Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Friday, July 30, 2010

Perjalanan Menjadi Tetamu Allah - Bahagian 18

Sebaik sahaja selesai menunaikan solat sunat tawaf, jam sudah pun menunjukkan pukul 7.15 malam. Kelihatan lantai utama telah pun dipenuhi oleh ramai umat Islam. Polis-polis Arab Saudi pula sibuk mengusir muslimat dari lantai utama ke kawasan solat untuk muslimat. Rupa-rupanya, sebelum setiap waktu solat jemaah muslimat dikehendaki beredar ke kawasan solat yang dikhususkan untuk muslimat.

“Hajjah! ‘Alat tul!” tempik salah seorang pegawai polis kepada seorang muslimat yang kelihatan agak lambat bergerak. Kasihan juga saya lihat muslimat tersebut kerana terpaksa bergelut di kalangan muslimin yang jauh lebih besar dan bergerak jauh lebih kasar darinya. Beginilah hiruk-pikuk baituLlah al-haram. Namun kesibukan ini terasa begitu indah, jauh sekali nak dibandingkan dengan hiruk-pikuk pasar atau mana-mana pesta.

Keriuhan dalam pesta ibadah ternyata membuahkan perasaan yang cukup luar biasa. Keseronokan berada di dalam keadaan ini begitu sukar dilepaskan walaupun sesaat ketika berada di sini.

Hari ini hari khamis, maka ramai pulalah jemaah yang berpuasa. Terdapat ramai petugas-petugas Masjid yang mengagihkan kuih-muih serta tamar secara percuma kepada semua jemaah yang berada di lantai utama tersebut. Wah, ini iftar besar-besaran yang paling indah pernah saya lihat dalam hidup!!!

Kagum melihat komitmen petugas yang sentiasa memnuhi kehendak jemaah yang ingin menambah air. Sudah semestinya yang meminta air tambahan itu tidak berpuasa, namun sepertinya jugalah dilayan semua jemaah sama rata dan sama rasa. Kebetulan saya menunaikan solat sunat tawaf berhampiran dengan kedudukan tong air zam-zam. Selang dua saf, terdapat seorang warga Mesir sedang sibuk mengagihkan minuman, membantu petugas tersebut.
“Syai?” ujar pemuda tersebut kepada saya.

“Boleh juga,” terlepas juga bahasa melayu sambil tersenyum meraikan pertolongan yang dihulurkan.

Seolah-olah faham bahasa melayu yang saya tuturkan, dia lantas memanggil petugas masjid yang menuangkan air teh tersebut. Lalu dihulurkan air teh itu kepada saya. Dihulurkan juga kurma dari bekas kecil yang semenjak tadi berada dalam genggaman tangan kirinya.

MasyaAllah, pemuda ini juga sedang berpuasa, malah sanggup berkongsi kurma yang tidak sampai pun 5 biji. Hebat sungguh suasana ibadah di Masjid Haram ini. Kali ini, saya tersenyum tawar, “syukran ya akhi,” ujar saya sopan tidak mahu mengecewakan hatinya.

Langsung berubah riak mukanya, tangannya diangkat dan diletakkan di dada, sekali lagi menghulurkan bekas kurma itu mahu saya menjamah juga tamarnya itu. Reaksinya itu menggambarkan betapa ikhlas dan bersungguhnya dia mahu meraikan saya. Demi kebaikan budinya dan meraikan pelawaannya, saya mencapai sebiji tamar. Saya membahagikan isinya kepada dua bahagian dan diberikan kepada En Hashim yang berada di sebelah kiri saya.

Tidak lama kemudian, azan berkumandang. Muazzin Mekah yang sebelum ini suaranya hanya didengari melalui corong radio dan televisyen kali ini secara langsung. Sekali lagi air mata menitis di pipi. Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Pengasih, Maha Pengampun segela dosa. Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku, dosa kedua ibu-bapaku, kasihani mereka sebagaimana mereka mengasihaniku semenjak kecilku. Bahkan merekalah yang menyebabkan aku dapat menjejakkan kaki ke sini melihat tanda-tanda kebesaranMu Ya Allah. SubahanaLlah.

Sebak sungguh mendengar suara muezzin yang menyeru manusia mengerjakan solat maghrib. Terharu pula melihat begitu ramai jemaah yang berbuka puasa dengan kuih muih yang dikongsi beramai-ramai, teh, kopi, air zam-zam menjadi santapan mereka. Kelihatan begitu berselera mereka menjamu rohani mereka. Tempias kenyang itu sedikit sebanyak dapat dirasa.
Pandangan saya jauh melayang ke tanah air, mengenang perjuangan menegakkan kalimah Allah yang terasa begitu longlai dan longgar. Betapa sebenarnya terlalu banyak perintah dan amanah yang telah dilanggar dan gagal disempurnakan. Demi kasih dan sayangNya terhadap hambaNYa, masih lagi memberikan peluang untuk menjejakkan kaki ke bumi suci yang mulia ini.

Sebaik sahaja muezzin memulakan iqamah, maka seluruh jemaah bingkas bangun memenuhkan dan meluruskan saf. Belum pun sempat iqamah disudahkan, saf-saf sudah hamper 80% terbentuk dengan baik. Garisan yang ada pada lantai dijadikan panduan kepada jemaah untuk meluruskan saf masing-masing. Pantang ada sahaja jari atau sebahagian kecil tumit yang tidak betul kedudukannya, pasti akan ditegur oleh orang-orang yang berada di kiri dan kanan saf.

Tumpuan diberikan sepenuhnya terhadap solat maghrib berjemaah bersama imam besar Masjid Haram,. Bacaan yang merdu dan syahdu begitu menusuk ke dalam kalbu. Sejurus selepas solat maghrib, seperti juga di Masjid Nabawi, muazzin mengumumkan mengenai solat jenazah yang akan didirikan sebentar lagi. Begitu ramai yang meninggal dunia di Mekah dan Madinah ini, beruntung sungguh mereka. Teringat pula kepada arwah atuk yang juga meninggal di Madinah kira-kira 20 tahun lalu.

Selepas solat jenazah, saya bangun untuk mendirikan solat sunat. Kemudian terus bergegas menuju ke tempat lampu hijau seperti yang dijanjikan di awal tadi. Setibanya saya di situ, kelihatan sebahagian jemaah sudah pun menanti dengan sabar di tengah-tengah kesesakan manusia. Rupanya, kawasan “bawah lampu hijau” ini memang menjadi pilihan tempat berkumpul yang paling terkenal. Maka berhimpit-himpit dan bersesak-sesaklah kami menunggu sambil tertinjau-tinjau mencari jemaah yang mungkin berada di sekitar.

Seperti biasa, jemaah yang dating dari Malaysia memiliki kesoapanan dan kesantunan yang paling tinggi. Tidak hairan, budaya melayu ini adalah budaya yang sangat unik dan terlalu istimewa. Di sinilah baru saya mengerti, kenapa melayu sering dikaitkan dengan budaya kesopanan dan kesusilaan. Memang ternyata orang-orang Melayu, jauh lebih sopan dan beradab, malah sangat merendah diri, lemah lembut jika dibandingkan dengan orang arab dan bangsa-bangsa lain yang terdapat di sana. Paling ketara, perbezaan antara orang arab dengan orang melayu.

Terutamanya orang Iran, dalam keadaan biasa sahaja suara mereka sudah seperti menjerit, inikan pula menjerit untuk memanggil temannya yang terpisah. Seperti mahu didengari oleh seluruh penghuni masjid. Sementara saya(contoh orang melayu) hanya mampu melambai-lambai dan sekadar berbisik dengan harapan “telepati” bisikan itu sampai ke telinga ahli jemaah yang sedang berpusu-pusu menuju kearah kami. Sungguh mengharukan.

“Ustaz, yang anak-beranak dari Ipoh itu takde kat sini,” salah seorang ahli jemaah mengadu.

Di suatu sudut yang lain, “Ke mana kamu pergi? Risau betul dibuatnya!” tempik Hajah Salmah bile bertemu semula anak bongsunya yang terpisah semasa mengerjakan tawaf. Sekeluarga menangis dan agak kecoh sebentar di situ apabila Najmi ditemui semula. Saling tak tumpah suasana dan emosinya seperti rancangan Jejak Kasih TV3 yang cukup popular suatu masa dahulu. Terharu pula melihat hubungan rapat keluarga tersebut. Indahnya berkeluarga.

Tiba-tiba dating pula lagi seorang jemaah, “Ustaz, orang rumah saya tak mandang(“tak mandang = tak ada” dalam loghat perak),” ujar Hj Nazri yang terpisah dengan isterinya.
Sebentar kemudian, datang pula lagi seorang, “Farid, Puan Alimah dengan Abdul Rahman ada jumpa tak ustaz?” Puan Zaiton pula bertanyakan perihal dua ahli jemaah yang juga anak-beranak. Puan Alimah agak menjadi perhatian semenjak tersesat tempoh hari di Masjid Quba’.
Saya mula resah dengan laporan-laporan tersebut. Dalam masa yang sama, ibadah saie perlu diteruskan. Ya Allah bantulah aku.

Daripada kira-kira 50 ahli jemaah yang bersama-sama bergerak dari hotel, di kawasan lampu hijau tersebut hanya terdapat kira-kira 30 orang. 20 lagi masih berkeliaran di dalam masjid haram. Lalu, Ustaz Azhuri memberikan cadangan, “Begini, mana yang ada kita teruskan dengan ibadah saie, yang tiada ini insyaAllah, mereka boleh meneruskan ibadah saie dan selepas habis, insyaAllah saya dan Ustaz Farid akan menguruskan mereka,” ujar Ustaz Azhuri sambil menjeling ke arah saya meminta pandangan.

“Terbaik!” balas saya spontan, sambil tersenyum. Seperti biasa, senyum terus sahaja terukir setiap kali saya berhadapan dengan jemaah. Pada fikiran saya, apa yang perlu dirisaukan, kita sudah pun berada di rumah Allah, tempat yang paling aman dan selamat yang dijamin oleh RasuluLlah dan Allah Ta’ala di atas muka bumi ini. InsyaAllah semuanya akan selamat.

Maka berjalanlah kami beramai-ramai menuju ke bukit Safa utuk memulakan ibadah Saie.

“Aku mulakan dengan apa yang dimulakan oleh Allah dan RasulNya, ‘Sesungguhnya Safa dan Marwah dari syi’ar-syi’ar Allah, barangsiapa yang menunaikan haji dan umrah maka tidak mengapa mereka bersa’ie di antara keduanya, dan sesiapa yangmelakukan kelebihan ibadah, sesungguhnya Allah Maha member syukur dan Maha Mengetahui’”

Doa ketika dalam perjalan menuju ke bukit Safa. Berderau darah, meremang bulu roma apabila membacakan doa ini, yang juga merupakan petikan dari Surah Al-Baqarah, 2 : ayat 158. Perasaan gemuruh dan bercampur-baur menyelimuti perasaan saya ketika itu. Sukar digambarkan dengan kata-kata. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Laungan takbir dilafazkan, disunatkan ketika memanjat bukit Safa tersebut.

Tidak dapat saya bayangkan betapa bersemangat dan gembiranya saya dapat memanjat Bukit Safa yang pernah digunakan oleh Nabi Muhammad SAW suatu ketika dulu untuk menyampaikan pidato Baginda kepada seluruh penduduk Mekah. Di atas bukit inilah, Baginda mengumpulkan seluruh penduduk Mekah setelah mendapat perintah daripada Allah untuk berdakwah secara terang-terangan kepada umatnya. Lalu memulakan pidatonya dalam perhimpunan aman tersebut dengan berkata...


Bersambung...

2 comments:

Ahmad Tajuddin said...

tapi sayang bila balik Malaysia hilang sume adab sopan tu....betul ke???

Farid Albariti said...

Malaysia masih kaya dengan adab sopan, cuma semakin terhakis...

Masih menyokong kata2 Mawi dan Jamal Abdillah, "siapa bilang..." :-)

Antara Yang Menarik