat ringan dan dilakukan dengan penuh kesungguhan dan keasyikan. Perasaan yang lebih kurang sama kita rasakan di bulan Ramadhan ini, begitu mudah untuk kita meangkah ke masjid dan surau, menunaikan solat dengan jumlah rakaat dan ayat bacaan yang jauh lebih banyak dari biasa, dan semuanya adalah kerana keberkatan yang terdapat pada bulan Ramadhan yang Mulia ini.


RAMADHAN KAREEM!!!


Indah sungguh Islam ini, dan indah sungguh hidup bersama Islam. Tidak terbayang nikmat yang disediakan oleh Allah kepada kita di dunia ini, sebagai bekal menuju negeri akhirat yang kekal abadi.

JOM, Kumpul BERKAT hidup sebagai BEKAL untuk MATI!!!

1 comment:

Ahmad Tajuddin said...

wahhh,bernostalgia nampak??

bila nak belanja ana buka puasa??
haha....

Antara Yang Menarik